jom follow....

Tuesday, 8 September 2015

"Sebab Tu Aku Dah Tak Memancing Lagi..."

Baru-baru ni aku terjumpa dengan seorang rakan lama zaman belajar dulu dekat sebuah restoran di Plaza Pekeliling. Usop Tokan, itulah gelaran yang diberi tatkala zaman belajar dulu. Dulu, dia merupakan 'supplier' rokok yang paling top dekat asrama. Dia juga merupakan seorang kaki pancing yang cukup aktif. Cakap saja dimana lubuk yang paling banyak ikan, semua dia tahu. Semua habis diterokanya. Tapi, itu dulu... Kini dia bukan lagi seorang pemancing. Kenapa? Nak tahu kenapa, bacalah pengakuan ikhlas dari mulutnya sendiri...

"Masa tu aku dengan tiga orang member yang kaki pancing macam aku jugak. Kitorang pergi kat Trong. Nama tempat tu kaki pancing panggil Batu Agas. Kitorang pergi sana sebab dah banyak kali dengar cerita orang situ boleh dapat Siakap dengan Jenahak senang-senang je! Itu yang buat hati kitorang tak sabar-sabar nak memancing kat situ.

Ko nak tahu, Anoy... Aku baru baling pancing aku lepas tu tak sampai 15 minit, joran aku kena rentap dengan Jenahak. Saiz ikan tu memang besar la. Lepas tu kan, joran aku kena rentap lagi, lagi dan lagi. Itu pasal aku asyik sangat sampai aku terlupa nak solat Maghrib. Member-member pancing yang lain pun tengah berpesta Jenahak dengan Siakap masa tu.. Seronok betul!

Pancing punya pancing, sedar-sedar je dah pukul 11:30 malam. Malam tu bulan mengambang penuh. Dua orang member aku dah masuk dalam van, tidur. Penat sangatlah kot agaknya. tinggallah aku dengan member sorang lagi yang namanya Ahmad Kiambang. Kitorang menunggu diatas batu besar sambil memerhati kalau-kalau pancing kitorang tergedik-gedik direntap ikan. Tiba-tiba, masa tu aku rasa seram sejuk. Seramnya semacam mengundang sesuatu..

Aku tengok Ahmad Kiambang dah terlelap sambil bersandar di perdu pokok. Anoy, masa tu aku rasa ada sesuatu yang memerhatikan aku. Mata aku memandang keliling, semasa aku pandang ke sebelah kiri.. Aku ternampak kelibat lembaga putih terbang melayang-layang dari satu pokok ke pokok yang lain. Lutut aku dah mula mengigil macam kena kejutan elektrik. Makin lama, dia terbang makin dekat. Last-last dia duduk mencangkung lebih kurang lima langkah dari tempat aku duduk memancing.

Ahmad Kiambang masa tu masih tak sedar. Aku dah mula nak buka langkah beribu tapi kaki aku kedua-duanya macam dah melekat kat tanah. Rasa nak menangis pun ada masa tu! Dalam sinar cahaya pelita karbaid tu, aku nampak muka benda tu pucat dengan rambutnya mengerbang panjang. Dekat mulut dia ada sepasang gigi taring panjang.

Itulah kali pertama aku tengok hantu kat depan mata. Selalunya sebelum ni aku tengok hantu kat fun fair je. hantu kat fun fair taklah seram sangat sebab diorang mekap hantu tak nampak real langsung. Ini betul-betul punya hantu. Dah tu siap terbang-terbang pulak.

Dalam hati aku baca ayat kursi dan entah dari mana aku dapat kudrat yang membuatkan aku boleh bergerak lantas aku berlari pecut masuk ke dalam van. Cepat-cepat aku tutup pintu van supaya hantu tu tak ikut sama masuk dalam van. Dua orang member pancing aku yang ada dalam van tak sedar langsung. Memang betul la tidur mati diorang ni. Tiba-tiba, fikiran aku teringatkan Ahmad Kiambang yang sedang enak lena dibuai mimpi kat atas batu. Aku nak keluar kejutkan Ahmad Kiambang tapi kang takut kena terkam pulak dengan hantu tadi, jadi aku biarkan je Ahmad Kiambang kalau dia kena kokak dengan lembaga putih tu.

Dalam keadaan takut tu, aku nampak hantu terbang mengelilingi van yang kitorang naik. Nampak macam nak masuk dalam van. Huh! Kalau hantu tu bagi aku duit RM2.6 Bilion pun  takkan aku kasi dia masuk jugak! Dikokaknya leher aku nanti tak pasal-pasal mampus.

Lama-kelamaan hantu tu ghaib dan hilang entah kemana. Mungkin dia give up pasal aku tak bagi dia masuk dalam van.

Pagi esoknya, kitorang blah dari situ tapi peristiwa malam tadi aku tak ceritakan pun kat member-member pancing aku tu.  Sampai hari ni, kalau diorang ajak aku pergi memancing, cepat-cepat aku tolak. Cukuplah sekali aku ternampak hantu  tu terbang berlegar keliling van.

Aku rasa inilah akibatnya terlalu gila dan seronok memancing sampai solat 5 waktu pun terabai. Padan muka aku masa tu, Anoy.."

Begitulah ceritanya seperti yang diceritakan pada aku.. Percaya atau tidak, terpulang....

Friday, 4 September 2015

Bicara Dakwah

Aku tak pernah menjanjikan
Sebuah kesimpulan
Dalam setiap pertuturanku
Kerana aku takut
Jika kesimpulan itu
Hanya menjadikan ia
Titik akhir bagi sebuah perbincangan

Aku percaya
Jika segala hal boleh berubah
Itu bermakna
Tidak ada teori yang stabil
Dalam setiap keputusan individu

Dakwah?
Jangan kamu fikir
Aku sedang berdakwah pula
Kerana
Aku bukan sedang mendominasi kebenaran
Kebenaran bukan milik kita
Ia hanya singgah
Sebagai cahaya

Manusia dilahirkan dalam fitrah
Antara kekeliruan dan mencari kebenaran
Yang sesungguhnya telah ada
Dalam hati masing-masing
Hingga nanti suatu saat
Ia akan bersinar
Dan cahayanya terang benderang
Pada hari yang telah dijanjikan
Maka hilanglah segala kekeliruan
Yang selama ini kita anggap
Sebagai kebenaran

Alangkah mulianya mereka
Yang mati dalam pencarian
Pada kebenaran
Dalam cahaya kecil didasar hatinya

Kawan-kawan
Ada baiknya kita mendengar
'Apa yang dibicarakan'
Bukan pada
'Siapa yang berbicara'
Kerana
Kebenaran ada dalam
Setiap jiwa dan hati manusia.

p/s : sesekali jiwa kreatif ni berbicara dari dalam hati menerusi papan kekunci....

Thursday, 3 September 2015

Tabung Derma Untuk Yeop Kasawari


Minggu lepas aku keluar dengan Yeop Kasawari dan Yazid Gundam. Diorang ajak keluar pegi makan kat sebuah kedai makan yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman. Semasa dalam perjalanan, tiba-tiba Yazid Gundam bersuara sambil meraba-raba poket belakang seluar slack beliau yang baru beli dekat Kedai Pakaian Hari-Hari tu..

"Alamak, Yeop... Wallet aku tertinggal kat office la..! Pinjam duit kamu dulu ye makan kejap lagi..?", Yazid Gundam menggosok-gosok pipi yang berbekas jerawat batu sambil tersengih.

"Haaa! Ini yang la teman paling maleh sekali. Ajak makan tapi wallet teringgal.. Ape kehey kamu ni? Hee, geram aku dengan kamu ni..", Yeop Kasawari membebel sambil seluk tangan dalam poket dan meraba-raba poket tepi dan belakang.

Kening aku dah naik sebelah macam The Rock. Dua-dua orang ni macam saja nak pedajal aku suruh belanja je. Tiba-tiba Yeop Kasawari menjerit,

"Haaaaa!! Mujur aku ada sepuluh ringgit..Cukup le untuk kita makan berdua. Kamu, bior aku yang belanja. Anoy, kamu makan bayor sendiri.. Hahahaha!", Gelak Yeop Kasawari seperti jin dalam cerita Ahmad Albab.

Eleh, diorang ingat aku sengkek sangat ke walaupun sekarang ni memang dah tengah bulan. Cehh..

"Disebabkan duit aku tinggal sepuluh ringgit je, kita makan nasik goreng ayam dengan air sirap je la", Yeop Kasawari memberikan cadangan pada Yazid Gundam yang kelaparan. Aku angguk je tanda setuju.

"Dua nasik goreng ayam dengan dua sirap limau... Cukup la tu...", Yazid Gundam terus menjawab memberikan sokongan kepada cadangan Yeop Kasawari.

Tiba-tiba datang dua budak lelaki minta derma untuk Tabung Pahlawan.

"Abang mana ada duit.. Minggu depan baru gaji. Minggu depan je la abang derma ye, dik..", Yeop Kasawari cuba mengelak untuk menderma.

Kami terus melangkah mencari kedai makan. Sambil melangkah Yeop Kasawari merungut...

"Derma..! Derma..! Derma..! Tak habis-habis dengan derma. Kita makan pun tak tentu hala diorang mana tau."

Jalan punya jalan sambil menuju ke kedai makan, langkah kami terhenti lagi. Kali ni perjalanan kami tersekat apabila dua orang lelaki bersongkok memberi salam.

"Apa khabar, bang.. Derma untuk Tabung Palestin bang..", Rayu dua orang lelaki itu.

"Kitorang bukan tak mau derma tapi kitorang belum gaji lagi la. Minggu depan baru gaji!", Yeop Kasawari menjawab dengan suara agak kasar. Stress la kot sebab orang minta derma.

"Minggu depan datang la tau, minggu depan kitorang dah gaji. Sekarang takde duit lagi", Yazid Gundam menambah-nambah lawak sarkis.

Apa la diorang ni. Tak mau derma sudah la, jangan menyakitkan hati orang pulak. Apa la member-member aku ni, kan?

"Bang, nah.. Ini derma untuk  Tabung Palestin", Aku hulurkan sekeping kertas not lima ringgit masuk ke dalam tabung.

Kami meneruskan perjalanan... Kali ni Yeop Kasawari merungut agak kasar,

"Diorang ingat Bank Negara tu bapak aku punya ke?! Asyik-asyik derma.. Derma.. Dermaaa!!"

Rungutan Yeop Kasawari terhenti bila dia tiba-tiba disapa oleh dua orang awek cun yang berdiri di hadapan kami dengan senyuman yang..... Arrgghhh!! Nak cerita pun tak guna... Perrgghhhh!!

"Derma bang.. Derma untuk pusat senam aerobik yang kitorang nak bukak ni, bang..",Awek yang sorang tu bersuara manja. Mencairkan keegoaan Yeop Kasawari yang mendengar suara awek tu.. Gugur jantungnya Yeop Kasawari tak bersambut.

Rasa macam nak meleleh air liur Yeop Kasawari bila direnung manja oleh awek yang sorang lagi tu dengan kerdipan matanya yang melirik-lirik manja. Aduuuuhhhhh... Terpanah hatinya.

"Eh, boleh.. Bolehhh... Abang ni memang suka menderma. Ni sepuluh ringgit ni.. Abang ikhlas ni..", Yeop Kasawari tersentap jiwanya tersedar dek terpukau dengan keayuan awek dua orang tu sambil menghulur duit sepuluh ringgit.

Aku perhatikan Yazid Gundam, dia terdiam sambil menitiskan airmata. Dalam kepalanya mungkin terbayang nasik goreng ayam dengan sirap limau yang sedang melayang..!

Padan muka korang berdua tak dapat makan tengah hari!