jom follow....

Thursday, 8 February 2018

Masih ada kah cahaya untuk hari esok?

Matahari bersinar seperti hari-hari yang selalunya ia diperintahkan untuk bercahaya. Melata semua hidupan di dunia memerlukan cahaya untuk terus menjana abadi rutin harian dan mencari rezeki. Alhamdulillah, Dia terus memberi ruang untuk terus bernafas dan bergerak walaupun dalam keadaan yang sedikit terhad.

Pagi-pagi anakanda Harith dah buat perangai, menangis kerana abah terlupa untuk membawa kertas lukisannya ke sekolah. Abah hantar anakanda harith ke rumah atuknya sebab atuknya nak tolong hantar anakanda ke sekolah. Kebiasaannya begitu sejak anakanda melangkau usia 7 tahun pada tahun ini.

Sebelum bergerak ke luar dari rumah tu, anakanda terus menangis dan menendang kaki abah dengan kuat. Abah hampir nak jatuh tapi abah sempat berpaut pada dinding rumah atuk dia. Abah senyum dalam kelat walaupun abah marah dengan anakanda. Atuknya memujuk cucu.. Anakanda terus menangis merengek..

Jam dah menunjukkan pukul 7.00 pagi, abah dah lewat untuk ke tempat kerja. Abah fikir, renung dalam-dalam gambar anakanada harith yang ada dalam kereta, dalam hati abah berkata,

"Kalau dia tak hantar kertas lukisan tu nanti, cikgu marah dia pulak..."

Abah pun patah balik semula ke rumah dan ambil kertas lukisan yang hendak dihantar, namun anakanda tiada di ruang tamu,

"Agaknya, atuk dgn uwan dia tengah mandikan kat atas kot....?"

Abah yang malang ni terus meletakkan kertas lukisan tersebut diatas beg sekolah anakanda tanpa memberikan apa-apa pesan kepada anakanda Harith ataupun uwan dan atuknya kerana abah dah terlalu lewat untuk ke pejabat.

"Aku dah lewat sangat ni... Aduiiii...", start enjin kereta dan terus memecut ke pejabat.

Selang beberapa minit, abah perasan yang lampu telefon bimbit menyala-nyala,

"Ya Allah, aku silent telefon rupanya... Sampai 13 missed call..." 

Abah pun jawab panggilan tu,

"Awak kat mana ni? Kertas lukisan anak kat mana? Awak tahu tak mak terjerit-jerit kat bawah rumah tu sebab anak nak kertas lukisan dia. Saya malu la dengan jiran-jiran... Awak dah letak ke tak kertas lukisan dia tu?!"

Pertanyaan isteri membuatkan abah terkedu dan marah.

"Kertas lukisan tu saya dah letak kat rumah mak. Ada atas beg dia. masa saya letak tadi takde orang kat rumah.."

"Kalau dah letak mesti la ada kat rumah tu.. Awak letak kat mana?! Awak tolong jangan buat hal dengan mak ayah saya boleh tak?!" Satu lagi pertanyaan yang membuatkan abah bertambah marah. Ego abah tersentuh.

Untuk tidak menambahkan lagi keruhnya keadaan, abah matikan telefon. Abah mencarut sepanjang perjalanan yang sesak dengan kenderaan. 

"Kenapa uwannya sampai nak terjerit-jerit dari luar rumah untuk minta carikan kertas lukisan anak..? naik dan cari saja kan boleh kalau begitu..?", Pertanyaan itu terus berlegar dalam fikiran.

"Astaqfirullah'aladzim... Panas baran sangat aku ni...", Abah called isteri semula, lalu abah menceritakan semuanya apa yang terjadi pagi tadi.

Dalam perbualan tu, tiba-tiba terpacul isteri mengungkit semua perkara. Semua salah lama dan salah yang bakal abah buat. Semua diungkit dan diceritakan sehingga tiada noktah. Dia mengungkitkan kalau suami orang lain macam ni, suami orang lain macam tu.. Ungkit tentang payah mudah mak ayahnya menjaga cucu. Katanya semua salah abah yang malang ni.

Katanya lagi, 

"Start hari ni jangan ada dah facebook, game online semua tu.. Mak selalu cakap awak asyik pegang henfon je, tak nak pegang anak langsung..."

Itu fitnah.. Mana mungkin seorang abah tak langsung pedulikan anak. Sedih. Hati ni makin hilang kepercayaan pada insan yang bergelar mertua. 

Abah yang malang ini terus mematikan panggilan telefon yang dibuat. Tak sanggup nak dengar bertalu-talu hinaan terhadap diri abah dan orang tua abah.

Kemudian, masuk pesanan whatsapp berbunyi lebih kurang begini,

"Kita ni dah tak ngam, rasanya elok kita berpisah. Saya pun tak sakit kepala, mak ayah saya pun tak sakit hati tengok awak..."

Terasa seperti alam sedang mentertawakan abah yang malang ini. Kenapa semua benda baik yang abah buat tiada siapa nak ingat. Kenapa bila ada benda buruk/ jahat seperkara dua terus ingatan terhadap perkara baik itu dilenyapkan dalam fikiran mereka.

Berkahwin dengan anak orang berada, ini lah 'makanan'nya. Bertahanlah wahai hati demi anak-anak....