jom follow....

Monday, 14 July 2014

Anak Itu Anugerah...

Kids at work ~ LegoLand, Johor Bahru

Pada waktu dulu bila tiba musim cuti sekolah, orang kita berlumba-lumba buat kenduri kahwin. Setiap kali cuti penggal sekolah undangan makan nasi minyak datang bertalu-talu. Kadang-kadang, undangan berlangsung untuk satu hari ada sampai empat ke lima bijik rumah serentak!

Sekarang, kahwin dah tak ikut musim. Cuti sekolah ke, cuti umum ke, awal tahun atau hujung tahun, musim kemarau mahupun musim hujan, orang tetap kahwin. Aku ada seorang kawan, dia pilih tarikh perkahwinan pada musim hujan. Dia kata, nak buat surprise bersanding atas sampan dalam tengah banjir. Dan dia bertuah kerana betul-betul dapat bersanding atas sampan pada musim banjir. Cuba bayangkan macam mana suasana majlis merenjis diatas sampan. Sebuah sampan untuk pengantin dan sebuah lagi sampan untuk tetamu merenjis. Tetamu akan bergilir-gilir menaiki sampan untuk merenjis ditengah-tengah air banjir. Merenjis sambil sampan bergerak....

Selepas enam bulan mendirikan rumahtangga, kawan-kawan rapat mula mengendeng bertanyakan soalan cepumas. Soalan itu berbunyi,

"Bila nak menimang cahaya mata?"

Atau dalam bahasa kasarnya,

"Engkorang laki bini ni bila nak dapat anak?"

Pertanyaan ni mungkin nampak macam bergurau atau soalan usik-usik buat pengantin pasangan suami isteri. Tapi ingat, tatkala usia perkahwinan sudah menjangkau usia setahun, soalan atau pertanyaan yang sebegitu tak lagi dianggap gurauan oleh mereka yang bergelar suami isteri. Malah, ia mungkin dianggap sebagai satu sindiran dan (kadangkala) sensitif buat pasangan suami isteri yang telah lama mendirikan rumahtangga tapi masih belum dikurniakan cahaya mata dalam kehidupan mereka.

Ujian ini memang sesuatu yang pedih lagi menyedihkan bagi pasangan suami isteri. Sudah 2 tahun berkahwin tapi masih tiada apa-apa tanda untuk menimang cahaya mata. Lalu, dalam sedar atau tidak orang akan mula membuat andaian, bahawa mesti ada yang tak kena diantara pasangan tersebut. Salah seorang pasti bermasalah. Mulut orang akan mula berbisik cakap belakang tentang siapa punca masalah. Mungkin isteri tak subur atau mungkin benih suami yang tak menjadi.

Aku faham perasaan tu, betapa tertekannya perasaan mereka tak kira suami mahupun isteri, ia adalah sesuatu yang amat menyedihkan. Kadang-kadang, ada segelintir pasangan suami isteri yang tak mahu bercampur dengan masyarakat kerana mengelak dari ditanya soalan yang pernah ditanyakan berulangkali,

"Takkan nak duduk berdua je, bila nak dapat baby?"

Dalam lembaran entry ni, aku cuma nak ingatkan kawan-kawan, para pembaca dan sahabat-sahabat sekalian supaya jangan bertanyakan soalan itu kepada pasangan yang masih belum mendapat cahaya mata setelah berkahwin dua tahun atau lebih.

Tapi, disebabkan perangai orang kita ni yang memang suka 'ambik berat', asal jumpa pasti soalan itu yang terpacul dari mulut walaupun dia tahu soalan itu bakal menyinggung perasaan pasangan suami isteri. Cuba-cubalah bawak berhenti dengan sikap yang suka menyinggung perasaan orang lain. Kasihan la sikit, simpatilah kepada pasangan yang belum punya cahaya mata ni...!

Buat pasangan yang dah berusaha sungguh-sungguh tapi masih belum berhasil, teruskan berusaha. Jumpalah dengan doktor pakar bagi mendapatkan nasihat dan rawatan. Jangan sesekali ambik ubat yang diiklankan dalam akhbar, nanti lain pulak jadinya...

Sesungguhnya, kehadiran cahaya mata memang dinantikan oleh setiap pasangan yang berkahwin. Anak itu anugerah. Anak itu rezeki kurniaan tuhan. Kalau sudah berusaha tapi masih belum dikurniakan anak, redhalah..... Percayalah, ada hikmahnya disebalik setiap kejadian.....