jom follow....

Thursday, 20 November 2014

Kembara Umrah #3 : Miqat Dan Ihram Di Yalamlam

Bergambar dalam kereta Omar masa kat stesen minyak.

Pengembaraan ke tanah suci terus meredah jalan raya yang dikelilingi padang pasir. Sayup-sayup nampak cahaya dari rumah orang. Kerani Pakistan beritahu tadi yang perjalanan ni akan mengambil masa lagi beberapa jam membelah angin malam diatas jalan raya. Kami semua terikat dengan tempat duduk yang menyakitkan urat belikat.

Kereta yang dipandu Omar meninggalkan kereta aku jauh ke belakang. Aku bukan tak nak bawak laju-laju tapi teringat akan amaran polis trafik arab tadi terus rasa kecut perut. Lagipun ini tempat orang, tanahair orang, jadi kita sebagai orang luar kena la hormat dengan undang-undang dan peraturan ditempat orang.

Tiba-tiba telefon berbunyi,

"Anoy, kita berhenti kat Yalamlam. Miqat kat situ...", Suara Omar dalam telefon memecah keheningan dengkuran kawan-kawan kat tempat duduk belakang.

"Hah, miqat? Ok.. Ok.. Ye..Ye..!"

Sejujurnya, itu kali kedua aku dengar perkataan miqat. Kali pertama ialah semasa sesi pembelajaran dalam tingkatan lima subjek agama Islam ketika Ustaz Mansoroddin (kini arwah) mengajar tajuk haji dan umrah.

Masjid Miqat Yalamlam.
Miqat ialah satu tempat yang dikhususkan untuk berniat umrah. Allah SWT mensyariatkan beberapa tempat tertentu bagi memagari Kota Suci Makkah. Miqat umpama seperti pos kawalan yang dijaga oleh para malaikat. Ia menjadi sempadan antara tanah halal dan tanah haram. Di akhir zaman, Dajjal takkan dapat memasuki Kota Makkah bagi menjalankan tipu daya dan fitnahnya untuk menyesatkan manusia.

Apabila sampai di Yalamlam, kami disambut dengan suara-suara orang arab yang menjual kain ihram. Kain ihram yang dijual adalah free size. Harganya pula lebih kurang 25 riyal. 25 riyal bersamaan dengan RM 25. Kalau kat Malaysia aku tak pasti berapa harga kain ihram yang dijual.

Tempat jualan kain ihram di Yalamlam.

Ada lebih 3 buah kedai kat sini. Semuanya jual barangan untuk berihram.
Apabila berniat hendak mengerjakan umrah, para tetamu Allah akan masuk dalam keadaan berihram. Ia adalah pakaian khusus untuk ibadah umrah atau haji.

Ihram lelaki terdiri daripada 2 helai kain kapas yang tidak bercantum/berjahit. Biasanya 2 setengah meter panjang dan 1 meter lebar setiap helai. Sehelai untuk menutup aurat di anatara pusat hingga ke buku lali. Sehelai lagi untuk dibuat selendang menutup kedua belah bahu dan seluruh bahagian dada serta perut. Kain ihram disunatkan berwarna putih.

Ihram untuk wanita pula terdiri daripada pakaian yang menutup seluruh anggota tubuh selain daripada muka dan kedua belah tapak tangan, sama seperti pakaian untuk bersolat. Seperti lelaki, ihram wanita juga disunatkan berwarna putih.

Sesi bergambar sebelum memakai ihram. Amacam, ranggi tak kitorang? Hihi..
Ini kali pertama aku pakai ihram. Diorang kata,

"Kau pakai kain ihram ni, lilit-lilit je.. Macam kau pakai tuala.. Lepas tu kau ikat la macam pakai sampin, gulung-gulung je..."

Seperti mana yang diorang cakap, aku pun lilit-lilit. Lilit punya lilit, gulung punya gulung terasa macam pakai sari pulak, kata aku kat dalam hati sambil ketawa perlahan-lahan. Mana taknya, ini pengalaman baru seumur hidup. Pakai ihram, mana boleh pakai seluar dalam sebab tu terasa berangin je luar dalam. Untuk mengetatkan lagi lilitan, aku pakai tali pinggang khas untuk ihram.
Alhamdulillah, lepas mandi dan pakai ihram, kami semua buat solat sunat di Masjid Yalamlam.

Gambar kenangan selepas memakai kain ihram dihadapan Masjid Yalamlam. Saya berdiri no. 2 dari kiri gambar.
Selesai solat sunat, kami semua berkumpul diluar perkarangan masjid dan mendengar taklimat daripada Kerani Pakistan dalam bahasa inggeris, Dalam taklimat tu, antara perkara yang diingatkan ialah tidak membunuh binatang, banyakkan bertahmid, tidak boleh mencabut bulu, tidak boleh memotong kuku, mencabut atau memotong pokok yang ditanam di tanah haram, melakukan muqadimah persetubuhan, bersetubuh dan memakai bau-bauan.

Pantang larang ketika berihram merupakan satu tuntutan wajib umrah yang sangat berat. Ia boleh kelihatan terlalu sukar serta amat mencabar jatidiri dan perilaku menagih sifat sabar yang gigih.
Bukan mudah menggapai nikmat dan rahmat tuhan. Semua pantang larang ini bakal menjadi gelanggang dan pentas dalam ujian yang bakal ditempuhi.

Mungkinkah krediabiliti hamba ini bakal teruji.....?

~ End of part 3 ~

To be continued...

Tuesday, 18 November 2014

Kembara Umrah #2 : Niat Kerana Allah Taala

Al-Quran itu..
Jam dah pukul 1.00 pagi. Sepanjang perjalanan, gelap-gelita. Agaknya unta-unta liar kat padang pasir ni sudah pasti sedang enak beradu dicelah-celah kaktus yang tumbuh melata diatas pasir yang tandus ni. Minyak kereta tinggal lagi satu takuk. Mujur ada stesen minyak yang masih buka walaupun dah jauh malam. Boleh refresh sekali..

Kawan-kawan kat belakang yang menjadi penumpang, tidur bukan main sedap lagi. Amboi diorang ni...... Saat tu dalam fikiran aku mula timbul rasa menyesal sebab buat lesen antarabangsa. Sambil mula rasa nak menyesal, aku belek-belek dalam dashboard kereta tu sambil tunggu kawan-kawan yang lain refresh kat tandas stesen minyak tu. Dalam dashboard tu kosong.. Takde apa-apa kat dalam.

"Anoy, stesen minyak ni takde toilet la.. Pak arab tu kata kalau nak kencing, pegi kat madrasah seberang jalan tu..", Kata Ikhsan sambil pegang tin pepsi.

"Takpe la.. Korang pergi dulu, aku pergi kemudian...", Sambil masukkan muncung nozzle dalam tangki minyak kereta superb laju, aku perhatikan diorang melintas jalan.

Ingatkan tengah malam takde kereta, rupa-rupanya banyak jugak kat sini. Agaknya diorang ni pun tengah dalam perjalanan nak pergi umrah kot sama macam kitorang. Sambil isi minyak, aku perhatikan pak arab tuan punya stesen minyak tu, dia duduk atas kerusi malas dengan tangan memegang tasbih. Mulut dia tak henti berzikir. Lepas isi minyak, aku park kereta kat hujung stesen bagi menghormati kenderaan lain yang datang singgah nak isi minyak.

Disebabkan kawan-kawan lama sangat refresh kat toilet madrasah, aku pun hisap rokok yang entah siapa punya yang ada kat dalam kereta tu. Teringat pesan seorang sahabat kat site yang kaki merokok. Dia kata,

"Anta tahu tak kenapa harga rokok kat arab ni murah?"

"Entah, ana tak tahu... Ana maafi ma'lum, ya sheikh...", Aku jawab ringkas.

"Sebab kerajaan diorang nak orang-orang arab ni mati cepat.. Hahahaha..!!", Dia ketawa besar.

Dari ketawa dia tu, aku tahulah dia cuba membuat lawak bagi meredakan situasi tekanan kerja yang dia tengah hadapi masa tu. Pada pendapat aku secara peribadi, rasanya kalau kitorang semua tak dapat absorb tekanan kerja yang ada pada masa tu agaknya dah lama kami semua mati serentak sebab sakit jantung!
Aku pun tersenyum sorang-sorang dalam kepulan asap yang menjadi makanan jin.

"Noy, kau pergilah pulak... Aku standby kat kereta..", Ikhsan menyapa sambil teguk air pepsi sejuk.

Uiii, mamat ni biar betul? Tengah-tengah malam sejuk dingin cenggini minum pepsi sejuk-sejuk? Lepas hisap rokok, aku ke toilet. Shishi lebih kurang kemudian ambik wudhuk dengan harapan badan terus segar sementara nak sampai kat bumi Makkah nanti. Minyak pun dah full tank!

Sebelum bergerak, aku buka semula dashboard kereta untuk simpan wallet. Apa yang paling mengejutkan, dashboard yang tadinya kosong tiba-tiba terisi dengan senaskhah Al-Quran. Aku tanya kawan-kawan,

"Ada tak sapa-sapa yang tinggalkan Al-Quran dalam dashboard ni?"

Diorang semua kata takde. Aku jadi hairan. Sepanjang perjalanan aku dok pikir pasal kejadian ni. Conclusion, aku anggap ni sebagai dugaan kedua yang berupa rahmat dari Allah SWT. Terus aku istiqfar banyak-banyak sebab masa mula-mula tadi rasa macam menyesal terpaksa memandu jauh ke Makkah sambil kawan-kawan tidur lena kat belakang.

Bermula pada saat tu, aku ikhlaskan hati bawak kawan-kawan ke tanah suci Makkah. Semuanya kerana Allah taala.. Lillahi taala...

~End of part 2~

To be continued....

Monday, 17 November 2014

Kembara Umrah #1 : Ditahan polis Arab

Jujur cakap, umrah pada hari ini sudah dianggap sebagai satu trend atau budaya popular dikalangan ummah. Makkah dan Madinah menjadi destinasi pilihan buat mereka yang ingin berhijrah. Ternyata ia satu perkembangan positif yang amat ketara.

Ibadah umrah ini jika benar-benar difahami, dihayati dan diamalkan pasti dapat menjernihkan hati serta membersihkan fikrah manusia. Apa yang diperintahkan mempunyai natijah yang saksama. Pasti ada hikmah-hikmah yang tersembunyi...

Teringat pada pengalaman pertama kali mengerjakan umrah semasa berkelana mencari rezeki di bumi Anbia'. Cukup gembira bila lelaki Jerman merangkap bos kami, Mr Klausse memberikan cuti ekstra satu hari atas sebab tekanan kerja di tapak projek.

Keadaan di tapak projek Pencawang Masuk Utama Al-Kudmi 380/132 kV, Jizan, Arab Saudi.
Jadi, kami orang-orang Malaysia yang bekerja di Al-Kudmi telah membuat keputusan untuk mengerjakan umrah dan melantik kerani dari Pakistan sebagai ketua rombongan (sebab dia kata dia dah pergi umrah beberapa kali dari bumi Jizan dengan menaiki kereta) ~ Kami pun percayakan beliau bulat-bulat....

Inilah dia ketua rombongan kami, Mr Nassir.
Dengan semangat berkobar-kobar, pada jam 9.00 malam kami bertolak dari rumah dengan konvoi 2 buah kenderaan yang superb laju. Perjalanan adalah lebih kurang 730 KM.

Sepanjang perjalanan, aku merupakan driver yang dilantik sebab aku ada lesen antarabangsa. Memang aku pecut tak ingat. Nak jadi cerita, dugaan pertama mengerjakan umrah ni ialah kereta yang aku pandu kena tahan dengan polis trafik Arab Saudi sebab bawak laju sampai 160 km/h. Cuak betul masa tu. Dari belakang polis tu kejar siap dengan bunyi siren macam dalam filem Hollywood. Bila dah berhenti tepi jalan, polis tu mintak lesen dengan pasport. Mujur dalam lesen dengan pasport tu ada tertera nama Malaysia. Kemudian polis tu tanya...

"Anta Malizi?"

"Aiwa, Saddiq.. Ana Malizi.. Ya Saddiq, ana maafi ma'lum kalam arabic.. Ana go umrah..Makkah..Makkah...!", Terpaksa guna bahasa Inggeris rojak sebab penduduk tempatan kat Arab Saudi rata-rata tak pandai berbahasa Inggeris.

Kereta superb laju yang menjadi perhatian polis trafik Arab Saudi...
"Malizi good... Mahathir good..!", Kata polis trafik tu sambil tunjuk isyarat bagus dengan menaikkan ibu jari kanan beliau. Pengaruh Tun Mahathir sangat kuat di negara arab kerana keberanian Tun membidas kuasa-kuasa besar yang memporak-perandakan negara-negara Islam.

"Na'am..! Na'am...! Mahathir good, arab people also good.. Pretty and beautiful..", Aku cuba pancing polis tu dengan memuji kecantikan wanita arab yang aku nampak masa mula-mula menjejakkan kaki ke Carrefour di bandar Al-Khobbar lepas sampai dari lapangan terbang Dammam setelah lapan jam perjalanan dari Kuala Lumpur International Airport (KLIA).

Kap, alif, ro', fa,wau, ro' = Carrefour

"Aiwa... Mahathir good. But, you no good.. Anta drive fast.. 160 km/h no! 110 km/h only", Polis trafik tu bagi amaran.

"Aiwa, Saddiq, ana say sorry.. Ana maafi ma'lum my car going fast...", Saat cuak tu bahasa arab dan bahasa Inggeris aku jadi kacau-bilau. Kawan-kawan kat belakang diam je, Semua tengah cuak. Aku lagi cuak, kang tak pasal-pasal je kena sumbat masuk dalam jel macam cerita Ahmad Albab.

Lepas slow talk selama 15 minit, polis trafik tu lepaskan kami dengan amaran lisan. Dia kata, lepas ni kalau dia detect kereta yang aku bawak tu lebih dari 110 km/h, dia akan tangkap kami semua sumbat dalam penjara!

Lalu, pengembaraan menunaikan ibadah umrah ini diteruskan.....

~ End of part 1 ~

To be continued....


Thursday, 13 November 2014

Abah Mana Tak Risau Bila Anaknya Sakit..

Kawasan jeti Kampung Pendas. Sini ada banyak bot sebab tu Harith suka sangat-sangat!

Selama seminggu aku terpaksa ambik cuti rehat untuk menjaga anakanda Harith kat rumah Johor. Umminya dah tak larat nak jaga sorang sebab dia pun nak jaga baby dalam perut yang kuat menendang tu lagi.. Kesian betul isteri aku.. Demam Harith wife aku kata teruk sangat-sangat, sampai dia meracau, tak lena tidur. Umminya dah dua malam tak tidur sebab nak stabilkan suhu panas badan Harith.Tampal Bye-bye fever pun tak jalan. Aku risau menggelabah ayam semasa wife aku kata Harith meracau tengah-tengah malam sebab tak tahan sakit time aku still kat Kuala Lumpur minggu lepas. Budak kalau demam panas sangat, boleh effect kat otak...

Ya, setengah orang cakap,

"Demam tu biasalah, budak nak besar.. Nak beralih bulan la tu...."

Memang la budak demam tu biasa. Tapi, kalau dah panas sangat-sangat sampai meracau tu bukan biasa lagi dah, bro. Setengah orang jugak cuma tahu membebel, suruh buat itu ini tapi tak reti nak jaga apatah lagi nak suap makan ubat. Bila baby tu mengelak makan ubat mereka akan berkata,

"Biarlah dia tak nak makan ubat, jangan dipaksa..."

Itu telahan salah bagi sesetengah orang. Kalau anak tu tak nak makan ubat, jangan ikut cakap orang yang larang kita paksa anak makan ubat. Suap jugak ubat dalam mulut anak. Kalau terjadi anak tu mati sebab demam panas, orang luar akan salahkan ibubapa, undang-undang akan salahkan ibubapa sebab kecuaian tak bagi anak makan ubat semasa sakit.

Selama Harith demam teruk + meracau + batuk berkahak + cirit-birit + selesema, badan dia lembik terus. Langsung tak bermaya. Langsung tak lalu makan/minum. Orang yang HANYA melihat saja keadaan Harith masa tu memang cuma akan kata,

"Demam biasa je tu..."

"Budak ni manja sangat!"

Hati ibubapa mana yang tak risau, sedih bila melihat anaknya sakit, perubahan yang sangat-sangat drastikdari seorang yang lincah terus jadi tak bermaya lembik terbaring atas tilam. Dugaan ni mungkin tak sehebat pengalaman kawan-kawan yang anak mereka terpaksa menjalani pembedahan jantung berlubang pada usia kecil. Tiba-tiba terbayang keadaan anak sahabat Brader Zimbo. Tetiba terbayang anak Kak Shikin. Anak mereka antara yang terpaksa melalui pembedahan pada usia kecil. Alhamdulillah, sekarang anak-anak ni dah selamat dan membesar dengan sejahtera..



Anakanda saya sedang membeli siput sedut dengan opahnya.
Harith suka tengok orang punggah ikan atas bot.

Kat sungai perak hari tu abah tak bagi naik bot sebab ayor besor, tapi hari ni Harith naik bot jugak sebab abah bagi, lagipun bot ni tak jalan.. Abah sebenornya takut dengan ayor... Get well soon, harith..

Untuk mengembalikan mood sihat Harith, aku bawak dia pergi ke tempat yang dia suka, enjoy dan seronok serta berpotensi dapat menurunkan suhu panas badan dia. Antara tempat yang menjadi kesukaan Harith ialah Jeti Kampung Pendas (Tempat nelayan menurunkan ikan) dan Stesen Keretapi Kempas Baru ~ terima kasih buat brader Tokwe yang memperkenalkan aku stesen keretapi ni masa mula-mula aku sampai kat Gelang Patah ~.

Alhamdulillah, lepas bawak dia ke tempat yang dia suka tu demam dia terus turun mendadak. Syukur sangat-sangat ke hadrat Illahi.

Isu demam panas ni mungkin isu biasa bagi sesetengah orang. Tapi, percaya dan beringatlah bahawa demam panas yang teruk ke atas kanak-kanak boleh menjejaskan fungsi otak anak-anak malah ada yang membawa maut!

p/s : kalau anak anda demam, cuba bawak dia ke tempat yang paling dia suka... Ini sebenarnya ubat cara psikologi kanak-kanak selain makan ubat yang dinasihatkan doktor.

Wednesday, 12 November 2014

To KPM With Rayuan...

Aku ke Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kat Putrajaya minggu lepas. Bukan sebab nak mengulang kertas soalan SPM, tapi sebab nak buat rayuan pertukaran isteri tercinta yang mana permohonan online pertukarannya dalam eG-tukar tak diluluskan pihak kementerian.

Masa melangkah masuk ke Aras 3, Blok E2 tu, rata-rata yang datang semua muka tak berapa nak jernih. Maksud aku semuanya berwajah muram, susah hati. Suasana senyap, semua takde mood nak bersembang.

Yang membuat rayuan masa tu, tak ramai. Ada 3 kaunter rayuan yang menempatkan seorang pegawai KPM bagi setiap kaunter.

Berjumpa empat mata dengan pegawai KPM tu sebenarnya bukanlah dalam suasana yang romantis walaupun pegawai KPM tu cantik macam Lisa Surihani. Tapi, suasananya macam orang sedang berkabung. Dihujung kaunter sana, terdengar suara perayu yang agak sedih merayu mohon pertukaran diluluskan. Aku cuba amik mood sedih dalam suasana tu tapi tak menjadi..
Dalam pertemuan tu, aku cuma kata...

"Puan, saya harap sangat rayuan ni dipertimbangkan dengan sewajarnya sebab isteri saya memang betul-betul sakit kronik..."

"Saya akan bawa semua rayuan yang dihantar ni ke pihak atasan. Tapi, dalam masa 30 hari dari tarikh hari ni kalau takde surat sampai ke rumah, encik kena mohon semula pertukaran dalam eG-tukar ye...",kata pegawai KPM yang cantik tu.

Jadi, apa yang dapat dirumuskan kat sini ialah bertawakal.Permohonan dah dihantar, surat rayuan dah dibuat, sekarang cuma tunggu keputusan. Kita berusaha, sekarang tiba waktunya kita bertawakal setelah semua usaha dah dilakukan. Sesungguhnya Allah SWT suka kepada hamba-Nya yang sentiasa bertawakal.

p/s : harap sangat orang rumah dapat bertukar ke Selangor.

Tuesday, 11 November 2014

Taip-taip Bila Marah..

Manusia selalu beranggapan apabila keperluan tak dipenuhi, apabila kehendak tak dituruti, apabila perasaan dikhianati mereka akan terus berasa kecewa, kecil hati lalu perasaan itu akan membuak-buak menjadi punca kemarahan.

Marah takkan menyelesaikan masalah. Dengan marah ia akan membuatkan kita rasa makin tak selesa dengan diri sendiri dan keadaan sekeliling. Semuanya berkait rapat antara satu dengan lain.

Hari ni aku rasa marah, marah sebab benda-benda kecil yang mana bila dikumpul-kumpul ianya menjadi perkara besar yang menjana turbin kemarahan dalam diri. Bila marah, selalunya manusia akan berfikir menggunakan nafsu, logik akal bila marah akan ditolak ketepi bulat-bulat.

Aku bukanlah jenis yang senang marah, juga bukan jenis yang susah nak sejuk bila dah marah. Aku tak kisah kalau orang kutuk belakang, mengumpat macam-macam kat belakang. Dulu, orang mengumpat guna mulut. Zaman sekarang ni, orang mengumpat guna jari. Mengumpat dengan jari ni maksud aku mengumpat menggunakan teknologi chatting contohnya Wassapp. Dulu, mengumpat paling kuat pun dua tiga orang dalam satu kumpulan. Zaman sekarang, kalau mengumpat boleh capai sampai tiga puluh orang dalam satu group. Hebat betul teknologi mengumpat zaman sekarang ni.

Buat mereka yang kaki mengumpat ni, ingat-ingat le kalau tak nak makan daging busuk bernanah kat akhirat nanti, tolonglah berhenti mengumpat. Kalau rasa tak puas hati, cakap depan-depan. Tak payah tarik muka lapan belas bila berhadapan. Ingat, memutuskan silaturrahim sesama muslim, segala amalan yang dia lakukan akan terapung dilangit. Catatan amalannya akan terapung hinggalah dia menyambung kembali ikatan ukhwah sesama muslim yang dia putuskan tu. Jadi, pahala ibadah solat, sedekah, puasa yang dilakukan tak sampai disisi Allah SWT.

Aku sebenarnya tengah hangin. Bukan dengan orang yang tengah mengumpat tapi aku hangin dengan lipas yang suka sangat makan lukisan yang aku lukis berhari-hari untuk disiapkan. Kecewa betul. Lipas tu dengan kawan-kawan dia mesti tengah mengumpat aku kata lukisan aku tu tak cantik walaupun dia dah kenyang merosakkan lukisan tu sehingga menjadi seperti cebisan kain perca.

Kalau aku tahu lipas mana yang punya kerja dok makan lukisan aku tu sampai hancur, siap dia aku spray sampai mati mandatori, lepas tu aku cincang-cincang badan dia dengan pisau seramik sampai hancur...! Haha...
Astaqfirullah....

P/s : Kalau marah,cepat-cepat ambil wudhuk..

Friday, 7 November 2014

Bila Tok Kadi bertanya...


Biasanya doa qunut, rukun iman, rukun nikah, rukun islam dan niat mandi wajib akan selalu dihafal oleh bakal pengantin lelaki apabila menjelang hari pernikahan. Dan seperti biasa juga, ada tok kadi akan menyoal dan membuat sedikit sesi 'interview' bakal pengantin dengan perkara-perkara ini sebelum akad nikah dimulakan.

Bagi sesetengah bakal pengantin, berdepan dengan jurunikah dan menjawab soalan-soalan ini adalah sama debarannya seperti hendak menduduki peperiksaan SPM. Debaran makin kencang bila melihat wajah tok kadi yang serius dan berserban duduk dihadapan para tetamu dan keluarga pengantin perempuan. Rasa macam nak terkencing dalam seluar dibuatnya!

Dalam keadaan berdebar macam tu, lelaki yang hebat macam mana pun pasti akan menggelabah. Apabila menggelabah, perkara yang betul pun boleh jadi silap. Apa yang telah difahami, dihafal berminggu-minggu boleh jadi terlupa dengan tiba-tiba pada saat genting tu.

Perkara ni berlaku kepada seorang sahabat yang dah aku anggap macam diri aku sendiri. Betapa akrabnya kami.. Pada masa itu, dia merupakan seorang juruteknik disebuah syarikat swasta yang membuat kerja-kerja voltan tinggi di sebuah negara arab. Beberapa minggu sebelum akad nikah, sahabat ini bertanya dan mintak tips.

"Nan, masa nikah dulu tok kadi tanya apa?"

Aku pun bagi la tahu kat dia beberapa soalan target yang selalu tok kadi tanya sebelum akad nikah dan beberapa tips serta skema jawapan seperti mana yang dituntut oleh tok kadi.

Bila tiba hari pernikahan, orang ramai duduk mengelilingi bakal pengantin. Ada photographer, ada cameraman, ada mak andam dan macam-macam lagi. Walaupun sahabat ni dah hafal semua 'soalan bocor' namun dia masih gabra.

Bila tok kadi bertanya,

"Pengantin, tahu tak berapa rukun islam?"

"Rukun islam ada lima, ustaz...", Jawab sahabat tadi.

"Cuba sebutkan satu-satu....", Sambil tok kadi menghulurkan mikrofon kepada sahabat, dahi sahabat tadi terus berpeluh-peluh.

"Pertama, kepercayaan kepada tuhan. Kedua, kepercayaan kepada raja dan negara...bla bla bla..", Serta-merta tok kadi tepuk dahi.

Para tetamu pulak ada yang tercengang-cengang. Tak kurang antara mereka yang ketawa berdekah-dekah bagaikan menonton Maharajalawak Mega melihat reaksi pengantin yang gabra berhadapan dengan tok kadi.
Untuk pengetahuan korang, sahabat kita ni sebenarnya tahu semua rukun islam, tapi disaat berada dalam gelabah yang teramat sangat, dia tersilap menyebut 5 fakta rukun negara.

Mujur lepas minum segelas air oren kenduri, dia kurang sikit rasa gemuruh dan berjaya melafazkan akad nikah dengan lancar walaupun terpaksa mengulanginya sebanyak dua kali.

Ingatan tulus ikhlas buat bakal pengantin, jika anda jenis cepat gabra atau menggelabah minumlah segelas air oren. Mudah-mudahan anda akan kurang menggelabah bila berhadapan dengan tok kadi.. Hihihi...