jom follow....

Wednesday, 17 June 2015

"Harith tak nak abah mati.."

Melayan anakanda Harith melakukan aktiviti seni...
Semasa menemani anakanda Harith melukis, anakanda Harith ada bertanya,

"Abah, abah takut tak kalau tak dapat jumpa Harith?"

"Mestilah... Harith kan anak abah, nanti Harith takde, abah dengan ummi jadi sedih, risau...", Aku jawab pertanyaan anakanda Harith.

Kemudian dia tanya lagi...

"Abah, kenapa kalau kita mati, nanti orang sedih?"

Aku terdiam. Jari-jemari aku berhenti melakar. Harith terus melukis dengan pen dakwat basah yang aku baru beli semalam. Harith memandang, menantikan sebuah jawapan.

"Sayang abah,kalau kita mati.. Orang yang sayang kat kita mestilah rasa sedih sebab nanti dah tak dapat jumpa kita lagi.. Nanti kalau ada orang mati, kita bacalah Al-Fatihah tau.. Kita baca bagi kubur orang yang mati tu terang bercahaya...", Harith mengangguk sambil melukis.

Aku diam dan anakanda Harith terus melukis. Sambil dia melukis, dia cakap lagi...

"Harith tak nak abah tua.. Harith tak nak abah mati sebab Harith sayang abah...!", Kata-kata dia jujur.

Aku terus memerhati. Sambil senyum, aku cakap...

"Tapi, Allah lagi sayang dengan kita...", Harith berhenti melukis. Wajahnya berkerut, mulut Harith muncung macam ikan kelah sambil memandang tepat ke arah aku.

"Mana boleh! Abah kan abah Harith, Harith lagi sayang abah dari Allah!", Nada anakanda Harith sedikit merajuk.

Mungkin dia rasa tak puas hati bila aku kata Allah SWT lebih sayang dengan kita setiap makhluk-Nya, Mungkin Harith masih belum faham.

"Harith, semua orang akan mati tapi takde siapa pun yang tahu bila dia akan mati.."

"Kenapa abah?",Harith terus mengasak dengan pertanyaan ingin tahu.

"Kematian ni, Allah rahsiakan daripada pengetahuan kita supaya kita boleh buat baik, kumpul pahala banyak-banyak. Bukan dah nak mati baru buat baik.. Harith, ada perkara-perkara yang Allah sengaja tak beritahu kita untuk Dia uji kita....", Harith mengangguk.

"Kenapa Allah nak uji kita, abah?", Anakanda harith bertanya lagi.

"Allah nak supaya kita semua bersedia mati pada bila-bila masa sahaja..", Jawapan aku ringkas tapi padat.

Bila menjelaskan perkara mengenai mati ni, tiba-tiba pulak dada ni rasa berdebar bila teringatkan janji-janji-Nya bahawa tarikh kematian kita tidak akan dicepatkan atau dilambatkan walau sesaat apabila tiba masanya.

"Sebab tu lah, abah selalu pesan dengan Harith.. Kita kena buat baik dengan semua orang, kena dengar cakap ummi, dengar cakap abah, tak boleh main kaki, tak boleh cakap yang tak elok...", Harith diam kemudian dia senyum.

Anakanda Harith kembali melukis subjek kegemarannya iaitu keretapi dan BayMax 6! Aku bersandar tepi dinding sambil dodoikan puteri Awliya. Terfikir jauh disudut hati, dah bebas ke kita daripada dosa yang bersarang dalam diri selama ni? Dah banyak ke sedekah jariah yang kita hulurkan? Bagi yang mempunyai anak, sudahkah anak itu dididik menjadi benteng kepada kita bagi menahan daripada seksaan yang tidak terperi sakitnya..!

Subhanallah....!! Benarlah ingatan terhadap kematian itu akan menghapuskan kelazatan dunia...

"Ya, Rahman.... Akhirkanlah kehidupan kami dengan sebaik-baik pengakhiran dan jauhkanlah kami daripada seksa kubur yang menyakitkan... Amin...!!"

Monday, 15 June 2015

Cerita Budak Asrama Teknik Taiping...

Jalan masuk ke sekolah asrama gua suatu masa dulu. Sekarang, tempat ni dah tukar nama jadi Kolej Vokasional Taiping...
Masa aku bergelar junior dan tinggal di asrama dulu, aku ada satu tabiat. Tabiat yang mungkin takde pada pelajar asrama yang lain. Tabiat yang bagus tapi kadang-kadang memakan diri... Time semua orang lepak-lepak dalam hostel lepas habis 'prep' malam, masa tu lah aku suka turun study kat surau sekolah. Ada jugak kawan-kawan yang tanya masa tu,

"Hang tak letih ka, sambung prep study sampai tengah malam, Anoy?"

Ada jugak yang cakap,

"Hang gila ka study sampai tengah malam? Depa kata pernah nampak hantu Jepun kawad tang tu, hang tau?"

Tak lupa jugak, kawan-kawan yang sentiasa positif memberikan kata-kata semangat,

"Aku respek dengan hang, belajaq sampai tengah malam!"

Sebab utama aku turun study time orang lain sedang duduk lepak-lepak kat hostel sambil tunggu masa warden bagi arahan suruh tutup lampu ialah dengan cara tu sajalah aku dapat elakkan diri dari kena buli dengan pelajar-pelajar senior.

Faham-faham le kalau dah nama pun duduk kat asrama. Selalunya sebelum tidur mesti ada senior yang panggil mintak urut laa, basuh kasut laa, ambikkan air kat dewan makan, suruh basuh baju, suruh hantar tray makan kat dewan makan, masak megi lah..... Hidup para junior macam aku masa tu memang tak aman. Jadi, untuk survival, kena la bijak selamatkan diri!

Sebagai seorang junior yang mempunyai pemikiran geliga macam Sang Kancil, aku mengambil langkah bijak dan drastik dengan turun lepak sambil study dekat dalam surau.

Bila kat dalam surau tu, aku bacalah apa-apa yang ada dalam beg. Buku Sejarah ke, nota Teknologi Elektrik ke ataupun hafal ayat-ayat hafazan Pendidikan Islam. Kalau paling malas pun aku baca komik yang aku beli masa outing tiap-tiap hujung minggu tu..

Blok Akademik di 'Sekolah Menengah Teknik Taiping'... 
Dalam banyak-banyak malam, ada satu malam tu aku tertidur. Bila terjaga, aku tengok semua lampu dalam surau dah padam. Gelap! Takde sapa-sapa yang kejutkan aku. Masa tu, badan letih sangat sebab aktiviti asrama agak ketat. Tidur sampai termimpi-mimpi awek ASPURI yang aku admire time tu.. Setakat admire je lah pasal awek ASPURI tu senior aku dah suka, jadi 'pergerakan' seterusnya adalah terbatas.... Heh!

Dalam gelap tu, aku pusing kanan nampak gelap. Pusing kiri pun nampak gelap. Masa tu aku tak tahu pukul berapa, tapi kalau dengarkan bunyi cengkerik rasanya dah pukul lebih kurang 1:00 pagi..!

Ketika nak naik tangga masuk ke dalam dorm, Aku terdengar alunan merdu suara orang menyanyi. Sedap suara tu... Tapi, lama-kelamaan suara nyanyian tu jadi suara orang menangis.. Suara tu mendayu-dayu macam sedih sangat. Timbul pulak rasa kesian. Aku pun cari dari mana suara tu datang. Masa tengah mencari tu, aku terperasan dekat tempat sidai baju ASPURA wujud satu lembaga putih sedang berdiri.

Aku pun berdiri statik pandang lembaga putih tu. Perlahan-lahan lembaga tu bergerak, ia berpusing memandang ke arah aku..

Tanpa malu-malu, aku pun terus berlari pecut macam tak cukup tanah seperti orang hilang akal! Sambil berlari, badan aku menggigil.. Tak dapat nak cerita macam mana punya takut perasaan ni masa tu. Lembaga putih tu berkain putih lusuh, berambut panjang..

Lembaga tu mengilai... Mengilai dan terus mengilai.......

Aku dah tak ingat apa,dalam lari-lari tu,sedar-sedar je aku dah panjat atas katil double decker, berselubung!! Esoknya, aku terus demam!

Start dari malam tu, aku selalu terserempak dengan lembaga putih tersebut bila balik dari 'prep' malam kat surau sorang-sorang. Hinggalah aku dah jadi senior kat asrama sekolah tersebut, ada satu malam tu hampir satu blok ASPURI kena histeria dan aku rasa puncanya dari makhluk lembaga yang aku jumpa malam tu!

Wallahu'alam!

Monday, 8 June 2015

Surat Untuk Isteri...(Part 3)

1 April 2009
16:40 PM
Dammam, Saudi Arabia...

Saya sampai kat airport Dammam selepas transit di Qatar. Semalam bertolak dari Malaysia pun 1 April, sampai kat tanah Arab pun 1 April.

"Adakah ini AprilFool?"

Soalan itu saya tujukan pada kawan saya. Dia cuma tersengih. Agaknya masih trauma kerana dek gegaran kapal terbang berlanggar awan di udara...

Hmmmmmmmmm.....

Cikgu Shila, saya dah tak tahu nak cerita apa lagi dengan awak.. Masa awak tidur, saya berjaga teman awak. Bila awak terjaga, saya pulak tak sedar-sedar sebab tidur mati.. Masa nurse datang pun saya tak sedar entah pukul berapa diorang datang check darah awak..

Cikgu Shila, saya rasa tak best sangat-sangat bila terpaksa bercakap sorang-sorang dalam bilik ward ni. Awak sihat la cepat.. Anak-anak kita semua rindukan awak lagi-lagi si Awliya tu.. Awak sihatlah macam dulu-dulu, kuatkan semangat awak demi anak-anak ye..

Awak dah sihat nanti, saya harap sangat awak baca entry ni.. Rindu awak sangat-sangat..!!

~FIN! end of part3~

Sunday, 7 June 2015

Surat Untuk Isteri...(part 2)

Hari ni hari kedua awak kat dalam Ward Lily ni. Dah berbotol air nurse masukkan dalam badan awak yang dehydrate tu melalui jarum kecik yang ada dekat tangan awak. Saya sambung lagi cerita saya yang semalam tu tau..

Hmmmm, Cikgu Shila.....

Pada 23 Mac 2009, saya menerima sepucuk surat arahan daripada syarikat tempat saya bekerja yang mengarahkan saya dan 9 orang lagi sahabat sekerja supaya out-station ke negara Arab Saudi.

Fikiran saya kembali serabut, emosi saya bercampur baur...

1 April 2009, jam 00:45 AM masih ada lagi lebih kurang 15 minit saya di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA sebelum kapal terbang saya berlepas...

Keluarga saya semua ada kat airport masa tu.. Saya called awak... Dari suara awak, saya tahu awak sedang menangis kerana saya akan pergi. Dan, malam tu merupakan malam terakhir saya berada di bumi Malaysia...

Ketika berada didalam flight, hati saya mula ragu-ragu dengan keputusan yang saya buat untuk sahut cabaran bekerja di negara orang. Lalu, saya mula menyesal naik kapal terbang tu menuju ke Arab Saudi...

Tapi, segalanya dah terlambat sebab kapal terbang masa tu dah berada berpuluh ribu kaki di udara...

Airmata saya mula meleleh... Airmata saya makin meleleh laju bila tiba-tiba kawan saya bertanya,

"Betul ke tindakan kita datang Arab ni?"

~end of part 2~

Saturday, 6 June 2015

Surat Untuk Isteri... (part 1)

Cikgu Shila,

Awak tengah terbaring atas katil kat hospital sekarang ni. Saya tak tahu nak buat apa... Sedih bila saya tengok keadaan awak yang lemah macam ni.. Tak sanggup saya nak tatap wajah awak yang tengah sakit sangat-sangat macam ni... Awak pejamkanlah mata awak, saya teman awak. Sambil teman, biar saya bercerita kat awak tentang satu cerita nak? Takpelah, kalau awak taknak dengar pun takpe.... Awak tidur je, biar saya bercerita cakap sorang-sorang...

Awak ingat lagi tak pada waktu pertama kali perkenalan kita dalam alam maya suatu ketika dulu. Time tu, orang berbicara mengenai Friendster sebelum gelombang Facebook mula tersebar dengan meluas..

Masa tu saya tengah 'down' sangat-sangat sebab ayah saya tengah kritikal dalam ICU dekat IJN. Saya jadi celaru, fikiran saya berserabut. Semua benda yang saya buat jadi tak kena..

Perkenalan dengan awak membuka satu lembaran baru dalam hidup saya. Dikala fikiran saya sedang bergelumang rasa sedih, awak muncul dalam hidup saya. Hadir memberikan kata-kata semangat supaya saya terus tabah menghadapi hari-hari pilu hidup saya..

Awak sentiasa menemani saya dengan suara dan sms awak biarpun kita tak pernah bersua..

Awak ingat lagi tak masa pertama kali kita jumpa? Masa tu saya kata penulis novel thriller no. 1 di Malaysia tu kawan saya. Dan, kebetulan pulak awak suka baca novel karya kawan saya tu..

Tapi, awak tak percaya.. Awak selalu kata saya klepet awak....

Masa hari raya tahun tu, bagi membuktikan kat awak yang saya tak berbohong, saya bawak awak pergi beraya kat rumah Ramlee Awang Murshid tu...

Saya macam nak tergelak bila tengok awak terpegun jakun sampai menganga mulut tatkala berhadapan dengan kawan saya tu.. Sampai kan kawan saya jemput awak makan pun, mulut awak masih ternganga dengan mata tak berkerdip! Heh, lawak betul awak ni....

Perkenalan kita masuk bulan keenam.Saya rasa serasi dengan awak. Dalam jangkamasa tu jugak merupakan tempoh 'percubaan' untuk saya. Macam-macam awak duga saya untuk menguji sejauh mana keikhlasan saya pada kawan istimewa macam awak..

Biarpun saya sebenarnya memang tak tahu awak tengah buat 'ujian keikhlasan' kat saya tapi (seperti kata awak dulu), saya telah pass ujian tu biarpun saya tak tahu bila mula dan berakhirnya 'ujian' itu.....

Hinggalah pada suatu hari, awak tanya saya....

"Bila kita nak bertunang?"

Saya cakap, "Bagi saya masa 3 minggu...." untuk prepare dan hantar rombongan meminang.. Hasil perbincangan sesama keluarga, pada 22 Februari 2009 kita bertunang dengan cincin belah rotan menjadi bukti...!

~end of surat 1~