jom follow....

Tuesday, 14 July 2015

Selamat Hari Raya 2015...

Semakin hari ke penghujung Ramadan, sementara menanti kemunculan LailatulQadar, ada satu pertanyaan yang tiba-tiba muncul dalam fikiran. Apa yang best sebenarnya menyambut hari raya di Kuala Lumpur?

Lemang, ketupat dan rendang? Aku tak fikir hidangan tradisional masyarakat melayu ini bakal membawa apa-apa erti pada hari raya di Kuala Lumpur. Sebab apa? Sebab kat bandar yang besar dan serba moden ni masakan tradisional dah jadi makanan harian. Lemang yang dibakar tu sentiasa ada. Kalau tak percaya, cubalah pusing-pusing di kawasan Hulu Kelang, Wangsa Maju, Pasar Tani MAEPS takpun dekat pusat membeli belah Kompleks Pernas Sogo dekat level LG.

Juadah ni jugak dah biasa menjadi hidangan majlis-majlis seperti majlis khatam Quran, majlis kenduri doa selamat, majlis perpisahan dan macam-macam majlis lagi. Hidangan ini juga boleh didapati di restoran atau hotel-hotel eksklusif. Itu belum cerita lagi pasal kuih-kuih tradisional seperti dodol, bahulu, samperit, wajik dan sebagainya. Semuanya ada setiap masa di Kuala Lumpur.

Maaf kalau aku kata, benda-benda ni semua tidak lagi membangkitkan langsung nostalgia berhari raya. Mungkin bagi generasi muda yakni generasi baru dibandar, makanan ni takde kena-mengena dengan kemeriahan Syawal sebab anda mungkin tidak pernah rasa membesar dikampung dan merasai betapa meriahnya hendak menyambut bulan Syawal.

Kalau kat kampung, suasananya berbeza. Zaman kanak-kanak dulu meriah dengan suara emak yang riuh masak ketupat, jaga api rendang. Kami dua beradik 'dipaksa rela' menukar langsir, cuci sawang, pergi kedai beli agar-agar dan berbagai lagi kerja yang cuma dibuat setahun sekali!

Hari raya memang meriah dan serba mewah. Bagi aku pada masa itu, kalau dapat makan ayam dan daging tu memang dah kira mewah sangatlah tu. Mana taknya, dulu nak makan ayam dengan daging susah sangat. Maklumlah kami bukannya orang senang macam sesetengah orang yang kalau nak makan apa semua boleh dapat...

Oh ya, pada pendapat aku secara individu.. Pagi raya merupakan pagi pesta makan. Aku akan makan sampai kenyang. Kemudian bersandar dengan kaki melunjur ke depan sambil menepuk-nepuk perut. Demikianlah, suasana hari raya di kampung. Oleh sebab masa tu hidangan hanya ada pada hari raya, jadi ia dapat membangkitkan kemeriahan dan syahdu bila tiba takbir bergema.

Tahun 2015 ni, aku tak berhari raya dikampung. Biar di Padang Rengas mahupun Rembau, raya kami sekeluarga tahun ni hanya di Kuala Lumpur. Sebabnya isteri aku tak dapat cuti macam dulu-dulu.. Kalau dulu mengajar di Sekolah Kebangsaan cuti raya boleh la jangkau hingga seminggu tapi sekarang sejak berpindah sekolah mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan tak dapatlah nak cuti panjang macam dulu-dulu...

Hmmmm, memang bosan beraya di Kuala Lumpur dan ianya langsung tak membangkitkan semangat dan syahdu Syawal. Tapi, sekurang-kurangnya tahun ni kami tak berebut-rebut atas lebuhraya untuk pulang berhari raya di kampung....!


Selamat Hari Raya, Kawan-kawan..