jom follow....

Monday, 13 April 2015

Hujan Malam Jumaat....

Salah seorang pakcik yang menjadi best friend aku masa bekerja di tanah arab suatu masa dulu.. Bila tengok pakcik ni, teringat pada orang tua di kampung ~ Tribute to Uncle Cha Cha (sekadar gambar hiasan)


Selimut lusuh ditarik-tarik lagi sehingga melepasi kepala. Namun dingin yang menggigit seluruh tubuh belum terlepas juga,

"Entah apalah rahmatnya hujan malam jumaat begini? Pak Ucu Zawawi bersoal sendiri.

Segaris senyum nakal terukir dibibirnya. Kalau dulu-dulu, masa tubuh segar, masa ada lagi Mak Ucu , kalau hujan-hujan lebat pada malam jumaat begini, ahhhhh..... cepat-cepat Pak Ucu  Zawawi memintas ingatan nakal yang melintasi kepalanya itu.
............................................................................................................................................

Pak Ucu Zawawi tarik semula selimut menutup kepala. Toleh ke kanan, bunyi dengkur berdengung sedang beralun. Toleh ke kiri, sesusuk tubuh sedang bergerak-gerak.

"Pak Syed Bunga tu pun tak boleh tidur jugak agaknya macam aku agaknya..", Kata Pak Ucu Zawawi didalam hati.

Pak Ucu Zawawi pun buat-buat batuk kecil. Susuk tubuh itu bergerak lagi.

"Errrpppppppp..!!", Pak Ucu Zawawi buat-buat sendawa pulak.

"Kenapa ni Ucu? Masuk angin ke?", Sedar-sedar Pak Syed Bunga yang bersinglet dan berpelekat lusuh  itu sudah ada di birai katil Pak Ucu Zawawi.

Pak Ucu Zawawi menggeleng. Wajah usangnya sedikit keruh. Pak Syed Bunga merapat.

"Aku tak boleh tidur, Syed. Mata ni..... keras semacam je!", Sayu berbaur pilu suara itu dibawa angin malam.

Hujan sudah reda tapi dinginnya masih menggigit. Pak Syed Bunga sauk tuala menutup bahunya dan terus duduk di sisi Pak Ucu Zawawi. Antara keduanya tiba-tiba saling bertentang pandang.

"Kamu dah berapa tahun duduk sini, Syed?", Pak Ucu Zawawi bertanya mengisi sunyi yang bertandang antara mereka. Pak Syed Bunga tertunduk.

"Lapan setengah! Dulu engkau setengah tahun je dari aku!"

"Huiiii...! Lama jugak tu ye.."

"Hmmmm....!"

"Dalam lapan tahun setengah tu, berapa kali dah anak cucu kamu datang jenguk, Syed?", Pak Syed Bunga terus tertunduk. Pertanyaan ikhlas Pak Ucu Zawawi tidak terjawab. Dada Pak Syed Bunga terus terasa sendat.

"Anak menantu engkau pulak dah berapa kali datang ziarah engkau, Ucu?", Pak Ucu Zawawi menggeleng perlahan. Hidungnya tiba-tiba saja kembang-kempis. Terlihat dalam samar cahaya, mata Pak Ucu Zawawi mula berkaca.

"Kita orang tua ni tak ubah macam Quran buruk, Syed..."

"Bukan Quran buruk, tapi besi dimakan karat. Buruk-buruk Quran puk tak boleh letak sembarangan, hodoh berkarat kita dilempar ke rumah macam ni...!!",Suara Pak Syed Bunga sedikit mengeras.

Pak Ucu Zawawi tak terkata-kata. Pak Syed Bunga turut ikut berdiam. Sunyi menguasai semula jujukan katil di ruang empat segi memanjang dua orang tua di Darul Fiqah itu. Malam terus merangkak dan merangkak, sedang dua orang lelaki tua di atas katil besi itu masih melayari fikiran masing-masing. Tiba-tiba, Pak Ucu Zawawi terbatuk-batuk. Batuk sungguh-sungguh. Makin lama, makin tajam bunyinya. Sebatang tubuh tuanya bergerak-gerak menunduk mengikut bersama-sama irama batuk itu.

"Ucu! Ucu...! Mengucap, Ucu... Mengucap!", Pak Syed Bunga sedikit gusar. Bahu dan batang tengkok sahabatnya itu dipicit berulang-ulang.

"Barangkali... aku ni dah lama dah menumpang atas muka bumi ni...", Sayu serta layu nada itu menyentuh cuping telinga Pak Syed Bunga. Hati tuanya bergetar. Bahu Pak Ucu Zawawi dipicit-picit lagi.

"Kalau engkau tak lama, serupa macam tu jugak la dengan aku, Ucu. Engkau tua, aku tua. Aku uzur, engkau pun serupa. Kalau kita mati sama-sama pun aku rasa elok jugak!", Suara Pak Syed Bunga mengendur sayu.

"Kalau aku mati, takde orang yang tangisi.. Anak cucu sendiri dah tak ambik peduli. Tapi, kalau kamu, Syed... haaa, bengkak le mata buah tangkai jantung kamu kat sana nuuu...!", Dalam sayu terselit nada mengusik yang keluar dari mulut Pak Ucu Zawawi. Pak Syed Bunga tarik senyum kelat.

"Aik, engkau pun tahu jugak pasal aku dengan Lemah Belon tu?"

"Tau sangat... Semua member-member kita kat rumah orang tua ni pun dah tau. Eh! Bila kamu nak kawen, Syed? Jangan tunggu lama-lama nanti diambik orang!", Usik Pak Ucu Zawawi.

"Kawen? Aku nak angkat kepala lutut pun dah tak larat, engkau tanya bila nak kawen? Lawak apa engkau ni, Ucu?", Tiba-tiba saja pecah tawa antara mereka berdua. Tawa yang sekejap bersungguh-sungguh, sekejap macam dibuat-buat.
................................................................................................................................................

Detik jarum jam terus berlalu. Masa terus pergi meninggalkan mereka berdua di atas katil itu. Malam terus merangkak, dinihari terus menjelang..

Diatas katil besi itu, dua orang sahabat itu terus juga mengisi malam dengan tawa, dengan tangis mereka. Apakah masih sempat untuk Pak Ucu Zawawi dan Pak Syed Bunga berbual bersama lagi di malam esok dan besoknya..?

Wallahualam.......

ingatan tulus ikhlas : Biar berkarat dimakan ulat, jangan dibuang orang-orang tua kita!

Friday, 10 April 2015

KIsah Di Gunung Ledang..

redup mata memandang bila masuk dalam hutan tengok tumbuhan hijau...
Hati ni gembira ya amat bila dipelawa join satu ekspedisi mendaki Gunung Ledang yang terletak di daerah Muar. Pucuk dicita ulam mendatang, bila dapat tahu je tarikh nak mendaki tu aku terus siap-siap beli kelengkapan mendaki. Kasut, beg, botol air, semuanya aku beli serba baru. Yiiihaaaaa...!!
.................................................................................................................................................................

Cerita ini semuanya bermula saat kitorang memulakan perjalanan ke Gunung Ledang. Kitorang bergerak ke Gunung Ledang tepat jam 10:07 pagi waktu tempatan dengan menaiki sebuah van. Jidin Koboi kata dia nak tangkap gambar pemandangan dari atas gunung Ledang menggunakan dron yang baru dibeli beliau dekat Pasaraya Kipmart semasa outstation di Johor Bahru dua minggu lepas. Masing-masing tak sabar untuk merasai kedinginan air terjunnya yang jernih itu disamping kicauan unggas rimba yang mengasyikkan. Oh... Syahdunya!

Van mula mula membelok masuk ke persimpangan menuju ke Gunung Ledang. Masing-masing mula mempamerkan kehuluaan mereka yang tersendiri kerana terlalu gembira sehinggakan ada yang terlompat-lompat di dalam van kerana over acting. Ingin jugak rasanya aku melompat-lompat dan menjerit sama tetapi memandangkan stereng van ditangan aku, terpaksalah aku bersabar supaya van yang aku pandu tidak turut terlompat-lompat ke dalam gaung.

Sejurus sampai, kami disambut dengan bunyi air sungai yang mengalir.

"Wuiii... Bestnya. Macam air terjun, kan?", Yeop Kasawari melahirkan rasa kehuluannya yang tak terhingga.

"Bukan macam air terjun la, bodoh..", Marah Samad Rapunzel.

"Abis tu?", Balas Yeop Kasawari.

"Macam lautlah, aparaaaa...", Kata Samad Rapunzel dengan bangganya sambil memikul begnya yang seberat anak tapir itu.

Selepas memastikan tiada sesiapa pun yang tertinggal di dalam van, kami pun memulakan perjalanan mendaki sambil mencari tempat yang strategik untuk membuat khemah.

"Woi, korang semua siapkan apa-apa yang patut dulu,biar aku pergi cari kayu kejap untuk buat unggun api...!", Kataku seperti seorang jeneral.

"Anoy, biar gua ikut lu...", Yeop Kasawari menawarkan khidmatnya.

"Takpelah, gua dah biasa dengan tempat ni, okey chow..!", Aku pun terus cepat-cepat menghilangkan diri disebalik pokok-pokok disitu seperti seorang ninja.

Dari celah-celah daun pokok, aku perhatikan Yeop Kasawari masih terkebil-kebil memandang aku sambil memegang torchlight di tangan.

Aku bukannya tak nak Yeop Kasawari ikut aku cari kayu, tapi aku takut Yeop Kasawari potong line aku bila aku terjumpa dengan Puteri Gunung Ledang nanti. Sedang aku asyik berangan, tiba-tiba barulah aku sedar yang aku dah sesat.

"Alamak, macam mana ni?", Kata hati kecilku

Aku dah mula rasa cuak. Cuba nak WhatsApp diorang tapi line pulak takde. Pengaliran darah dalam badanku semakin tak stabil. Aku pandang kiri... Pokok! Kanan... Pokok! Belakang....Pokok!

Arggghhhhh!!! Aku mula rasa macam nak menangis. Tapi, aku tahu aku takkan menangis punya sebab aku rasa pada saat-saat macam ni Puteri Gunung Ledang sedang memerhatikan aku dan dia memang sengaja menyesatkan aku, fikirku di dalam hati.

Tapi untuk apa dia menyesatkan aku? Adakah kerana dia nak berkenalan dengan aku dan nak mintak nombor telefon supaya dia boleh WhatsApp dan sekaligus mengorat aku dalam diam-diam? Dengan perasaan yang meragukan, aku terus berjalan menyelusuri semak samun dihadapan.

Tiba-tiba telinga aku menangkap bunyi air terjun. Dalam masa yang sama aku terdengar suara perempuan sedang mengalunkan lagu lama. Kedengaran seperti lagu 'Berkorban Apa Saja ' nyanyian Tan Sri P. Ramlee dalam cerita Hang Tuah.

Untuk menyembunyikan identiti aku, maka aku pun merangkak dalam celah-celah semak untuk meninjau siapa yang punya suara dekat kawasan air terjun tu. Tiba-tiba bijik mata ku terpaku apabila ternampak seorang nenek tua yang sudah bongkok sedang terbongkok-bongkok mengambil air.

Aku ada dengar cerita yang Puteri Gunung Ledang suka menyamarkan dirinya menjadi perempuan tua seperti nenek kebayan.

"Kalau dah jodoh tak ke mana", Bisik hatiku.

Dengan perasaan gembira bercampur takut, aku pun menghampiri nenek kebayan itu. Bila saja badan aku yang sado ini berdiri dibelakangnya, dia pun melemparkan senyumannya dengan menampakkan gusinya yang sudah tak bergigi itu. Mungkin dia menyangka yang aku ni tak tau bahawa dia tu sebenarnya Puteri Gunung Ledang dan mungkin dia tak tahu bahawa cara dia menyamar telah pun aku ketahui sejak dulu lagi.

"Nek....", Aku menegurnya dengan suara yang paling sopan sekali. Nak mengorat Tuan Puteri, mestilah bersopan santun, beb!

Sekali lagi dia tersenyum sambil memandang aku.

"Nenek, cepatlah... Kata nak masak air tadi...", Jerit satu suara.

Aku pun memandang ke arah suara itu dan aku dapat lihat sebuah family sedang bercamping tidak jauh dari tempat aku sedang berdiri. Seorang budak kecik menghampiri nenek tua itu...

"Nek, cepatlah nek.. Nasik dah nak masak tu..", Kata budak kecik tu sambil memimpin tangan neneknya yang aku ingatkan Puteri Gunung Ledang itu.

"Woi! Kayu mana? Kayu?", Jeritan Yeop Kasawari kedengaran jelas di belakang aku.. Siot betul!

Masa makan malam tu aku kena bahan berbakul-bakul dengan diorang. Ku sangkakan Puteri Gunung Ledang rupa-rupanya nenek orang!

Thursday, 2 April 2015

Kembara Umrah #11 : Doa Di Tanah Haram

Tempat mustajab doa...
Pengalaman melihat orang Syiah sujud atas batu, aku simpan dalam hati. Kalau boleh tak nak cerita pada kawan-kawan yang sama-sama mengerjakan umrah ni. Sampai kat Sabya nanti baru aku cerita kat diorang (Namun, hakikatnya bila sampai kat rumah aku terus terlupa nak cerita kat diorang hinggalah entry ini ditaip..).

Seperti mana yang pernah aku beritahu sebelum ni. Ini merupakan kali pertama aku dengan kawan-kawan mengerjakan ibadah umrah. Kerani Pakistan tu dah banyak kali buat umrah. Segala perkara yang berkaitan ibadah umrah ni kami jadikan dia sebagai mentor. Kerani Pakistan itu dijadikan sebagai sumber rujukan. Apa yang dia beritahu, kami turutkan saja dan kami buat...

Sehari sebelum bergerak ke Makkah, aku dengan kawan-kawan yang lain ada buat sedikit research dalam internet tentang cara-cara dan perkara yang berkaitan dengan ibadah umrah ni.

Teringat kat kawan-kawan yang ada kirim minta tolong doakan kesejahteraan mereka dunia akhirat. Ada yang minta tolong doakan supaya mereka pula menjadi tetamu Allah SWT di tanah haram. Ya, Rahman... Walau apa saja doa dan permintaan yang mereka kirimkan melalui hamba-Mu ini, Engkau kabulkanlah selagi ia mendatangkan kebaikan dan tidak memudaratkan buat mereka. Amin Ya Rabbal Alamin.....