jom follow....

Thursday, 1 December 2016

Cerita dari Gelang Patah ke Tangkak : Tun Mamat?

Dalam minggu ni saya berulang-alik dari Rembau ke tempat kerja di Kuala Lumpur. jam 4 pagi saya dah kena bangun. Bangun awal kerana banyak perkara perlu disiapkan, sebab itu saya terpaksa bangun seawal jam 4 pagi.

Anakanda Harith dan Puteri Yaya terus lena diulit mimpi disamping Permaisuri Hati Cikgu Shila.

"Alahai, sedapnya depa dok tidoq..", kata saya didalam hati sambil tenyeh mata yang tak bertahi.
..............................................

Bergerak ke pejabat dari Rembau menyelusuri lebuhraya PLUS ini mengingatkan saya pada sebuah pengalaman misteri yang pernah berlaku pada diri saya sendiri semasa dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

Tahun 2014 membawa saya kepada gelaran sebagai seorang weekend husband. Ini kerana isteri saya ketika itu bertugas sebagai seorang guru di Sekolah Kebangsaan Ladang Pendas, Gelang Patah. Pulang ke Johor pada petang jumaat selepas waktu pejabat dan balik ke Kuala Lumpur semula pada jam 2 pagi dari Gelang patah.

Pada suatu malam semasa dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, hati saya rasa tak tenang. Kereta pada masa itu tak berapa nak ada di sepanjang laluan lebuhraya yang panjang pada malam tu. Jalan disepanjang lebuhraya pada malam tu lengang dan gelap.

Namun, bila difikir-fikir mengapa hati ni rasa tak tenang dan gelisah, baru saya teringat wang di dalam dompet cuma ada RM 10.00. Kemudian, saya perhatikan jarum tangki minyak menunjukkan baki minyak masih ada setengah tangki.

"Alamak, perjalanan masih ada 300kM lebih lagi ni.. Cukup ke minyak ni? Aduhaiiii, mujur touch N go dah topup siang tadi..!", Saya mengomel sendirian didalam kereta.

Saya menelan air liur lalu memikirkan boleh sampai atau tidak ke Kuala Lumpur dengan baki minyak sebanyak ini? Saya terus menelan air liur sambil membayangkan saya terpaksa menolak kereta seorang diri ditengah lebuhraya dalam keadaan gelap... Seramnya saya!!!

Perjalanan selanjutnya tiada sebarang dialog antara saya dengan diri saya sendiri. Suasana membisu, hembusan angin malam terus menyentuh badan kenderaan dan menerpa ke wajah. Bintang di langit terus mengerdip mengelilingi bulan yang satu. jeritan dan nyanyian angin malam terus bergema.

Masa terus berlalu, ingatan saya terhadap baki minyak kereta yang tinggal kian tumpul. Dengan mata yang terpana dek rasa mengantuk, saya berhenti rehat di kawasan Rehan & rawat (R&R) Pagoh. Jam ketika itu pukul 3.30 pagi.

Selepas meregang dan menyegarkan diri lebih kurang, saya terus ke kenderaan untuk meneruskan perjalanan. tiba-tiba, terdengar suara seorang lelaki menegur..

"Anak, boleh pakcik tumpang naik?"

Saya menoleh ke kiri dan ke kanan, lalu berkata..

"Pakcik cakap dengan saya ke?"

"Ya, dengan kamu... Mana mungkin ada orang lain lagi sedangkan yang ada disini hanya aku dengan kamu..!", Nadanya agak sedikit tegas dalam tenang.

Tanpa disedari, sambil menggaru belakang kepala yang tidak gatal lalu saya menjemput tetamu yang tak diundang itu naik ke dalam kenderaan saya.

Sepanjang perjalanan, 'tetamu' itu banyak berdiam sambil berpeluk tubuh. Dia berpakaian serba hitam dengan kain merah dililitkan dekat kepala.

"Pakcik macam sejuk je, saya slowkan aircond ye..", kata saya sambil memandang kearahnya.

Dia mengangguk setuju.

Kemudian dia bertanya,

"Kamu tahu tentang Melaka?", Saya memusatkan pandangan mata saya kearahnya. Dia masih berpeluk tubuh dan fokus memandang ke depan. Hairan, langsung tiada kenderaan lain masa tu. Gelap!

"Melaka? Saya tak tahu sangat la pakcik.. Lagipun Melaka yang saya tahu pasal Hang Tuah bunuh Jebat je.. Apa la Hang Tuah tu bunuh kawan sendiri.. Ada ke patut?", Saya terus menceceh macam dah lama kenal dengan pakcik tu.

"Penderhaka memang wajar dibunuh! Jebat menderhaka kepada Baginda Sultan! Dia mesti dibunuh, Tuahhhhhh...!!!",Bentaknya keras.

Dalam samar cahaya bulan saya ternampak dia memegang pangkal hulu keris yang agak panjang.

Pada masa tu saya dah mula menggelabah. Mungkinkah hayat saya akan berakhir ditengah lebuhraya ini..?

Dengan segera saya terfikir pakcik ni mesti fanatik(taksub) dengan Sultan Melaka ni. Teringat pada pesan arwah atuk. Katanya,

"Bila terlalu taksub(fanatik) pada seseorang, mungkin boleh membawa kecelakaan pada diri-sendiri. Boleh menumpulkan mata hati dan fikiran, kerana kita terlalu memuja tokoh yang dikagumi. Apa yang dibuatnya semua baik belaka. Sesungguhnya Islam melarang perbuatan memuja seseorang. Perbuatan itu mengundang kamu termasuk dalam golongan syirik kecil. Tok harap kamu tak terjumlah dalam golongan tu."

"Kamu masih mahu membela si Jebat derhaka?!", Nada suara garang tetamu tak diundang itu mematikan lamunan saya.

"Eh, tak! Tak, bukan! Bukan saya nak membela tapi sejarah yang cakap macam tu.. Maaf la pakcik, saya tak tahu apa sebenarnya yang berlaku antara sengketa tiga penjuru Sultan Melaka, Hang Tuah dan Hang Jebat...", Mata saya terus memerhatikan tangan pakcik tu yang masih menggengam pangkal hulu keris.

"Kamu orang muda, buta sejarah..! Usah menidakkan perkara yang kamu sendiri tak tahu...", Kata pakcik tu sambil perlahan-lahan melepaskan hulu bilah keris.

Ya, pakcik.. Maafkan saya.. Saya buta sejarah negeri Melaka. Pakcik ceritakanlah pada saya semua yang pakcik tahu tentang negeri Melaka.

Perjalanan malam tu terasa sangat panjang. Pakcik yang aku gelarkan tetamu tak diundang malam tu menceritakan semuanya. Misteri Puteri Gunung Ledang, Kehilangan keris Tamingsari, Kisah sebenar pemberontakan Hang Jebat, misteri emas dan harta karun Kesultanan Melayu Melaka dan dimana sebenarnya harta itu tersimpan serta beberapa lagi peristiwa yang berlaku di zaman mahsyurnya negeri Melaka.

Saya cuma mengangguk dan kadang-kala menggeleng kepala sebab apa yang dia ceritakan pada saya kadang-kadang terasa macam tak logik. Saya layankan saja..

"Kamu berhentikan aku di sini...", Tiba-tiba pakcik tu bersuara sambil menunjukkan jari hantunya ke arah signboard Tangkak.

"Ni kat Tangkak ni, pakcik.. Pakcik nak pergi mana sebenarnya ni? Saya ingat pakcik nak pergi Kuala Lumpur dengan saya.. ", saya bertanya dalam keadaan hairan.

"Aku mahu ke Gunung Ledang..", Lagi saya bertambah hairan.

Dia nak buat apa pula kat Gunung Ledang? Dah tua-tua macam ni nak pergi naik Gunung Ledang buat apa? Semua pertanyaan ni bermain dalam fikiran saya.

Saya memberhentikan kenderaan di bahu jalan. Sebelum pakcik tu keluar dari kenderaan, dia berpesan..

"Negeri Melaka adalah negeri yang termahsyur. Kami berjuang kerana setia pada baginda Sultan Melaka. Negeri Melaka, negeri berdaulat..!!"

Saya termenung sekejap, memikirkan perkataan 'kami' yang dia gunakan...

Semasa bersalam dengan pakcik tu sambil dia membuka pintu kereta, saya sempat bertanya,

"Pakcik, kita dari tadi bersembang tapi saya tak tahu pun nama pakcik.. Nama pakcik siapa?"

"Tun Mamat....", Aku pandang muka dia, lepas tu aku pandang ke depan sambil ketuk-ketuk stereng dengan jari hantu sambil berfikir.

"Tun Mamat....? Aku rasa macam pernah dengar nama ni.. Tapi, kat mana ye..?", Bentak saya didalam hati yang penuh dengan lubuk perasaan hairan bin ajaib.

"OOOOhhhh.. saya dah ingat dah.... Pakcik la yang dalam cerita Puteri Gunung Ledang yang berlakon dengan M.Nasir tu kan..? Ehhh......??", belum habis cakap, pakcik tu dah hilang.

Saya tengok dari side mirror kiri dan kanan, tengok dari rear view mirror tapi pakcik tu dah tiada. Serentak dengan itu, tiba-tiba bau wangi kasturi semerbak dalam kereta. Minyak yang tadinya hanya tinggal setakuk tiba-tiba menjadi penuh didalam tangki sedangkan tadi saya tak isi walhal satu liter pun dari Gelang Patah.

Saya tak tunggu lama kat situ.. Terus saya masuk gear satu dan memecut selaju mungkin meninggalkan kawasan Tangkak menuju ke Kuala Lumpur......

Moral : Jangan suka-suka hati tumpangkan orang yang tak dikenali..

Wednesday, 12 October 2016

Isteri Dalam Bidang Pendidikan, Suami Dalam Bidang Kejuruteraan..

Bunga adalah salah satu makhluk tuhan yang disukai oleh wanita...
Nadanya selalu seperti tidak puas hati. Setelah hampir 7 tahun berkahwin, dia merungut bahawa sebagai suami aku kurang memberikan perhatian terhadap diri serta kerjayanya. Selalu dia menyatakan keluhan,

"Saya ni penat, kat sekolah masa mengajar tak boleh duduk. Awak duduk kerja kat pejabat, best laa sebab boleh duduk, ada aircond.. Huh!"

Jujurnya, memang aku simpati. Tetapi, kadang-kadang dia berkata begitu membuatkan aku rasa hendak tergelak. Kelakar dalam kasihan mengenangkan wajahnya yang comel tatkala membebel dalam kepenatan dengan bibir yang terjuih macam ikan todak.

Profesion sebagai guru menuntut banyak kesabaran. Sabar dalam mendidik, sabar dengan pelajar, sabar dengan cerewet ibubapa, sabar dengan karenah guru besar dan perlu bersabar dengan pelbagai lagi perkara yang menuntut keluhuran serta sifat sabar dengan kualiti yang amat tinggi.

Sejak zaman bercinta lagi, aku dah tanyakan pada dia..

"Awak betul ke nak jadi cikgu ni?"

"Ha'ah.. saya suka mengajar, saya suka budak-budak..", Kata dia dengan perasaan bangga.

Tapi, pada hari ni bila aku tanya semula soalan yang sama, jawapannya berbeza...

"Dulu lain, sekarang lain situasinya, Encik Anoy ooi....!!"

Pernah dia berkata,

"Awak seronoklah dekat pejabat ada rakan-rakan kerja wanita yang cantik-cantik, seksi-seksi.. Kerja banyak pun tak rasa penat. Saya kat sekolah tengok muka cleaner dengan guru besar yang garang.."

Bukan aku tak setuju dengan apa yang dia rungutkan tu. Kadang-kadang aku amat bersimpati dengannya. Aku membayangkan betapa penatnya dia memenuhi tuntutan kerja sebagai seorang guru. Sakit kaki, lenguh panjat tangga sampai tingkat 4 untuk mengajar setiap hari!

Cikgu Shila telah banyak berkorban untuk aku dan keluarga. Dialah tukang masak, dialah yang banyak memberikan tumpuan kepada anak-anak yang ketika ini sedang membesar. Dia juga menjadi guru kepada anak-anak malah memberikan tunjuk ajar pagi dan petang.

Mengingatkan kepada pengorbanannya yang begitu besar untuk anak-anak, aku dan rumahtangga keseluruhannya, aku perlu lebih kerap berada disisinya.

Aku berazam untuk menatap wajahnya sepanjang 24 jam. Biar ke pasar bersama, makan cendol bersama, tuai sayur kangkung juga bersama. Bahkan, kalau dia bersetuju, ke tandas pun aku nak bersamanya. Memang aku nak menyatakan hasrat ini kepadanya suatu masa nanti.

Mungkin apabila dinyatakan hasrat itu nanti, ia dapat mengembalikan nostalgia 'Sha' dan 'Abang Adnan'. Walaupun pada hakikatnya kami kini sudah bertukar status menjadi 'umminya' dan 'abahnya'...

Friday, 7 October 2016

Kawan Baik Saya, Dia Anak Saya....

Awliya sekarang dah berusia lapan bulan. Ruang dan masa lebih tertumpu kepada Awliya kerana dia masih kecil. Awliya adalah seorang bayi yang comel dan bijak. Mata ini lebih tertumpu kepada Awliya. Hinggakan kadang-kala kurang perhatian diberikan kepada anakanda Harith....

Aku ingat lagi, sebelum Awliya lahir... Anakanda Harith suka tidur diatas lengan yang besarnya macam ikan siakap ini sewaktu dia masih kecil.

Selepas Awliya lahir, kami suami isteri berusaha untuk memberikan perhatian terhadap anakanda Harith tidak berkurang walau sedikit pun. Anakanda Harith pun tiada masalah dengan adiknya, Awliya. Tidak ada rasa cemburu dengan adiknya sewaktu itu.

Pada awalnya kami suami isteri sabar dengan karenah Harith. Lama-kelamaan perangainya makin menjadi-jadi. Habis semua mainan dibaling ke sana-sini. Kadang kala dia dengan sengaja berlari ke sana-sini sambil menjerit tatkala adiknya sedang tidur.

Suatu hari, Harith mengamuk sebab adiknya bermain mainan kesayangannya. Habis mainan Harith diselaputi air liur Awliya. Anakanda Harith pun naik angin. Anakanda Harith hangin satu badan. Anakanda Harith marah dan dia cuba untuk menyakitkan Awliya. Mujur tindakannya sempat dihalang...

Anakanda Harith terus marah, hinggakan aku sendiri pun turut sama menjadi marah. Aku marah sebab aku dah hilang cara macam mana nak pujuk. Dengan Awliya yang tengah menangis, anakanda Harith pula membentak marah-marah sambil menangis. Sehingga pada suatu saat ketika dia menangis sayu lalu berkata,

"Abah dah tak sayang Harith...!"

Aku terduduk. Aku sedih bila anakanda Harith berkata begitu. Dalam keadaan tak sedar, aku pun turut menangis.

Sikap Harith membuatkan kami suami isteri bingung. Jadi, aku berbincang dan mendapatkan pandangan emak saudara yang sudah hampir dua puluh tahun menceburi bidang tadika taska dan mahir dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Dari input hasil perbincangan dengan emak saudara, akhirnya aku tersedar bahawa selama ini anakanda Harith terasa akan 'kehilangan' ummi dengan abah. Ternyata, anakanda Harith mahu kami selalu disampingnya. Demikian dengan usianya yang masih kecil, anakanda Harith mahu kami menjadi kawan bermain.

Aku termanggu sendirian memikirkan dan cuba menyelami perasaan 'kehilangan' yang anakanda Harith rasai...

Tengah malam tu selesai solat tahajjud, aku menangis. Menangis semahu-mahunya. Bingkas bangun dari tikar sejadah, aku duduk disisi anakanda Harith yang sedang nyenyak tidur, aku usap rambut anakanda Harith. Aku rasa bersalah. Timbul rasa menyesal. Perasaan bersalah ini menebal kerana telah merampas hari-hari bahagia milik anakanda Harith yang pada masa itu berusia empat tahun.

Malam tu aku menadah tangan pada Al-Rahman dengan penuh rasa rendah diri, memohon agar diampunkan dosa dan memohon agar Al-Hayyun memperbaiki lisan ini. Aku berharap pada Dia supaya aku sentiasa mampu menuturkan kata-kata dengan baik dan benar kepada anak-anak. Aku berharap, aku mampu menjadi abah yang terbaik buat anak-anak .

Hari demi hari berlalu, kami bermain bersama, belajar bersama, solat jemaah bersama, hampir semua yang kami lakukan bersama-sama. Anakanda Harith mula menunjukkan perubahan. Seiring dengan perubahan yang aku buat untuk mengambil hati anak-anak.

Selepas selesai makan malam, kami suami isteri bergurau dengan anak-anak. Semasa anakanda Harith ketawa dan seronok bermain geletek-geletek, anakanda Harith berkata..

"Harith suka main dengan abah.. Harith sayang abah.. Harith dah dapat abah Harith balik.."

Aku terharu, aku peluk anakanda harith.. Rasa macam nak menangis tapi aku tahan. Syukur, kami dah 'jumpa' hati kami masing-masing. Harith baru saja 'bertemu' dengan abahnya yang telah sekian lama berubah menjadi orang asing buat dirinya...

Ulasan Cerita Pre-Collector : Komik

Adalah suatu ketika tu, aku takde kerja apa yang nak dibuat kat rumah. Baring atas tilam empuk sambil menepuk perut yang semakin memboroi. Mata ni merenung langit diluar, terserlah warna birunya. Ternyata warnanya sama seperti langit-langit semasa berkelana di negara arab masa dulu-dulu. Biru.. Blue.. Blues...

"PLPAPP! PLEPAPP! PAPP!!", Begitulah bunyi tepukan diperut pada masa tu.

Puas merenung langit diluar, mata aku melilau mencari apa lagi objek yang boleh direnung. Aku menolehkan kepala aku 45 darjah ke arah utara, aku nampak ada komik.. Komik? Ya, ia adalah sebuah komik. Komik yang dah lama aku tak baca. Komik tu anak-anak yang baca sambil conteng habis satu buku.. Aku redha dan memujuk hati untuk terus bertabah selepas anak-anak menconteng komik kesayangan...

Komik adalah sumber inspirasi aku suatu masa dulu tatkala bergelar seorang student. Tinggal di asrama, apa je yang boleh dibuat? Selain bermain spirit of the coin, mencuri buah mempelam warden, lompat pagar, mengorat budak ASPURI, komik atau karektor kartun juga adalah merupakan antara sumber inspirasi kesukaan budak-budak asrama macam kau pada suatu masa dulu..

Komik juga adalah antara sumber pendapatan aku semasa di asrama..

Pada suatu masa dulu, kawan-kawan asrama suruh lukis sesuatu. Bila siap, mereka akan memberikan upah. Walaupun tak banyak, tapi cukuplah untuk backup belanja yang mak ayah bagi setiap bulan.

Kerana komik juga, aku kena denda berdiri kat tengah panas sebab lukis muka cikgu yang aku tak suka sedang mengajar kat depan. Kerana komik juga, aku bergaduh dengan kawan seasrama sehingga tak bertegur sapa selama beberapa bulan sehingga tamat peperiksaan SPM. Kerana komik juga aku berjaya menjatuhkan hati seorang pelajar ASPURI dalam situasi cinta monyet pada masa tu. Tapi, itu semua dulu..

Pada hari ini, rata-rata komik yang ada dipasaran sekarang dah hilang identiti Malaysia. Semuanya ke arah stroke manga. Mata bulat, hidung tajam, mulut kecil dan rambut terjurai kedepan. Kadangkala hati ini tertanya, kemanakah hilangnya identiti komik dan kartun Malaysia? Kenapa orang kita lebih suka kepada komik luar bukannya tempatan?

Persoalan ini terus bermain difikiran..?

Dimana identiti kita..?

Kebangkitan Gila-Gila dan kemunculan Bekazon sedikit sebanyak berjaya merubah proksi kuasa veto lambakan komik adaptasi anime di pasaran. Tambah pula dengan kemunculan sulung komik Jenama X yang mengumpulkan barisan kartunis lagenda tanahair yang terdiri daripada Ubi, Gayour, Bawang, Nik, Lengkuas, Sireh, Tembakau, Lengkuas, Sukun, Bijan dan Aie. Sedikit sebanyak ia telah mengubat hati para pembaca dan kolektor yang membesar dengan hasil lukisan mereka sejak tahun 90-an.






Thursday, 28 April 2016

Terasa Demi Masa..

Isi lah masa dengan benda yang berfaedah.....

Kadangkala terasa
Terlalu banyak masa
Kadangkala terasa
Masa yang ada
Bagaikan tiada.

Telah tertulis
Tentang ruginya manusia
Bila bermain dengan masa
Masa dijadikan alasan
Masa dijadikan ukuran
Masa dijadikan harapan.

Selalu berharap
Punya banyak masa
Untuk bertemu
Walau tiada kata, hanya kelu.

Selalu berharap
Masa itu terhenti
Biar saat terindah
Terus disisi.

Masih adakah masa
Untuk aku meluah rasa?

Tuesday, 5 April 2016

Suatu malam di Lenggeng...

Suatu masa dahulu, di tempat ini aku menimba ilmu sepelet!
Dulu, masa kerja kat kompeni swasta, aku paling seronok apabila diberi tugasan membuat kerja-kerja pengujian elektrik sehingga waktu malam. Maksud aku, dapat overtime banyak-banyak kalau kerja sampai malam ni.

Lagi satu, seronok sebab aku tak perlu menatap muka bos. Sebabnya, masa tu aku bebas bekerja berpaksikan pengetahuan bidang kejuruteraan elektrik. Dan setiap detik yang berlalu pada masa itu semuanya adalah 'wang'.

Tapi, bukannya semua kerja sampai lewat malam itu seronok. Adakalanya, tak seronok jugak sebab keadaan tapak projek masa tu yang sunyi sepi dan dingin kadangkala mencengkam hingga ke tulang sum-sum.

"Nak buat apa kita malam ni?", Tanya Man Toba sambil mengetuk batu seperti orang zaman Paleolitik.

Current transformer dah test, wiring check dah buat, circuit breaker timing test pun dah selesai, voltage transformer pun dah siap test. Man masih main ketuk batu mengikut rentak irama kompang kenduri kahwin.

"Jom kita main snuker..?", Man memberi cadangan bernas apabila mendapati aku mati akal.

"Best jugak tu, aku pun dah lama tak main.", Aku bersetuju walhal aku tak pernah sentuh kayu snuker.

"Wah, seronok jugak main snuker ni ye?", Aku tersengih selepas mendengar cadangan Man.

Waktu itu, walkie-talkie aku berbunyi. Entah siapalah yang kacau daun di senja-senja hening ni.

"Anoy... Masuk-masuk....", Suara penghulu tester En. Zimbo kedengaran di corong speaker walkie-talkie.

"Haa, Zimbo... Masuk-masuk...", kepala Man tegak seperti burung unta menanti dedak.

"Dah nak maghrib ni.. Meh masuk naik atas kat Control Room ni, semayang maghrib. Lepas tu, kau dengan Man pergi tutup semua isolator box kat semua Bay 500kV yang kita test tadi...", Arahan Chief Tester panjang berjela.

Antara tester hebat pada masa tu - Dari kiri Tarikh, PokShe, Ikhsan, Ijat, Anoy, Janggut, Man Toba dan Chief tester Zimbo.
Selesai menunaikan solat maghrib berjemaah, aku lepak dekat lobi parking sambil hisap rokok Dunhill yang terakhir untuk malam tu.

"Anoy, jom pi pasang box kat isolator tu..", Pelawa Man sambil mengkibas-kibas stokin beliau yang berbau macam haramjadah kat sebelah aku.

PLEPEK!PLEPEK!PLEPEKK..!! Bunyi stokin Man disaluti dengan aroma yang kurang menyeronokkan.

Serta-merta, sel-sel hormon andrenalin mula bergabung lalu reaksi tenaga kinetik aku bertindakbalas dengan menyucuh api rokok dicelah pelipat siku Man tanpa ragu-ragu.

"Adoi..", Man menjerit.
...........................................................................................................................................

Sunyi betul keadaan kat Pencawang Masuk Utama 500kV/275kV, Lenggeng malam tu. Nak pulak kawasan tu jauh dari penempatan orang kampung.

"Man, hang pi kat belah sana.. Aku buat kat belah sini...", Aku memberikan arahan kepada Man seperti seorang bapa kepada anaknya. Maklumlah, aku ni lebih senior daripada Man yang baru belajar nak jadi tester yang hebat.

Kami melakukan kerja dengan tekun tanpa menghiraukan bunyi sayap nyamuk yang mengepak meminta darah. Sehinggalah pada bay yang terakhir, aku tengok Man Toba masih khusyuk memutar skru menggunakan spanar saiz 10. Man... Dia kalau buat kerja memang khusyuk, biasalah budak baru kerja....

"Hihihihihiiiiiiiiii.....! Hiihihiiiihiiiiiiiii......! Hihihihihihihiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii!"

Aku pandang muka Man, Man pun pandang muka aku.. Man mula bisik sambil tangan dia memutar skru kat isolator box secara automatik,

"Anoy, hang dengaq tak bunyi suara pompuan ketawa tadi?"

"Aku dengar... Rilek la, Man.. Tu suara orang berlakon dalam tv lah..", Aku cuba buat-buat tak takut.

"Noy, kat sini mana ada orang pasang tv. Mana ada rumah orang.. Kiri, kanan, depan, belakang semua hutan.....", Man Toba bisik perlahan tapi kali ni dia mencangkung makin dekat dengan aku sambil memutar skru pada isolator box.

"Hang ni penakut la, Man... Keh..! Keh..! Keh..!", Aku ketawakan Man yang penakut.

Daripada mencangkung buat kerja tadi, aku bangun berdiri. Sambil bercekak pinggang dengan screwdriver dalam genggaman, aku cakap lagi kat Man..

"Dalam dunia ni mana ada hantu yang boleh cekik orang sampai mati. Hang pernah dengar cerita hantu bunuh orang sampai mati? Karut la...."

Masa tu, suara ketawa masih lagi kedengaran.. Makin lama, makin kuat....

"Hihhihiiiiiiiiiiiiiii..! Hihihihihihihiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii..."

Sambil bercakap, tiba-tiba mata aku terpandang satu lembaga serba putih dekat kawasan pekerja construction longgokkan bushing dan komponen lain untuk pembinaan menara talian. Aku terdiam. screwdriver terjatuh dari genggaman...

Dengan tak bagi isyarat, dengan lajunya aku terus lari tinggalkan Man yang masih terkontang-kanting menutup cover isolator box 500kV tu.

"Woit, Anoy? Awat hang lari..? Awat hang tak tunggu aku woiii...!?", Pekik Man dalam pelik.

"Man lari, Man..!!! Lariiiiiiiiii....!!!!", Aku menjerit sambil berlari laju macam The Flash.

Masa aku dah nak sampai kat van, aku nampak Man berlari lagi laju daripada aku tadi. Kami masuk dalam van. Aku cerita dengan Man, apa yang aku nampak... Pucat muka masing-masing...

Malam tu baru aku percaya, hantu boleh buat orang mati. Bukan mati sebab kena cekik dengan hantu tapi mati sebab terkejut kena heart attack!


Bergambar untuk kali terakhir sebelum Stesen Pencawang Masuk Utama 275/500kV ini diserahkan kepada pihak TNB.

Monday, 28 March 2016

Lesen Memandu....

Bila duduk sengsorang mula la teringat macam-macam....
Selain daripada berkhatan dan akad nikah, satu lagi acara paling suspen dalam hidup seorang lelaki ialah mengambil ujian memandu ataupun driving test. Sebabnya, apabila berhadapan dengan tester driving test tu, samalah jugak macam berhadapan dengan Tok Mudim dan Tok Kadi. Bezanya cuma Tok Mudim dan Tok Kadi tak pakai uniform warna biru yang pegawai-pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan pakai.

Khatan, dah lama dah kena khatan. Akad nikah, dah sudah sejak beberapa tahun lepas setelah ada seorang bidadari yang berjaya membuka pintu besi hati ini menggunakan kombinasi nombor kod-kod tertentu untuk membukanya. Hik! Hik! Hik!

Aku ingat lagi masa ambil ujian bertulis komputer untuk dapatkan lesen L dulu, aku dapat semuanya betul kecuali dua. Sebabnya soalan yang dua tu adalah soalan perangkap. Soalan yang mana-mana jawapan dipilih pun tentu akan salah. Macam jugak peperiksaan PMR atau SPM dulu tu. Rasionalnya, supaya orang yang ambik test tak rasa dirinya pandai sangat.

Bila dah dapat lesen L tu barulah aku belajar memandu 16 jam sebelum pergi ambik driving test. Masa first time duduk kat seat pemandu, semangat aku berkobar-kobar macam nak pergi berperang. Dan sememangnya aku telah berperang mulut dengan cikgu memandu aku yang asyik menguap sepanjang dua jam ajar aku memandu!

Supaya cikgu memandu tu hilang mengantuk, aku dengan tersengaja, terlepaskan gear dengan break masa nak membelok kat jalan besar. Terperanjat besar cikgu memandu aku tu sebab kereta mati kat tengah-tengah jalan. Mujur tak ada kereta tengah speeding waktu tu, kalau tidak tentu sijil yang aku dapat masa tu sijil kematian.

"Bengong la mung ni..!" Cikgu memandu aku sempat melatah dalam ketakutan ketika membelok masa tu.

Jadi, lepas tu cikgu memandu aku terus hilang mengantuk. Malahan serasa aku, mata dia langsung tak berkelip sepanjang mengajar aku hari tu. Hari itu jugak hari terakhir dia ajar aku sebab kata pengetua sekolah memandu aku kat Keramat tu, cikgu memandu tu ambik cuti sebulan.

Selepas 16 jam aku bawak kereta menggunakan lesen L, tibalah masa yang aku nanti-nantikan iaitu pergi ujian di jalan raya untuk mendapatkan lesen 'P'. Lesen 'P' ni bermakna kita kena lekatkan huruf 'P' kat cermin depan dan belakang kereta selama dua tahun. Mungkin tujuannya untuk menggalakkan para pemandu menampal pelekat kat cermin kereta selain daripada Road Tax.

Bagi sesiapa yang nama dia Param, Pian, Perry, Puspawati, tentulah boleh berbangga dengan huruf 'P' itu jika dilekatkan dicermin kereta anda. Tapi, takpe, aku sudahpun bercadang untuk lekatkan huruf 'AN' disebelah huruf 'P' bila dapat lesen nanti. ANP membawa makna Anoy Nanan Profesional!!

Ujian pertama yang aku kena ambik ialah side parking. bab ni, aku buat macam makan kacang masa tengok wayang. Mudah aje sebab selama ni, aku dah expert menyelit kat tempat-tempat sempit. Tak sampai dua minit, aku dah masuk dan keluar daripada side parking sampai pegawai JPJ yang menjaga ujian tu suruh buat sekali lagi sebab tak percaya.

Lepas tu, aku buat parking bukit. Ini lagi macam makan kacang bungkus yang kulitnya dah dibuang. Sebabnya, rumah aku kat atas bukit dan tiap-tiap hari aku test parking kasut rollerblade aku kat atas bukit. Ini pun macam orang putih kata, aku berjaya dengan warna-warna terbang (succeed with flying colours).

Jadi, tibalah masanya giliran aku untuk membawa kereta diatas jalan raya. Masa tu aku betul-betul confident untuk mendapatkan lesen memandu.

"Encik Adnan...!" Tester tu panggil nama aku.

Aku pun terus masuk dalam kereta kancil warna merah. Wah! Aku betul-betul bertuah sebab dapat tester aku tu, awek cun! Lebih mengancam dan terserlah keayuan sebab awek tu memakai pakaian seragam warna biru.

"Hai, selamat pagi. Dah minum ke belum?" Soal aku sambil tersengih.

Pegawai JPJ (sekadar gambar hiasan) - ihsan encik google

"Awak boleh mula.." Suruh tester tu langsung tak jawab soalan aku. Tapi, aku tak kisah sebab aku amat yakin dia malu untuk menjawab soalan aku sebab masih belum mesra. Sepanjang membawak kereta tu, aku melambai-lambai kat kereta-kereta yang aku potong. Dengan amat bangga, aku menunjukkan kecekapan aku membawa kereta.

"Itukan lampu merah, kenapa tak berhenti?", tegur tester kat sebelah aku. Padanlah aku dapat potong banyak kereta!

"Oh, maaf cik, saya tak sengaja.", Aku mula kalut sebab tester tu dah potong satu markah kat atas kertas ujian aku.

"Awak dah salah jalan ni. Berhenti kat sini biar saya bawak kereta.", Tegur tester tu dan barulah aku sedar sewaktu asyik menjeling kat muka tester tu, aku dah tersilap jalan.

"Errr, cik.. Saya sebenarnya dah jatuh hati dengan cik. Takkan tak boleh tolong kot. Lagipun saya saja ambik jalan jauh supaya dapat bawak kereta ni lama sikit sambil berkenalan dengan cik..", Aku memberikan alasan paling bernas.

"Ohh, jatuh hati...? Maaflah, hati saya tak pernah bersedia nak sambut hati awak yang jatuh tu. Turun sekarang, biar saya bawak!", Tegas tester JPJ tu sambil sign kertas ujian aku.

"Tak boleh ke saya try sekali lagi, cik?", Pinta aku hampir merayu. Pada aku, memujuk rayu perempuan cantik tak mengapa sebab ia satu perbuatan yang romantis.

"Boleh, tapi kena ambik hari lainlah. Sudah, bak sini saya drive balik JPJ!",Tegas tester tu lagi.

Dan sepanjang perjalanan hari tu, muka aku monyok menyedari betapa seorang perempuan itu mampu menjatuhkan seorang lelaki dengan keayuan mereka.......

Monday, 14 March 2016

Hikayat Pak Londeh dan Mak Sodeh

Telah tersebutlah didalam sebuah novel lama Jerman perihal satu cerita di Tanah Melayu ada sepasang suami isteri yang bernama Pak Londeh dan Mak Sodeh. Novel ini ternyata memperkecilkan-kecilkan 'keheroan' Pak Pandir kerana diterjemahkan oleh Ghulam Sapi (seorang buruh Bangladesh di KLCC). Pada bab lapan baris kelapan dari perenggan kelapan ayat itu berbunyi, "Tiadalah ada sangat kebodohan Pak Pandir itu kerana Mak Andih itu pandai. Tiadalah seciput pun kepandaian Pak Londeh itu kerana kepandaian Mak Sodeh itu bodoh jua sepertinya."

Adapun mengikut terjemahan Ghulam Sapi lagi, sebelum jodoh mereka sampai, tiadalah Pak Londeh dan Mak Sodeh itu pernah bersua muka. Justeru, demi kerana patuh kepada arahan kepada dua orang tua yang menjodohkan mereka, maka tiadalah pernah mereka itu dating menonton wayang kulit mahupun opera cina sebagaimana orang muda kebanyakan. Maka, pada hari pernikahan tiadalah Pak Londeh mahu melafazkan nikahnya, malah dia berkata,

"Tak kenal maka tak cinta..."

Riuhlah para hadirin kerana berbincang mencari akal untuk menghalang majlis itu dari menjadi batal. Tiadalah mereka itu mendapat akal meskipun telah lapan tin biskut merie habis menjadi santapan sehinggalah seorang budak kecil berkata,

"Usahakan agar mereka berkenalan...!"

Maka berlangsunglah juga majlis itu dengan penuh meriah kerana kedua mereka terus jatuh cinta setelah berkenalan.

Arakian setelah berkahwin, terlalulah kerap Pak Londeh meninggalkan Mak Sodeh berpekan-pekan di rumah. Barang ia kembali seketika pasti akan ditinggalkannya semula. Pada suatu hari, bertanyalah Mak Sodeh pada suaminya yang baru pulang,

"Kanda Londeh, kenapakah dinda sering ditinggalkan sendirian?"

"Sayang isteri, tinggal-tinggalkan..." Begitulah adanya jawapan Pak londeh.

Berkatalah Mak Sodeh pula,

"Alangkah girangnya hati dinda mendengar demikian tingginya cinta dan sayang kanda. Marilah kanda ke dapur, ada dinda sediakan juadah hanya untuk kanda."

Adapun didalam kata-kata itu, suara Mak Sodeh terlalulah halus sepertimana suara orang perempuan didalam filem dulu-dulu.

Berlari-larilah Pak Londeh ke dapur membawa perut laparnya sambil bertanya,

"Juadah apakah dinda?"

Adapun sewaktu Mak Sodeh menjawab,

"Badak Berendam."

Pak Londeh telah berlari-lari semula ke anjung kerana tidak berani menjamah seekor badak sumbu yang sedang mendengus dan menggigil kesejukan akibat direndam. Barang terpandang sahaja wajah isterinya lagi maka hilanglah rasa lapar Pak Londeh diliputi rasa sayang yang membara. Serta-mertalah dia meninggalkan isterinya yang sedang mengeluarkan seekor anak badak dari besen besar.

Demikianlah halnya corak kehidupan mereka sekian lama sehinggalah menimbulkan kegelisahan di pihak kedua-dua orang tua mereka. Berfikirlah kedua orang tua mereka tersebut dibantu oleh orang kampung yang turut bergotong-royong berfikir demi mengatasi masalah sedemikian ini kerana tiadalah mereka mahu kasih sayang memisahkan Pak Londeh dan Mak Sodeh. Tiadalah mereka berhasil mendapatkan akal yang bernas melainkan idea yang tak boleh pakailah jua.

Pada suatu hari, berkatalah budak kecil yang pernah memberikan idea bernas di majlis perkahwinan tempoh hari...

"Apa kata kalau mereka berdua dihantar ke satu pulau yang jauh dan ditinggalkan tanpa perahu. Tentu Pak Londeh tidak dapat meninggalkan Mak Sodeh lagi..."

Gembiralah sekalian orang yang sedang berfikir-fikir itu dengan berkata,

"Hamba pun memang ada berfikiran begitu tadi."

Teruslah Pak Londeh dan Mak Sodeh dihantar ke suatu pulau yang jauh dan ditinggalkan keduanya disana. Maka hiduplah mereka berdua di pulau itu dan tiadalah Pak Londeh dapat meninggalkan isterinya lagi walaupun teramat sayang.

Setelah delapan purnama lamanya mereka hidup disana, maka Mak Sodeh telah hamil dan kandungannya makin membesar. Maka, teringatlah Mak Sodeh jika mengikut adat, kandungannya itu telah patut dilenggang perut. Gusarlah hatinya apabila hal ini diajukan kepada Pak Londeh. Lalu dengan tersenyum dia berkata,

"Kanda jua handal melenggang perut."

Setelah berkata demikian itu, teruslah Pak Londeh melenggang perut.

Asyiklah Mak Sodeh memerhatikan Pak Londeh melenggang-lenggang perutnya. Melihatkan dari cara dan kelembutan Pak Londeh melenggang perutnya sendiri itu, memang layaklah Pak Londeh digelar Raja Lenggang.

Adapun mengikut terjemahan Ghulam Sapi lagi, setelah Mak Sodeh itu melahirkan anak, maka berkatalah Pak Londeh,

"Sayang anak, tangan-tangankan..."

Maka, anak kesayangan mereka itu ditampar bergilir-gilir sehingga mati, sehinggalah mereka menemui ajal tiada seorang pun zuriat mereka yang hidup untuk mewarisi pulau itu kerana semuanya mati ditampar.

Pada baris-baris akhir novel itu, ada satu ayat yang penuh dengan bunga bahasa bangla yang mana setelah diterjemahkan oleh Ghulam Sapi berbunyi,

"Sini nagari sanang cari wang....!"

P/s : Moral of the story? Lu pikirlah sendiri...

Kreadit : Majalah Ujang (Hikayat Pak Londeh dan Mak Sodeh)











Tuesday, 5 January 2016

Wanita Dan Suara...

"Apa la kau ni? Bodoh, bangang..!! Anak derhaka kau ni!!"

Suara... Suara adalah sinonim dengan dengan maksud bunyi, nada, sora. Ia juga membawa maksud sama dengan ucapan, perkataan, percakapan, kalimah dan tutur. Ini semua adalah antara maksud berkait dengan suara yang terpacul dalam percakapan kita seharian.

Suara juga adalah aurat bagi kaum Hawa. Ada setengah orang perempuan kadang-kadang mereka tak sedar bahawa suara mereka tu adalah sebahagian daripada aurat mereka. Jadi, bila dah baca entry ni diharapkan orang perempuan lebih tahu tentang aurat mereka yang 'tersorok' ni.

Bila dah tahu suara tu aurat, eloklah kalau dikawal sikit 'volume'nya. Bercakaplah tentang hal-hal baik saja. Jangan menjaja cerita orang yang mereka tak suka kepada saudara-mara, jiran ataupun orang lain yang mereka kenal secara tak langsung. Usah dibuat cerita fitnah sana-sini. Malah ada diantara mereka yang sanggup mewujudkan satu group khas untuk dosa mengumpat didalam media sosial telefon pintar.

Bab mengata orang, mengeji orang, mengutuk orang, cerita yang tak bagus semuaaaaa orang! Dia saja yang baik, yang tak pernah buat dosa, yang dah pergi haji. Pada fikiran dia, hanya dia saja yang sempurna. Nauzubillah min zalik!

Aku pernah dengar kat depan mata aku, seorang ibu sanggup mencaci dan mengeji anak perempuan mereka sendiri dengan perkataan kesat atas sebab salah yang kecil. Nampak sangat le kejahilan dia bila berbicara dengan anak yang taat seperti itu. Entah apa salah anak perempuan mereka sehingga apa yang anak perempuan mereka buat semuanya serba tak kena. Ada saja salah yang dicarinya. Hakikat bagi seorang anak yang bukan menjadi pilihan kesayangan orang tua.

Tak kiralah apa salah anak tu, kalau nak marah atau nak tegur, bukan didepan orang dan menggunakan bahasa kesat. Ada caranya..

Kalau dengan anak perempuan boleh ditengking, dicaci maki, apa lagi cucu. Ada masanya kanak-kanak itu akan diherdik, ditengking atas sebab mainan bersepah, bising, mengacau adiknya yang masih bayi. Tegurlah kanak-kanak itu dengan cara yang betul. Psikologi kanak-kanak, mereka tak ambil tahu langsung..

Kenakalan kanak-kanak adalah petanda kanak-kanak itu anak yang cergas. Ini tak, nakal sikit jerkah, nakal sikit maki hamun ibu bapa kanak-kanak tu, nakal sikit sampai rumah bersepah dengan mainan dijerkah suruh kemas, kereta terkena calar sikit kena marah. Sedarkah dia bahawa dia sedang merosakkan tumbesaran psikologi kanak-kanak?

Kadang-kadang diajarnya kanak-kanak itu dengan perkataan kesat seperti bodoh, bangang, mampos... Apa ni?

Tapi, semua tu tak berlaku apabila ada saudara mereka datang ke rumah, ketika anak kesayangan mereka ada dirumah.. Apa saja salah kanak-kanak itu, mereka akan pendam dan simpan. Tapi, bila sampai masanya kemarahan tak dapat dibendung habis semua kesalahan kanak-kanak itu akan diungkit.

Bila dah jahil, beginilah akibatnya.. Ada yang sanggup samakan anak dan kanak-kanak dengan lembu, kambing atau ikan senangin. Akibatnya, anak menjadi dungu. Sebab apa? Sebab selalu disumpah seranah. Perlu diingat, perkataan yang keluar dari mulut ibu dan ayah terhadap anaknya merupakan satu doa!!

Ini bukan cerita tentang condemn sesiapa. Ini cerita tentang memberikan secebis nasihat dari manusia marhaen yang kerdil buat para ibu, nenek dan wanita amnya diluar sana supaya menjaga suara dan lisan ketika berkata-kata.

Kita dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Semua orang ingin disayangi. Semua orang ingin rasa dihormati. Buat segelintir ibu-ibu dan atuk-nenek yang dimaksudkan seperti diatas eloklah mula mendalami ilmu agama dan jaga lisan dengan orang sekeliling. Tanyalah ustaz atau ustazah bagaimana cara mendidik anak dan melayan cucu dengan betul....

Moral : Jangan pilih kasih diantara anak-anak.