jom follow....

Monday, 28 March 2016

Lesen Memandu....

Bila duduk sengsorang mula la teringat macam-macam....
Selain daripada berkhatan dan akad nikah, satu lagi acara paling suspen dalam hidup seorang lelaki ialah mengambil ujian memandu ataupun driving test. Sebabnya, apabila berhadapan dengan tester driving test tu, samalah jugak macam berhadapan dengan Tok Mudim dan Tok Kadi. Bezanya cuma Tok Mudim dan Tok Kadi tak pakai uniform warna biru yang pegawai-pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan pakai.

Khatan, dah lama dah kena khatan. Akad nikah, dah sudah sejak beberapa tahun lepas setelah ada seorang bidadari yang berjaya membuka pintu besi hati ini menggunakan kombinasi nombor kod-kod tertentu untuk membukanya. Hik! Hik! Hik!

Aku ingat lagi masa ambil ujian bertulis komputer untuk dapatkan lesen L dulu, aku dapat semuanya betul kecuali dua. Sebabnya soalan yang dua tu adalah soalan perangkap. Soalan yang mana-mana jawapan dipilih pun tentu akan salah. Macam jugak peperiksaan PMR atau SPM dulu tu. Rasionalnya, supaya orang yang ambik test tak rasa dirinya pandai sangat.

Bila dah dapat lesen L tu barulah aku belajar memandu 16 jam sebelum pergi ambik driving test. Masa first time duduk kat seat pemandu, semangat aku berkobar-kobar macam nak pergi berperang. Dan sememangnya aku telah berperang mulut dengan cikgu memandu aku yang asyik menguap sepanjang dua jam ajar aku memandu!

Supaya cikgu memandu tu hilang mengantuk, aku dengan tersengaja, terlepaskan gear dengan break masa nak membelok kat jalan besar. Terperanjat besar cikgu memandu aku tu sebab kereta mati kat tengah-tengah jalan. Mujur tak ada kereta tengah speeding waktu tu, kalau tidak tentu sijil yang aku dapat masa tu sijil kematian.

"Bengong la mung ni..!" Cikgu memandu aku sempat melatah dalam ketakutan ketika membelok masa tu.

Jadi, lepas tu cikgu memandu aku terus hilang mengantuk. Malahan serasa aku, mata dia langsung tak berkelip sepanjang mengajar aku hari tu. Hari itu jugak hari terakhir dia ajar aku sebab kata pengetua sekolah memandu aku kat Keramat tu, cikgu memandu tu ambik cuti sebulan.

Selepas 16 jam aku bawak kereta menggunakan lesen L, tibalah masa yang aku nanti-nantikan iaitu pergi ujian di jalan raya untuk mendapatkan lesen 'P'. Lesen 'P' ni bermakna kita kena lekatkan huruf 'P' kat cermin depan dan belakang kereta selama dua tahun. Mungkin tujuannya untuk menggalakkan para pemandu menampal pelekat kat cermin kereta selain daripada Road Tax.

Bagi sesiapa yang nama dia Param, Pian, Perry, Puspawati, tentulah boleh berbangga dengan huruf 'P' itu jika dilekatkan dicermin kereta anda. Tapi, takpe, aku sudahpun bercadang untuk lekatkan huruf 'AN' disebelah huruf 'P' bila dapat lesen nanti. ANP membawa makna Anoy Nanan Profesional!!

Ujian pertama yang aku kena ambik ialah side parking. bab ni, aku buat macam makan kacang masa tengok wayang. Mudah aje sebab selama ni, aku dah expert menyelit kat tempat-tempat sempit. Tak sampai dua minit, aku dah masuk dan keluar daripada side parking sampai pegawai JPJ yang menjaga ujian tu suruh buat sekali lagi sebab tak percaya.

Lepas tu, aku buat parking bukit. Ini lagi macam makan kacang bungkus yang kulitnya dah dibuang. Sebabnya, rumah aku kat atas bukit dan tiap-tiap hari aku test parking kasut rollerblade aku kat atas bukit. Ini pun macam orang putih kata, aku berjaya dengan warna-warna terbang (succeed with flying colours).

Jadi, tibalah masanya giliran aku untuk membawa kereta diatas jalan raya. Masa tu aku betul-betul confident untuk mendapatkan lesen memandu.

"Encik Adnan...!" Tester tu panggil nama aku.

Aku pun terus masuk dalam kereta kancil warna merah. Wah! Aku betul-betul bertuah sebab dapat tester aku tu, awek cun! Lebih mengancam dan terserlah keayuan sebab awek tu memakai pakaian seragam warna biru.

"Hai, selamat pagi. Dah minum ke belum?" Soal aku sambil tersengih.

Pegawai JPJ (sekadar gambar hiasan) - ihsan encik google

"Awak boleh mula.." Suruh tester tu langsung tak jawab soalan aku. Tapi, aku tak kisah sebab aku amat yakin dia malu untuk menjawab soalan aku sebab masih belum mesra. Sepanjang membawak kereta tu, aku melambai-lambai kat kereta-kereta yang aku potong. Dengan amat bangga, aku menunjukkan kecekapan aku membawa kereta.

"Itukan lampu merah, kenapa tak berhenti?", tegur tester kat sebelah aku. Padanlah aku dapat potong banyak kereta!

"Oh, maaf cik, saya tak sengaja.", Aku mula kalut sebab tester tu dah potong satu markah kat atas kertas ujian aku.

"Awak dah salah jalan ni. Berhenti kat sini biar saya bawak kereta.", Tegur tester tu dan barulah aku sedar sewaktu asyik menjeling kat muka tester tu, aku dah tersilap jalan.

"Errr, cik.. Saya sebenarnya dah jatuh hati dengan cik. Takkan tak boleh tolong kot. Lagipun saya saja ambik jalan jauh supaya dapat bawak kereta ni lama sikit sambil berkenalan dengan cik..", Aku memberikan alasan paling bernas.

"Ohh, jatuh hati...? Maaflah, hati saya tak pernah bersedia nak sambut hati awak yang jatuh tu. Turun sekarang, biar saya bawak!", Tegas tester JPJ tu sambil sign kertas ujian aku.

"Tak boleh ke saya try sekali lagi, cik?", Pinta aku hampir merayu. Pada aku, memujuk rayu perempuan cantik tak mengapa sebab ia satu perbuatan yang romantis.

"Boleh, tapi kena ambik hari lainlah. Sudah, bak sini saya drive balik JPJ!",Tegas tester tu lagi.

Dan sepanjang perjalanan hari tu, muka aku monyok menyedari betapa seorang perempuan itu mampu menjatuhkan seorang lelaki dengan keayuan mereka.......

Monday, 14 March 2016

Hikayat Pak Londeh dan Mak Sodeh

Telah tersebutlah didalam sebuah novel lama Jerman perihal satu cerita di Tanah Melayu ada sepasang suami isteri yang bernama Pak Londeh dan Mak Sodeh. Novel ini ternyata memperkecilkan-kecilkan 'keheroan' Pak Pandir kerana diterjemahkan oleh Ghulam Sapi (seorang buruh Bangladesh di KLCC). Pada bab lapan baris kelapan dari perenggan kelapan ayat itu berbunyi, "Tiadalah ada sangat kebodohan Pak Pandir itu kerana Mak Andih itu pandai. Tiadalah seciput pun kepandaian Pak Londeh itu kerana kepandaian Mak Sodeh itu bodoh jua sepertinya."

Adapun mengikut terjemahan Ghulam Sapi lagi, sebelum jodoh mereka sampai, tiadalah Pak Londeh dan Mak Sodeh itu pernah bersua muka. Justeru, demi kerana patuh kepada arahan kepada dua orang tua yang menjodohkan mereka, maka tiadalah pernah mereka itu dating menonton wayang kulit mahupun opera cina sebagaimana orang muda kebanyakan. Maka, pada hari pernikahan tiadalah Pak Londeh mahu melafazkan nikahnya, malah dia berkata,

"Tak kenal maka tak cinta..."

Riuhlah para hadirin kerana berbincang mencari akal untuk menghalang majlis itu dari menjadi batal. Tiadalah mereka itu mendapat akal meskipun telah lapan tin biskut merie habis menjadi santapan sehinggalah seorang budak kecil berkata,

"Usahakan agar mereka berkenalan...!"

Maka berlangsunglah juga majlis itu dengan penuh meriah kerana kedua mereka terus jatuh cinta setelah berkenalan.

Arakian setelah berkahwin, terlalulah kerap Pak Londeh meninggalkan Mak Sodeh berpekan-pekan di rumah. Barang ia kembali seketika pasti akan ditinggalkannya semula. Pada suatu hari, bertanyalah Mak Sodeh pada suaminya yang baru pulang,

"Kanda Londeh, kenapakah dinda sering ditinggalkan sendirian?"

"Sayang isteri, tinggal-tinggalkan..." Begitulah adanya jawapan Pak londeh.

Berkatalah Mak Sodeh pula,

"Alangkah girangnya hati dinda mendengar demikian tingginya cinta dan sayang kanda. Marilah kanda ke dapur, ada dinda sediakan juadah hanya untuk kanda."

Adapun didalam kata-kata itu, suara Mak Sodeh terlalulah halus sepertimana suara orang perempuan didalam filem dulu-dulu.

Berlari-larilah Pak Londeh ke dapur membawa perut laparnya sambil bertanya,

"Juadah apakah dinda?"

Adapun sewaktu Mak Sodeh menjawab,

"Badak Berendam."

Pak Londeh telah berlari-lari semula ke anjung kerana tidak berani menjamah seekor badak sumbu yang sedang mendengus dan menggigil kesejukan akibat direndam. Barang terpandang sahaja wajah isterinya lagi maka hilanglah rasa lapar Pak Londeh diliputi rasa sayang yang membara. Serta-mertalah dia meninggalkan isterinya yang sedang mengeluarkan seekor anak badak dari besen besar.

Demikianlah halnya corak kehidupan mereka sekian lama sehinggalah menimbulkan kegelisahan di pihak kedua-dua orang tua mereka. Berfikirlah kedua orang tua mereka tersebut dibantu oleh orang kampung yang turut bergotong-royong berfikir demi mengatasi masalah sedemikian ini kerana tiadalah mereka mahu kasih sayang memisahkan Pak Londeh dan Mak Sodeh. Tiadalah mereka berhasil mendapatkan akal yang bernas melainkan idea yang tak boleh pakailah jua.

Pada suatu hari, berkatalah budak kecil yang pernah memberikan idea bernas di majlis perkahwinan tempoh hari...

"Apa kata kalau mereka berdua dihantar ke satu pulau yang jauh dan ditinggalkan tanpa perahu. Tentu Pak Londeh tidak dapat meninggalkan Mak Sodeh lagi..."

Gembiralah sekalian orang yang sedang berfikir-fikir itu dengan berkata,

"Hamba pun memang ada berfikiran begitu tadi."

Teruslah Pak Londeh dan Mak Sodeh dihantar ke suatu pulau yang jauh dan ditinggalkan keduanya disana. Maka hiduplah mereka berdua di pulau itu dan tiadalah Pak Londeh dapat meninggalkan isterinya lagi walaupun teramat sayang.

Setelah delapan purnama lamanya mereka hidup disana, maka Mak Sodeh telah hamil dan kandungannya makin membesar. Maka, teringatlah Mak Sodeh jika mengikut adat, kandungannya itu telah patut dilenggang perut. Gusarlah hatinya apabila hal ini diajukan kepada Pak Londeh. Lalu dengan tersenyum dia berkata,

"Kanda jua handal melenggang perut."

Setelah berkata demikian itu, teruslah Pak Londeh melenggang perut.

Asyiklah Mak Sodeh memerhatikan Pak Londeh melenggang-lenggang perutnya. Melihatkan dari cara dan kelembutan Pak Londeh melenggang perutnya sendiri itu, memang layaklah Pak Londeh digelar Raja Lenggang.

Adapun mengikut terjemahan Ghulam Sapi lagi, setelah Mak Sodeh itu melahirkan anak, maka berkatalah Pak Londeh,

"Sayang anak, tangan-tangankan..."

Maka, anak kesayangan mereka itu ditampar bergilir-gilir sehingga mati, sehinggalah mereka menemui ajal tiada seorang pun zuriat mereka yang hidup untuk mewarisi pulau itu kerana semuanya mati ditampar.

Pada baris-baris akhir novel itu, ada satu ayat yang penuh dengan bunga bahasa bangla yang mana setelah diterjemahkan oleh Ghulam Sapi berbunyi,

"Sini nagari sanang cari wang....!"

P/s : Moral of the story? Lu pikirlah sendiri...

Kreadit : Majalah Ujang (Hikayat Pak Londeh dan Mak Sodeh)