jom follow....

Wednesday, 12 October 2016

Isteri Dalam Bidang Pendidikan, Suami Dalam Bidang Kejuruteraan..

Bunga adalah salah satu makhluk tuhan yang disukai oleh wanita...
Nadanya selalu seperti tidak puas hati. Setelah hampir 7 tahun berkahwin, dia merungut bahawa sebagai suami aku kurang memberikan perhatian terhadap diri serta kerjayanya. Selalu dia menyatakan keluhan,

"Saya ni penat, kat sekolah masa mengajar tak boleh duduk. Awak duduk kerja kat pejabat, best laa sebab boleh duduk, ada aircond.. Huh!"

Jujurnya, memang aku simpati. Tetapi, kadang-kadang dia berkata begitu membuatkan aku rasa hendak tergelak. Kelakar dalam kasihan mengenangkan wajahnya yang comel tatkala membebel dalam kepenatan dengan bibir yang terjuih macam ikan todak.

Profesion sebagai guru menuntut banyak kesabaran. Sabar dalam mendidik, sabar dengan pelajar, sabar dengan cerewet ibubapa, sabar dengan karenah guru besar dan perlu bersabar dengan pelbagai lagi perkara yang menuntut keluhuran serta sifat sabar dengan kualiti yang amat tinggi.

Sejak zaman bercinta lagi, aku dah tanyakan pada dia..

"Awak betul ke nak jadi cikgu ni?"

"Ha'ah.. saya suka mengajar, saya suka budak-budak..", Kata dia dengan perasaan bangga.

Tapi, pada hari ni bila aku tanya semula soalan yang sama, jawapannya berbeza...

"Dulu lain, sekarang lain situasinya, Encik Anoy ooi....!!"

Pernah dia berkata,

"Awak seronoklah dekat pejabat ada rakan-rakan kerja wanita yang cantik-cantik, seksi-seksi.. Kerja banyak pun tak rasa penat. Saya kat sekolah tengok muka cleaner dengan guru besar yang garang.."

Bukan aku tak setuju dengan apa yang dia rungutkan tu. Kadang-kadang aku amat bersimpati dengannya. Aku membayangkan betapa penatnya dia memenuhi tuntutan kerja sebagai seorang guru. Sakit kaki, lenguh panjat tangga sampai tingkat 4 untuk mengajar setiap hari!

Cikgu Shila telah banyak berkorban untuk aku dan keluarga. Dialah tukang masak, dialah yang banyak memberikan tumpuan kepada anak-anak yang ketika ini sedang membesar. Dia juga menjadi guru kepada anak-anak malah memberikan tunjuk ajar pagi dan petang.

Mengingatkan kepada pengorbanannya yang begitu besar untuk anak-anak, aku dan rumahtangga keseluruhannya, aku perlu lebih kerap berada disisinya.

Aku berazam untuk menatap wajahnya sepanjang 24 jam. Biar ke pasar bersama, makan cendol bersama, tuai sayur kangkung juga bersama. Bahkan, kalau dia bersetuju, ke tandas pun aku nak bersamanya. Memang aku nak menyatakan hasrat ini kepadanya suatu masa nanti.

Mungkin apabila dinyatakan hasrat itu nanti, ia dapat mengembalikan nostalgia 'Sha' dan 'Abang Adnan'. Walaupun pada hakikatnya kami kini sudah bertukar status menjadi 'umminya' dan 'abahnya'...

Friday, 7 October 2016

Kawan Baik Saya, Dia Anak Saya....

Awliya sekarang dah berusia lapan bulan. Ruang dan masa lebih tertumpu kepada Awliya kerana dia masih kecil. Awliya adalah seorang bayi yang comel dan bijak. Mata ini lebih tertumpu kepada Awliya. Hinggakan kadang-kala kurang perhatian diberikan kepada anakanda Harith....

Aku ingat lagi, sebelum Awliya lahir... Anakanda Harith suka tidur diatas lengan yang besarnya macam ikan siakap ini sewaktu dia masih kecil.

Selepas Awliya lahir, kami suami isteri berusaha untuk memberikan perhatian terhadap anakanda Harith tidak berkurang walau sedikit pun. Anakanda Harith pun tiada masalah dengan adiknya, Awliya. Tidak ada rasa cemburu dengan adiknya sewaktu itu.

Pada awalnya kami suami isteri sabar dengan karenah Harith. Lama-kelamaan perangainya makin menjadi-jadi. Habis semua mainan dibaling ke sana-sini. Kadang kala dia dengan sengaja berlari ke sana-sini sambil menjerit tatkala adiknya sedang tidur.

Suatu hari, Harith mengamuk sebab adiknya bermain mainan kesayangannya. Habis mainan Harith diselaputi air liur Awliya. Anakanda Harith pun naik angin. Anakanda Harith hangin satu badan. Anakanda Harith marah dan dia cuba untuk menyakitkan Awliya. Mujur tindakannya sempat dihalang...

Anakanda Harith terus marah, hinggakan aku sendiri pun turut sama menjadi marah. Aku marah sebab aku dah hilang cara macam mana nak pujuk. Dengan Awliya yang tengah menangis, anakanda Harith pula membentak marah-marah sambil menangis. Sehingga pada suatu saat ketika dia menangis sayu lalu berkata,

"Abah dah tak sayang Harith...!"

Aku terduduk. Aku sedih bila anakanda Harith berkata begitu. Dalam keadaan tak sedar, aku pun turut menangis.

Sikap Harith membuatkan kami suami isteri bingung. Jadi, aku berbincang dan mendapatkan pandangan emak saudara yang sudah hampir dua puluh tahun menceburi bidang tadika taska dan mahir dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Dari input hasil perbincangan dengan emak saudara, akhirnya aku tersedar bahawa selama ini anakanda Harith terasa akan 'kehilangan' ummi dengan abah. Ternyata, anakanda Harith mahu kami selalu disampingnya. Demikian dengan usianya yang masih kecil, anakanda Harith mahu kami menjadi kawan bermain.

Aku termanggu sendirian memikirkan dan cuba menyelami perasaan 'kehilangan' yang anakanda Harith rasai...

Tengah malam tu selesai solat tahajjud, aku menangis. Menangis semahu-mahunya. Bingkas bangun dari tikar sejadah, aku duduk disisi anakanda Harith yang sedang nyenyak tidur, aku usap rambut anakanda Harith. Aku rasa bersalah. Timbul rasa menyesal. Perasaan bersalah ini menebal kerana telah merampas hari-hari bahagia milik anakanda Harith yang pada masa itu berusia empat tahun.

Malam tu aku menadah tangan pada Al-Rahman dengan penuh rasa rendah diri, memohon agar diampunkan dosa dan memohon agar Al-Hayyun memperbaiki lisan ini. Aku berharap pada Dia supaya aku sentiasa mampu menuturkan kata-kata dengan baik dan benar kepada anak-anak. Aku berharap, aku mampu menjadi abah yang terbaik buat anak-anak .

Hari demi hari berlalu, kami bermain bersama, belajar bersama, solat jemaah bersama, hampir semua yang kami lakukan bersama-sama. Anakanda Harith mula menunjukkan perubahan. Seiring dengan perubahan yang aku buat untuk mengambil hati anak-anak.

Selepas selesai makan malam, kami suami isteri bergurau dengan anak-anak. Semasa anakanda Harith ketawa dan seronok bermain geletek-geletek, anakanda Harith berkata..

"Harith suka main dengan abah.. Harith sayang abah.. Harith dah dapat abah Harith balik.."

Aku terharu, aku peluk anakanda harith.. Rasa macam nak menangis tapi aku tahan. Syukur, kami dah 'jumpa' hati kami masing-masing. Harith baru saja 'bertemu' dengan abahnya yang telah sekian lama berubah menjadi orang asing buat dirinya...

Ulasan Cerita Pre-Collector : Komik

Adalah suatu ketika tu, aku takde kerja apa yang nak dibuat kat rumah. Baring atas tilam empuk sambil menepuk perut yang semakin memboroi. Mata ni merenung langit diluar, terserlah warna birunya. Ternyata warnanya sama seperti langit-langit semasa berkelana di negara arab masa dulu-dulu. Biru.. Blue.. Blues...

"PLPAPP! PLEPAPP! PAPP!!", Begitulah bunyi tepukan diperut pada masa tu.

Puas merenung langit diluar, mata aku melilau mencari apa lagi objek yang boleh direnung. Aku menolehkan kepala aku 45 darjah ke arah utara, aku nampak ada komik.. Komik? Ya, ia adalah sebuah komik. Komik yang dah lama aku tak baca. Komik tu anak-anak yang baca sambil conteng habis satu buku.. Aku redha dan memujuk hati untuk terus bertabah selepas anak-anak menconteng komik kesayangan...

Komik adalah sumber inspirasi aku suatu masa dulu tatkala bergelar seorang student. Tinggal di asrama, apa je yang boleh dibuat? Selain bermain spirit of the coin, mencuri buah mempelam warden, lompat pagar, mengorat budak ASPURI, komik atau karektor kartun juga adalah merupakan antara sumber inspirasi kesukaan budak-budak asrama macam kau pada suatu masa dulu..

Komik juga adalah antara sumber pendapatan aku semasa di asrama..

Pada suatu masa dulu, kawan-kawan asrama suruh lukis sesuatu. Bila siap, mereka akan memberikan upah. Walaupun tak banyak, tapi cukuplah untuk backup belanja yang mak ayah bagi setiap bulan.

Kerana komik juga, aku kena denda berdiri kat tengah panas sebab lukis muka cikgu yang aku tak suka sedang mengajar kat depan. Kerana komik juga, aku bergaduh dengan kawan seasrama sehingga tak bertegur sapa selama beberapa bulan sehingga tamat peperiksaan SPM. Kerana komik juga aku berjaya menjatuhkan hati seorang pelajar ASPURI dalam situasi cinta monyet pada masa tu. Tapi, itu semua dulu..

Pada hari ini, rata-rata komik yang ada dipasaran sekarang dah hilang identiti Malaysia. Semuanya ke arah stroke manga. Mata bulat, hidung tajam, mulut kecil dan rambut terjurai kedepan. Kadangkala hati ini tertanya, kemanakah hilangnya identiti komik dan kartun Malaysia? Kenapa orang kita lebih suka kepada komik luar bukannya tempatan?

Persoalan ini terus bermain difikiran..?

Dimana identiti kita..?

Kebangkitan Gila-Gila dan kemunculan Bekazon sedikit sebanyak berjaya merubah proksi kuasa veto lambakan komik adaptasi anime di pasaran. Tambah pula dengan kemunculan sulung komik Jenama X yang mengumpulkan barisan kartunis lagenda tanahair yang terdiri daripada Ubi, Gayour, Bawang, Nik, Lengkuas, Sireh, Tembakau, Lengkuas, Sukun, Bijan dan Aie. Sedikit sebanyak ia telah mengubat hati para pembaca dan kolektor yang membesar dengan hasil lukisan mereka sejak tahun 90-an.