jom follow....

Monday, 14 December 2015

Tragedi Tempoyak...

Tilapia Merah kalau dimasak tempoyak pun sedap jugak, kata mereka...
Orang selalu kata, ikan patin masak gulai tempoyak tu sedap sangat. Nak pulak dibuat dengan tempoyak yang fresh. Orang kata, sedap sehingga menjilat jari. Tapi, pada aku tempoyak bukanlah makanan kegemaran walaupun aku ni orang Perak.. Lalu, mereka pun berkata...

"Malu la wey, orang Perak tak makan tempoyak..!"

Ada sebab kenapa aku tak makan tempoyak. Bukan saja-saja. Secara automatik, fikiran aku menerawang jauh menyelusuri ruang masa silam zaman kanak-kanak dulu...

Tahun 1993...

"Nan, nak ikut tak pergi Kuda Emas?", Shidi tanya aku tatkala aku sedang fokus bermain guli dengan Paed.

TAKK!! KELETUK! KELETAKK!! KELETEK!! Bertaburan guli keluar daripada kotak yang dilukis diatas tanah.

"Kuda Emas? Tempat apa tu?", Aku tanya balik sambil memungut guli tiga empat biji yang keluar dari garisan kotak.

"Tempat main game laa..", Jawab Shidi.

Kemudian, Shidi sambung lagi..

"Jangan beritahu orang lain.. Cepat la, kitorang nak pergi dah ni..."

Bila dengar kata dia Kuda Emas tu tempat main game, kelam kabut aku habiskan permainan guli dengan Paed.

Selesai menang main guli lawan Paed, dengan pantas aku capai basikal BMX berspot rim biru muda macam warna baju jaket TNB. Kat depan pintu gerbang kuarters UTM, aku tengok Shidi, Sham, Shah, Kamarol, Paed sedang menunggu atas basikal masing-masing dengan muka menyeringai di tengah panas.

Perjalanan tak la jauh sangat. Tempat yang dipanggil Kuda Emas tu terletak di Sri Rampai. Ada la dalam setengah jam dari kawasan rumah nak ke sana.

Sampai saja di Sri Rampai, kami 'parking' basikal disepan sebuah kedai gunting. Disebabkan aku tak bawa kunci, jadi basikal aku dikunci sekali dengan kawan-kawan yang lain. Selesai kunci basikal, kami semua terus meluru ke Kuda Emas dengan syiling 20 sen yang penuh dalam poket. Bunyi bingit permainan video sungguh menyakitkan telinga. Asap rokok pulak berkepul-kepul dalam premis tu. Tapi, tu semua tolak tepi. Yang penting, seronok dapat main game!

Memang seronok betul main permainan video permainan arked hari tu.

Selepas seronok bermain permainan video, tiba-tiba perut berkeroncong.. Lapar! Bila perut dah lapar, kena la balik rumah makan nasi! Tapi, basikal aku dikunci sekali dengan basikal sorang lagi kawan aku yang masih leka bermain game arked kat Kuda Emas. Maka, terpaksalah aku tunggu sampai dia habis main game... Lama!! Kalau tengok kat langit masa tu, rasanya dah nak Asar. Dari jam 10:00 pagi sampai dah nak Asar dok main game, patut la perut berkeroncong sangat! Dalam pukul 5:00 petang baru kitorang balik rumah.. Perut lapar.. Tak sabar nak makan sambal tumis yang mak masak.. Hati riang...!

Sampai je depan halaman rumah, aku tengok emak tengah berdiri kat depan pintu sambil sebelah tangannya disorokkan ke belakang. Lepas tu emak tanya,

"Pergi mana tadi?", Aku mula cuak dengan soalan emak. Wajah aku yang tadinya riang sekarang dah bertukar macam serangga riang-riang yang kena tangkap dengan budak-budak nakal.

"Errrr.. Pergi Perpustakaan Negara tadi...", Aku tundukkan muka.

Tak berani nak bercakap sambil memandang wajah emak. Aku tengok wajah emak dah macam singa. Muka emak merah padam menahan marah.

"Nak bohong? Tadi, kawan kamu kata kamu pergi main game...! Betul tak?!", Tone suara emak dah macam halilintar.

"Ye, mak... Tadi main game.......", Aku undurkan satu langkah ke belakang, kasi jauh sikit dari emak.

Sepantas kilat aku dapat rasakan libasan tali pinggang ayah melekat kat pinggang. Menggelupur aku lari keliling kuarters meminta tolong. Tapi, masa tu sapa yang berani tolong? Takde orang berani tolong bila emak dah bertukar jadi Incredible Hulk. Emak dah naik hantu! Emak lari laju mengejar. Larian emak sungguh laju bila emak marah. Aku tak tahu lagi nak lari ke mana. Last-last aku lari masuk dalam rumah. Ternyata, keputusan aku lari masuk dalam rumah adalah satu kesilapan yang amat besar dalam sejarah hidup aku masa tu..!

Emak kunci pintu. Emak senyum dalam marah. Terjerit melolong aku kena libas dengan tali pinggang. Tak cukup dengan tu, hanger baju habis patah dek libasan emak. Emak cukup pantang kalau orang cakap bohong. Badan aku masa tu memang berbirat-birat. Tak cukup dengan itu, emak masuk ke dapur lalu dibukanya peti ais. Dia ambil sebalang tempoyak. Emak seluk tangan dalam balang tu, dia lumurkan muka aku dengan tempoyak. Habis satu muka penuh tempoyak.

Kemudian, emak kepal-kepal tempoyak tu sumbat pulak dalam mulut.. Tangisan dan rayuan aku tak diendahkan.. Kuarters UTM tu jugak menjadi saksi, aku muntah teruk disebabkan rasa dan aroma tempoyak yang masam!

Tiga hari aku tak dibenarkan keluar rumah untuk bermain. Hari yang bersejarah tu, aku tak lalu makan disebabkan tempoyak. Dan, kerana peristiwa itulah yang membuatkan aku anti-tempoyak..

Bila diingat balik, memang nakal sangat aku gamaknya masa tu. Dulu, bila emak ayah rotan, aku selalu fikir diorang ni tak sayang aku. Tapi, sekarang ni menghadapi realiti dah ada anak, dah jadi abah baru aku sedar betapa sukarnya untuk menghadapi dan mendidik anak-anak yang sedang membesar.

Hari ni, aku menggunakan cara yang sama emak gunakan semasa emak denda aku waktu dulu. Kalau dengan nasihat dan rotan tak jalan, aku gunakan tempoyak je sebagai pengganti..

TERIMA KASIH, EMAK...


Dari Dia kita datang, kepada Dia jualah kita kembali......
Moral : Jangan bercakap bohong dengan emak ayah anda.


Wednesday, 9 December 2015

Pengembaraan Umrah # 12 : Sa'ie Dan Bahasa Inggeris?

Sesi bergambar sebelum memulakan sa'ie selepas menunaikan ibadah tawaf mengelilingi Kaabah.
Setelah selesai melaksanakan ibadah tawaf tujuh pusingan, menunaikan solat sunat tawaf berdekatan Maqam Ibrahim, kami keluar ke menuju ke tempat sa'ie, melalui pintu Safa (Babul Al-Safa).

Sa'ie ialah berjalan ulang-alik sebanyak 7 kali diantara Bukit Safa ke Bukit Marwah. Adalah disunatkan supaya sampai ke penghujung tempat sa'ie di Bukit Safa dan Bukit Marwah pada setiap pusingan sa'ie.

"My dear brother, to perform sa'ie, we should start walk from here. Here is Jabal Safa and over there is Jabal Marwah..!!", Nassir bercakap sedikit kuat.

Sebab suasana agak bising dengan suara jemaah dan bunyi mesin yang sedang digunakan untuk tujuan pembinaan serta kerja pembesaran MasjidilHaram.

Dengan penuh semangat, maka kami semua pun mula berjalan sa'ie. Sedang kami berjalan, bila tiba di sebuah laluan yang mempunyai lampu hijau terang, tiba-tiba Nassir kata..

"From this green light area, we must walk faster or jogging untill there....", Mulut Nassir muncung menunjukkan isyarat kena berhenti berjalan pantas di lapangan lampu hijau dihadapan berdekatan Bukit Marwah.

Dalam fikiran aku, terkenangkan betapa susah hatinya Siti Hajar berlari-lari ke sana ke mari meminta bantuan dan mencari air untuk anaknya Ismail A.S.

"Okay, kita start dari sini...", Tiba-tiba Zimbo bersuara dengan agak yakin.

"Tokwe baca doa ye masa kita sa'ie ni, Tokwe..", Zimbo memulakan ayat pancing.

"Eh, kawe pulok? Anoy laa.. Dio pandai ghoyak bahaso inggeris...", Balas Tokwe sambil melemparkan secebis senyum misteri.

Macam nak tersembur air zam-zam yang aku tengah minum. terfikir, apa kaitan baca doa dan pandai cakap bahasa inggeris dalam ibadah sa'ie ni? Pandai Tokwe menangkis bola tanggung daripada Zimbo..

"Bo, ko kan ada buku doa dan ziarah mekah/madinah.. Amacam ko je yang baca..? Kitorang ramai-ramai ikut ko baca.. Lagipun, ko kan boss dalam kita-kita ni...", Kata aku dengan wajah yang manis seperti Upin dan Ipin.

"Orait, kalau dah cakap macam tu aku boleh je...", Jawab Zimbo sambil membelek-belek buku adab ziarah yang tergantung dilehernya.

Sa'ie in progress....
Mr. Nassir masih lagi menjadi 'leader' dalam group kami ni.

Maka, bermulalah sa'ie kami semua pada pagi yang indah tu. Bermacam ragam manusia ada kat situ. Ada yang menjalani ibadah sa'ie sambil mendukung anak, ada yang berlari pecut seperti atlet, ada yang memimpin orang tua mereka yang uzur, ada yang ditolak dengan kerusi roda, ada yang selfie ditengah laluan, ada yang berehat sebentar sambil minum air zam-zam yang disediakan. namun, walau apa pun yang mereka lakukan, niat mereka cuma satu iaitu ingin mendapatkan umrah yang mabrur dan mengharapkan redha dari Yang Maha Kuasa.

Sedikit cerita mengenai tanah tempat sa'ie ini, asalnya ia merupakan tanah yang berliku, curam dan tidak rata. Pembaikan dan pembaharuannya dilakukan sedikit demi sedikit sepanjang sejarah sehinggalah keadaannya seperti pada hari ini.
Air zam-zam turut disediakan disepanjang laluan sa'ie bagi memudahkan tetamu Allah SWT menghilangkan dahaga.
Sebelum ini, Mas'a serta Masjidilharam tidak bersambung dan dipisahkan oleh bangunan-bangunan. Ia terletak dikawasan pasar yang kiri kanannya terdapat kedai-kedai dan para penjaja. Jadi, pada waktu itu orang bersa'ie dengan segala kesibukan ditengah-tengah deretan kedai.

Untuk memudahkan orang ramai melakukan sa'ie, kerajaan Arab Saudi dan pemerintah sebelumnya telah melakukan beberapa perubahan ke atas bangunan dan mengarahkan pasar itu ditutup. Semua bangunan yang memisahkannya dengan Masjidilharam diruntuhkan dan kedua-duanya dijadikan satu bangunan.

Mr. Nassir berjalan makin pantas. Aku dengan kawan-kawan yang lain dah mula lenguh kaki. Aku rasa, perjalanan ni dah masuk round kesepuluh dari Jabal Safa ke Jabal Marwah. Lalu, aku suruh Omar tanyakan pada Mr. Nassir, betul ke pusingan yang kitorang buat tu... Lantas, dengan penuh passion Mr. Nassir menjawab,

"My friend, from Jabal Safa to Jabal Marwah is a half round. To complete it, we must walk from Jabal Safa to Jabal Safa through jabal Marwah....", Kami semua tercengang.

Jabal Safa..
Eh, betul ke brader Pakistan ni cakap? Setahu aku, dari Jabal Safa ke Jabal Marwah tu dikira satu pusingan dan dari Jabal Marwah ke Jabal Safa tu satu pusingan lagi. Kira dah dua pusingan dah tu... Tapi, mamat Pakistan ni cakap lain pulak...

Akibat tiada ilmu dan pertama kali datang menunaikan umrah, kami pun menurut sahaja apa yang Mr. Nassir beritahu...

Jadi, untuk sa'ie hari tu kami membuat tujuh pusingan
(mengikut kiraan Mr. Nassir) dan empat belas pusingan (mengikut kiraan kami)....


Selesai sa'ie kami pun bertahalul... 







Tuesday, 8 December 2015

Belacan Anak Ketua Kampung...

Suatu masa dulu, didalam parit inilah Anoy selalu berkubang dengan sepupu-sepupunya.. Dulu, parit ni bersih.. He is a brilliant kampungboy!
" Betul ke kau tak nak ikut aku balik kampung, Noy? " Tanya Buntat buat kali kesembilan.

" Tak naklah! Tak nak! Tak nak! Tak nakkkk!! Arghh!! " Anoy yang dah tension dengan pertanyaan Buntat itu mula mempamerkan aksi ganas dengan menggigit stokin Buntat hingga terkoyak.

Buntat yang berasa ngeri dengan aksi sewel kawannya itu tidak jadi untuk bertanya buat kali kesepuluh kerana bimbang Anoy akan menggigit kakinya pula.

TING!! Bas berhenti betul-betul dipersimpangan Kampung Laneh. Buntat melangkah turun dari bas dengan gaya ala-ala Darth Vader namun tiada seorang pun yang melepak di simpang itu seperti  yang diharapkan olehnya kerana waktu hampir senja. Maka, terpaksalah dia menapak hampir dua batu untuk sampai ke rumah orang tuanya.

"KRING! KRING!" Tiba-tiba terdengar bunyi loceng basikal dari arah belakangnya.

" Hai, orang KL.. Baru sampai? " Sapa penunggang basikal itu.

" Eh, Dina. Ingatkan siapa tadi. Errr... Aaaa..." Buntat menjadi gabra dengan pertanyaan anak ketua kampungnya itu yang secantik Kareena Kapoor. Awek yang menjadi rebutan budak-budak kampungnya dan juga budak kampung sebelah. Buntat memang ada menaruh hati terhadap Dina sejak dari bangku sekolah rendah lagi.

" Baru sampai? ", Tanya Dina lagi sambil menjeling manja.

" Aaa.. Err.. Eh, baru je sampai ni. Dina dari mana ni? ", Buntat tergagap-gagap menjawab apabila terlihat jelingan manja Dina yang menawan.

" Dina dari kedai tadi. Mak suruh beli belacan ni, haa..", Dina turun dari basikal dan memimpin basikalnya berjalan bersama-sama Buntat yang tersengih riang.

" Ada hal penting ke balik kampung ni? ", Tanya Dina.

" Ha'ah...", Pendek jawapan Buntat.

" Hal apa? ", Dina tanya lagi.

" Nak pinang Dina laa... Hihihihiii...", Buntat tersenyum seperti kambing tertelan plastik.

" Hik..Hik..Hik..", Dina mencubit lengan kiri Buntat.

Buntat tak sangka dia dapat bergurau dengan Dina seperti ini. Kalau dulu, jangankan nak berjalan berdua, berselisih dengan Buntat pun dia tak nak. Buntat masih ingat lagi dulu, gara-gara dia mengenyitkan matalah, dia hampir-hampir mengalami pendarahan otak yang serius kerana ditumbuk oleh Dina. Tapi, sekarang dah berubah.. Dia dah tak segarang dulu lagi. Mungkin kerana Buntat sudah bekerja di kota sebagai orang letrik berjaket biru muda lalu Dina tidak sombong lagi padanya, Buntat membuat kesimpulannya sendiri.

" Bila abang Buntat nak masuk meminang..?", Tanya Dina sambil tersenyum penuh makna.

Chewing gum yang sedang dikunyah tersembur keluar dari mulut Buntat kerana terperanjat dengan pertanyaan Dina itu.

" Eh, Dina serius ke ni?", Lubang hidung Buntat mula mengembang dan menguncup dengan tidak tentu arah.

" Hmmmm...", Dina tersenyum sambil menunduk malu menyorokkan wajahnya yang ayu itu.

" Kalau Dina serius nanti abang bincangkan perkara ni dengan family abang dulu...", Kata Buntat dengan bangga. Maklumlah, dia bakal menjadi menantu kepada ketua kampung..

Sebelum Buntat membelok ke rumahnya, Dina menghulurkan sesuatu didalam plastik hitam kepadanya.

" Kalau abang Buntat sudi, ambil lah.. Dah lama Dina simpankan untuk abang Buntat.", Dina tersenyum memandang Buntat.

Buntat pun mengambil bungkusan itu dengan muka yang manis...

Pada malam tu, semasa sedang menonton televisyen bersama emak dan ayahnya, dia merangka-rangka ayat yang sesuai untuk menyuarakan hasratnya itu.

" What's your problem, my son?", Tanya abah Buntat setelah mendapati anaknya itu seperti sedang angau memikirkan sesuatu.

" Apa pendapat mak dengan abah tentang Dina tu, anak ketua kampung kita tu...?", Buntat nekad menyuarakan hasrat.

Dia tu bagus budaknya. Cantik, berbudi bahasa, hormat orang tua..", Kata emak Buntat.

" Dua tiga minggu lepas, dia ada datang rumah tanyakan kamu. Apasal kamu dengan Anoy lama tak balik kampung... Dia kata, dia kesal dan dia mintak maaf  sebab selalu berkasar dengan kamu dulu...", Sambung abahnya pula.

Buntat mendengar dengan penuh teliti dan terharu.

" Mak pun ada golden dream nak bermenantukan si Dina tu...", Buntat mendengar sambil keningnya sedikit meninggi sambil tersenyum.

" Tapi, sayang....", Kata-kata emak Buntat terhenti di situ....

" Kenapa, mak? Apasal..?", Soal Buntat yang mula suspens.

" Dia dah meninggal minggu lepas sebab eksiden dengan lembu masa balik dari kedai membeli belacan yang ibu dia pesan. Dia cedera parah sebab kepala dia berlaga dengan kepala lembu, hidung lembu tu penyek dan Dina didapati meninggal di tempat kejadian...", Lapor emaknya Buntat dengan penuh penghayatan.

" Hahhh!!!", Mata Buntat terbeliak sebesar telur mata kerbau. Serentak dengan itu, dengan muka yang takut-takut, Buntat pun memengsankan dirinya di situ jugak.

Lima minit berlalu, barulah Buntat membuka matanya.

" Kenapa dengan kau ni, Andak?", tanya abahnya.

Andak adalah nama timangan Buntat dikalangan adik-beradik beliau.

Buntat tak menjawab. Dia terus ke biliknya dan dengan perlahan dia membuka bungkusan yang diberi oleh Dina senja tadi.

"Arrrrgghhhhh..!!!!!", Lalu Buntat pun pengsan sekali lagi apabila dia mendapati barang yang diterimanya itu adalah seketul belacan.. Siap tertulis nama Dina pulak kat belacan tu.

Sejak dari itu, Buntat mula takut untuk bertemu dengan belacan, termasuklah sambal belacan...

Thursday, 3 December 2015

Cerita Disebalik Tiang Seri.......

Tiang seri tegaknya sebatang, rumah kondominium tiangnya beribu...
Malam ini bulan terang-benderang, duduk-duduk lepak memang best, lagi-lagi lepak dekat bawah pokok jati, barulah nama anak lelaki sejati. Muka-muka yang lepak ni dah sama dengan pokok, kalau orang lalu pun tak perasan ada orang lepak. Bukan apa, orang dah naik menyampah dengan pelepak tetap kampung dengan bunyi gitar krong-kreng-krong-kreng. Selalunya agenda dan aktiviti mereka semuanya bersih dari najis dadah. Kekadang main gitar, kekadang main dam, kekadang cerita kosong, kekadang makan kuaci dan macam-macam lagi yang tak mengganggu orang lain.

Selalunya malam bulan mengambang, kitorang akan bukak cerita hantu. baru ada thrill, kena pulak malam jumaat. Samad Rapunzel la yang selalu jadi tukang karut, meremang segala bulu, lagi-lagi duduk bawah pokok jati yang berusia berpuluh-puluh tahun ni...

Malam tu giliran aku bercerita....

"Nan, dah banyak kali Tok bagitau jangan main dekat tiang ni.. Dah, pergi jauh-jauh.. Banyak lagi tempat lain nak main.."

Bila malam menjelang, aku tidur dekat celah ketiak Tok. Aku tak puas hati, aku tanya kat Tok, kenapa setiap kali aku main dekat tiang tu Tok marah sangat.. Tok jawab,

"Tiang tu tiang seri, penahan rumah dan penyeri, sesuatu yang berbakti kita kena hormati, walaupun benda tu dah mati. Pantang nenek moyang kita kalau tiang tu tak dijaga. Nanti ada orang yang tinggal dalam rumah tu berlaga-laga. Jadi, sebelum apa-apa terjadi kenalah berjaga-jaga... Dah, tidurlah, Nan... Jangan sibuk pasal tiang tu.."

Yang membuatkan aku teringat pasal tiang tu sebab dekat tangan dia sekarang ada surat dari peguam bahawa aku akan mewarisi rumah pusaka itu setelah sampai masanya nanti. Kini, aku berfikir sendirian, sekarang tibalah masa untuk membongkar rahsia tiang seri yang misteri tu.

Waktu tu jugak, aku ambik cuti lima hari untuk memuaskan hati tentang apa yang dicari-cari. Persoalan yang bermain difikiran aku masa tu ialah apa sebenarnya rahsia disebalik tiang seri, mungkin terkandung harta karun dibawahnya ataupun Tok ada menyimpan hantu raya.. Semuanya menjadi tanda tanya... Malam tu jugak aku balik kampung rumah Tok..

Setibanya aku kat rumah tu, dengan bacaan bismillah.. Aku bukak daun pintu perlahan-lahan, apa yang aku nampak ditengah rumah ialah tiang seri tegak gagah berdiri. Ikutkan hati nak aje aku membelah, tapi keraguan masa tu semakin menyerlah, dibatalkan niat takut tersalah langkah.

Walaupun masa tu aku rasa letih sangat, aku terus cari Pak Anjang Aki, Pak Anjang Aki adalah penghulu yang terlatih. Sampai di laman rumah Pak Anjang Aki, aku berjalan macam bertatih, kegusaran dihati diluahkan, kenapa tiang seri tak boleh diapa-apakan.

"Kamu datang sini sebab nak tanya pasal tiang seri je ke? kalau Tok kamu kata tak boleh usik, jangan le buat. Yang kamu pegi gelebet tiang tu buat apa? Biar la tiang tu tegak berdiri kat situ. Bukan tiang tu kacau kamu pun. Ingat Nan, kamu bukan saja mewarisi rumah pusaka tu lepas ayah kamu tapi kamu kini mewarisi kata-kata Tok kamu tu juga.."

Dengan pantas aku berlari balik ke rumah, hari tu jugak aku nak bongkar rahsia tiang seri yang berdiri tegak. Biarlah aku nak gelebet jugak. Aku nak tengok apa yang berlaku. Setibanya di rumah Tok, aku berdiri kaku memandang dekat tiang seri yang langsung tiada paku. Aku dengan rakusnya memeluk tiang seri tu, aku tendang-tendang, aku ketuk-ketuk, dan tak cukup dengan itu, aku goncang-goncangkan tiang seri tu dengan sepenuh tenaga dan sedaya upaya.

Masa tu, dalam fikiran aku kalau takde harta karun yang keluar, mesti yang keluar tu nanti adalah polong! Tapi takpe, kalau polong yang keluar nanti aku boleh menjerit minta tolong. Tapi, masa tu hati aku tiba-tiba rasa nak melolong. Rumah tu bergegar, tiang tu bergoyang, tingkap rumah tu terbuka dan tertutup dengan sendirinya. Aku tak pasti adakah kampung aku masa tu sedang dilanda gempa bumi. Dekat luar, hujan dah membasahi bumi, makin lama makin bergetar lutut.

Tiba-tiba.... Ngeeeeeeek krek, krek, krek, krbushhh!

Bukan harta yang aku dapat, bukan polong berambut panjang yang keluar tapi rumah pusaka bertiang seri tegak sebatang tu dah roboh! Patutlah Tok marah, kalau main dekat tiang tu.. Rupanya tiang tu lah yang menahan rumah pusaka tu....

Moral : Jangan tak dengar cakap Atok dan Opah....

Tuesday, 20 October 2015

Cerita Suatu Masa.....

Pada suatu masa dahulu, ada satu keadaan aku pernah menempuh satu situasi yang agak sukar. Suatu keadaan dimana kami sekeluarga dalam keadaan kesempitan wang yang kritikal. Dengan duit kereta yang hampir dua bulan tak bayar, bil elektrik yang belum berbayar. Sebelum ni aku tak pernah miss buat payment bank dan segala bayaran bil.

Dalam masa yang sama, kebetulan anak aku pulak tiba-tiba jatuh sakit teruk. Tengah takde duit, anak sakit... Aku jadi menggelabah! Dugaan hadir untuk menguji....

Masa tu aku tak tahu nak mintak tolong dengan siapa. Aku tengok Cikgu Shila masa tu wajah dia sedih sebab tak tahan tengok anak menangis sakit..
Oleh kerana, masa tu aku dalam keadaan terdesak, aku cuba minta tolong dengan seorang kawan yang aku rasa dia dapat membantu tatkala aku benar-benar perlukan bantuan itu. Aku called seorang kawan...

"Hello, bai boleh tak mintak tolong sikit..? Aku nak mintak tolong pinjam duit sikit..."

Masa tu, perasaan malu aku buang jauh-jauh. Kalau tanya bab muka, masa tu memang aku tebalkan muka setebal-tebalnya. Harga diri semua tolak tepi, mengemis meminta simpati.. Anak aku sakit..!!

"Thanks, bro.. Gua tak tahu dah nak mintak tolong dengan sape.. Lu je yang gua ingat time ni dalam kepala otak gua... Ok, tempat lepak biasa..", Kata aku mengakhiri perbualan telefon.

Malam tu, aku tunggu kawan aku kat kedai mamak tempat kitorang selalu lepak. Dulu, aku pernah tolong time dia betul-betul susah. Sekarang, dia dah senang..Betul la kata orang usaha tangga kejayaan, dia memang jenis kuat berusaha buat bisnes sana sini.. Memang rezeki dia..

Tunggu punya tunggu... Aku mengomel sendirian kat kedai mamak tu,

"Aii, mana dia ni? Dekat dua jam lebih dah aku kat sini.. Takkan dia tak datang, kot? Tak mungkinlah, dia mesti datang sebab dia kawan aku..."

Hakikatnya, selepas tiga jam... dia tetap tak muncul..

Aku bukan jenis suka berhutang sebenarnya. Tapi, time suasana agak terdesak. Nak beli lauk pun tak cukup. Kami suami isteri sampai ikat perut, makan nasi berlaukkan ikan bilis dan kicap setiap hari. Kami redha dan aku tahu, kat luar sana ada orang lagi susah daripada apa yang kami lalui pada saat tu..

Biarpun agak kecewa, hidup mesti terus. Mungkin dia ada masalah jugak kot? Mungkin kereta dia pancit sebab tu dia tak dapat datang jumpa aku kat kedai mamak masa tu kot..? Mungkinlah kot, takpelah.......! Aku fikir yang positif je masa tu biarpun pahit...

Kecewa aku bukan kerana kawan yang tak datang, kecewa aku bukan sebab dugaan yang hadir. Kecewa aku kerana diri aku sendiri. Pada waktu tu, aku gagal melakukan persediaan yang secukupnya untuk melindungi keluarga aku.. Pada masa tu aku betul-betul perlukan.......

"Ya, Rahman... Mana aku nak cari duit ni...?"

Saat tengah terduduk masa tu, aku dapat called dari mak sedara aku. Aku tak cerita la anak aku tengah sakit. Panjang kitorang berborak. Diakhir perbualan, dia kata dalam tangan dia ada duit baki taska yang mana lebihan bayaran yang aku buat tempoh hari. Perasaan masa tu, senang hati cuma Al- Rahim saja yang tahu. Mak sedara aku suruh ambik duit tu kat rumah dia. Tanpa banyak tanya, terus aku pergi!

Semasa on the way balik, aku parking kereta kat tepi highway. Bila duduk dalam kereta, ketika aku masih mengenggam duit untuk rawatan anakanda Harith, tiba-tiba aku jadi sebak, aku jadi sedih. Besar dugaan ni tapi ia penuh dengan rahmat...

Sepanjang perjalanan membawa anakanda harith ke hospital, aku menangis.....

Hari ni, aku rasa sangat-sangat bersyukur. Aku masih lagi berpeluang untuk bermain dan bergurau dengan anak-anak... Terdetik dalam hati, kalau aku tak mampu dapatkan rawatan untuk anak aku masa tu kat hospital, mungkin rumah ni akan sunyi sepi.....



Tuesday, 8 September 2015

"Sebab Tu Aku Dah Tak Memancing Lagi..."

Baru-baru ni aku terjumpa dengan seorang rakan lama zaman belajar dulu dekat sebuah restoran di Plaza Pekeliling. Usop Tokan, itulah gelaran yang diberi tatkala zaman belajar dulu. Dulu, dia merupakan 'supplier' rokok yang paling top dekat asrama. Dia juga merupakan seorang kaki pancing yang cukup aktif. Cakap saja dimana lubuk yang paling banyak ikan, semua dia tahu. Semua habis diterokanya. Tapi, itu dulu... Kini dia bukan lagi seorang pemancing. Kenapa? Nak tahu kenapa, bacalah pengakuan ikhlas dari mulutnya sendiri...

"Masa tu aku dengan tiga orang member yang kaki pancing macam aku jugak. Kitorang pergi kat Trong. Nama tempat tu kaki pancing panggil Batu Agas. Kitorang pergi sana sebab dah banyak kali dengar cerita orang situ boleh dapat Siakap dengan Jenahak senang-senang je! Itu yang buat hati kitorang tak sabar-sabar nak memancing kat situ.

Ko nak tahu, Anoy... Aku baru baling pancing aku lepas tu tak sampai 15 minit, joran aku kena rentap dengan Jenahak. Saiz ikan tu memang besar la. Lepas tu kan, joran aku kena rentap lagi, lagi dan lagi. Itu pasal aku asyik sangat sampai aku terlupa nak solat Maghrib. Member-member pancing yang lain pun tengah berpesta Jenahak dengan Siakap masa tu.. Seronok betul!

Pancing punya pancing, sedar-sedar je dah pukul 11:30 malam. Malam tu bulan mengambang penuh. Dua orang member aku dah masuk dalam van, tidur. Penat sangatlah kot agaknya. tinggallah aku dengan member sorang lagi yang namanya Ahmad Kiambang. Kitorang menunggu diatas batu besar sambil memerhati kalau-kalau pancing kitorang tergedik-gedik direntap ikan. Tiba-tiba, masa tu aku rasa seram sejuk. Seramnya semacam mengundang sesuatu..

Aku tengok Ahmad Kiambang dah terlelap sambil bersandar di perdu pokok. Anoy, masa tu aku rasa ada sesuatu yang memerhatikan aku. Mata aku memandang keliling, semasa aku pandang ke sebelah kiri.. Aku ternampak kelibat lembaga putih terbang melayang-layang dari satu pokok ke pokok yang lain. Lutut aku dah mula mengigil macam kena kejutan elektrik. Makin lama, dia terbang makin dekat. Last-last dia duduk mencangkung lebih kurang lima langkah dari tempat aku duduk memancing.

Ahmad Kiambang masa tu masih tak sedar. Aku dah mula nak buka langkah beribu tapi kaki aku kedua-duanya macam dah melekat kat tanah. Rasa nak menangis pun ada masa tu! Dalam sinar cahaya pelita karbaid tu, aku nampak muka benda tu pucat dengan rambutnya mengerbang panjang. Dekat mulut dia ada sepasang gigi taring panjang.

Itulah kali pertama aku tengok hantu kat depan mata. Selalunya sebelum ni aku tengok hantu kat fun fair je. hantu kat fun fair taklah seram sangat sebab diorang mekap hantu tak nampak real langsung. Ini betul-betul punya hantu. Dah tu siap terbang-terbang pulak.

Dalam hati aku baca ayat kursi dan entah dari mana aku dapat kudrat yang membuatkan aku boleh bergerak lantas aku berlari pecut masuk ke dalam van. Cepat-cepat aku tutup pintu van supaya hantu tu tak ikut sama masuk dalam van. Dua orang member pancing aku yang ada dalam van tak sedar langsung. Memang betul la tidur mati diorang ni. Tiba-tiba, fikiran aku teringatkan Ahmad Kiambang yang sedang enak lena dibuai mimpi kat atas batu. Aku nak keluar kejutkan Ahmad Kiambang tapi kang takut kena terkam pulak dengan hantu tadi, jadi aku biarkan je Ahmad Kiambang kalau dia kena kokak dengan lembaga putih tu.

Dalam keadaan takut tu, aku nampak hantu terbang mengelilingi van yang kitorang naik. Nampak macam nak masuk dalam van. Huh! Kalau hantu tu bagi aku duit RM2.6 Bilion pun  takkan aku kasi dia masuk jugak! Dikokaknya leher aku nanti tak pasal-pasal mampus.

Lama-kelamaan hantu tu ghaib dan hilang entah kemana. Mungkin dia give up pasal aku tak bagi dia masuk dalam van.

Pagi esoknya, kitorang blah dari situ tapi peristiwa malam tadi aku tak ceritakan pun kat member-member pancing aku tu.  Sampai hari ni, kalau diorang ajak aku pergi memancing, cepat-cepat aku tolak. Cukuplah sekali aku ternampak hantu  tu terbang berlegar keliling van.

Aku rasa inilah akibatnya terlalu gila dan seronok memancing sampai solat 5 waktu pun terabai. Padan muka aku masa tu, Anoy.."

Begitulah ceritanya seperti yang diceritakan pada aku.. Percaya atau tidak, terpulang....

Friday, 4 September 2015

Bicara Dakwah

Aku tak pernah menjanjikan
Sebuah kesimpulan
Dalam setiap pertuturanku
Kerana aku takut
Jika kesimpulan itu
Hanya menjadikan ia
Titik akhir bagi sebuah perbincangan

Aku percaya
Jika segala hal boleh berubah
Itu bermakna
Tidak ada teori yang stabil
Dalam setiap keputusan individu

Dakwah?
Jangan kamu fikir
Aku sedang berdakwah pula
Kerana
Aku bukan sedang mendominasi kebenaran
Kebenaran bukan milik kita
Ia hanya singgah
Sebagai cahaya

Manusia dilahirkan dalam fitrah
Antara kekeliruan dan mencari kebenaran
Yang sesungguhnya telah ada
Dalam hati masing-masing
Hingga nanti suatu saat
Ia akan bersinar
Dan cahayanya terang benderang
Pada hari yang telah dijanjikan
Maka hilanglah segala kekeliruan
Yang selama ini kita anggap
Sebagai kebenaran

Alangkah mulianya mereka
Yang mati dalam pencarian
Pada kebenaran
Dalam cahaya kecil didasar hatinya

Kawan-kawan
Ada baiknya kita mendengar
'Apa yang dibicarakan'
Bukan pada
'Siapa yang berbicara'
Kerana
Kebenaran ada dalam
Setiap jiwa dan hati manusia.

p/s : sesekali jiwa kreatif ni berbicara dari dalam hati menerusi papan kekunci....

Thursday, 3 September 2015

Tabung Derma Untuk Yeop Kasawari


Minggu lepas aku keluar dengan Yeop Kasawari dan Yazid Gundam. Diorang ajak keluar pegi makan kat sebuah kedai makan yang terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman. Semasa dalam perjalanan, tiba-tiba Yazid Gundam bersuara sambil meraba-raba poket belakang seluar slack beliau yang baru beli dekat Kedai Pakaian Hari-Hari tu..

"Alamak, Yeop... Wallet aku tertinggal kat office la..! Pinjam duit kamu dulu ye makan kejap lagi..?", Yazid Gundam menggosok-gosok pipi yang berbekas jerawat batu sambil tersengih.

"Haaa! Ini yang la teman paling maleh sekali. Ajak makan tapi wallet teringgal.. Ape kehey kamu ni? Hee, geram aku dengan kamu ni..", Yeop Kasawari membebel sambil seluk tangan dalam poket dan meraba-raba poket tepi dan belakang.

Kening aku dah naik sebelah macam The Rock. Dua-dua orang ni macam saja nak pedajal aku suruh belanja je. Tiba-tiba Yeop Kasawari menjerit,

"Haaaaa!! Mujur aku ada sepuluh ringgit..Cukup le untuk kita makan berdua. Kamu, bior aku yang belanja. Anoy, kamu makan bayor sendiri.. Hahahaha!", Gelak Yeop Kasawari seperti jin dalam cerita Ahmad Albab.

Eleh, diorang ingat aku sengkek sangat ke walaupun sekarang ni memang dah tengah bulan. Cehh..

"Disebabkan duit aku tinggal sepuluh ringgit je, kita makan nasik goreng ayam dengan air sirap je la", Yeop Kasawari memberikan cadangan pada Yazid Gundam yang kelaparan. Aku angguk je tanda setuju.

"Dua nasik goreng ayam dengan dua sirap limau... Cukup la tu...", Yazid Gundam terus menjawab memberikan sokongan kepada cadangan Yeop Kasawari.

Tiba-tiba datang dua budak lelaki minta derma untuk Tabung Pahlawan.

"Abang mana ada duit.. Minggu depan baru gaji. Minggu depan je la abang derma ye, dik..", Yeop Kasawari cuba mengelak untuk menderma.

Kami terus melangkah mencari kedai makan. Sambil melangkah Yeop Kasawari merungut...

"Derma..! Derma..! Derma..! Tak habis-habis dengan derma. Kita makan pun tak tentu hala diorang mana tau."

Jalan punya jalan sambil menuju ke kedai makan, langkah kami terhenti lagi. Kali ni perjalanan kami tersekat apabila dua orang lelaki bersongkok memberi salam.

"Apa khabar, bang.. Derma untuk Tabung Palestin bang..", Rayu dua orang lelaki itu.

"Kitorang bukan tak mau derma tapi kitorang belum gaji lagi la. Minggu depan baru gaji!", Yeop Kasawari menjawab dengan suara agak kasar. Stress la kot sebab orang minta derma.

"Minggu depan datang la tau, minggu depan kitorang dah gaji. Sekarang takde duit lagi", Yazid Gundam menambah-nambah lawak sarkis.

Apa la diorang ni. Tak mau derma sudah la, jangan menyakitkan hati orang pulak. Apa la member-member aku ni, kan?

"Bang, nah.. Ini derma untuk  Tabung Palestin", Aku hulurkan sekeping kertas not lima ringgit masuk ke dalam tabung.

Kami meneruskan perjalanan... Kali ni Yeop Kasawari merungut agak kasar,

"Diorang ingat Bank Negara tu bapak aku punya ke?! Asyik-asyik derma.. Derma.. Dermaaa!!"

Rungutan Yeop Kasawari terhenti bila dia tiba-tiba disapa oleh dua orang awek cun yang berdiri di hadapan kami dengan senyuman yang..... Arrgghhh!! Nak cerita pun tak guna... Perrgghhhh!!

"Derma bang.. Derma untuk pusat senam aerobik yang kitorang nak bukak ni, bang..",Awek yang sorang tu bersuara manja. Mencairkan keegoaan Yeop Kasawari yang mendengar suara awek tu.. Gugur jantungnya Yeop Kasawari tak bersambut.

Rasa macam nak meleleh air liur Yeop Kasawari bila direnung manja oleh awek yang sorang lagi tu dengan kerdipan matanya yang melirik-lirik manja. Aduuuuhhhhh... Terpanah hatinya.

"Eh, boleh.. Bolehhh... Abang ni memang suka menderma. Ni sepuluh ringgit ni.. Abang ikhlas ni..", Yeop Kasawari tersentap jiwanya tersedar dek terpukau dengan keayuan awek dua orang tu sambil menghulur duit sepuluh ringgit.

Aku perhatikan Yazid Gundam, dia terdiam sambil menitiskan airmata. Dalam kepalanya mungkin terbayang nasik goreng ayam dengan sirap limau yang sedang melayang..!

Padan muka korang berdua tak dapat makan tengah hari!

Friday, 28 August 2015

Cengkenit Oh Cengkenit..!

Aku bangga menjadi sebahagian daripada warga kerja Jabatan Kerja Raya
Selepas selesai membuat kerja audit tenaga di bangunan JKR Putrajaya, kereta medium line buatan Proton ini terus memecut membelah lebuhraya SKVE - BESRAYA tanpa segan silu biarpun abang-abang driver lori cuba tak nak bagi laluan tatkala kereta medium line ini dengan bongkaknya hendak memotong.. Citt!! Itu macam punya driver pun ada ka?

Sampai je kat rumah, aku disambut oleh anakanda Harith yang berjalan ke pintu pagar sambil memegang mainan keretapi Thomas & Friends di tangan.

"Abah, kenapa pagi tadi abah tinggalkan Harith lepas tu pergi work?", Tanya dia dengan petah sambil kening dinaikkan sebelah macam penyanyi tersohor malaya,Ziana Zain.

Aku senyum semanis kurma bila mendengar pertanyaan yang sama dari Harith setiap hari bila balik dari kerja.

"Abah pergi work, cari rezeki nak beli susu dengan beras untuk Harith makan la..", Dan setiap hari juga, skrip jawapan ini aku berikan untuk menjawab soalan Harith kenapa bila dia celik mata, aku dah tiada disisi..
Thomas & Friends - ihsan Google.
Semasa dia berjalan, aku perasan sesuatu.. Anakanda Harith jalan mengengkang..

"Eh, apasal?", Tanya aku dalam hati sambil bukak stoking yang baunya macam nak kepam.

"Harith, kenapa jalan kengkang-kengkang tu?", Harith memandang sambil tersenyum.

Sekarang ni, kening aku pulak yang naik sebelah macam Ziana Zain!

"Harith tahan kencing tadi.. Sebab tu 'bird' harith sakit.. Takpe, Harith boleh tahan. Abah jangan risau ye..", Kata anakanda Harith sambil main keretapi Thomas & Friends.

Dahi aku berkerut. Takkan la sakit tahan kencing sampai jalan mengengkang? Bukan kalau sakit tahan kencing jalan mengepit ke? Aku pun terus pening dengan ideologi aku sendiri.. Namun  demikian, aku masih tak puas hati..

"Harith, sayang abah... Meh sini sekejap, boleh tak abah nak tengok 'bird' Harith kenapa sakit sangat...?", Anakanda Harith menggeleng.

Lepas puas dipujuk-pujuk, baru Harith bagi tengok sakit dia. Masa belek-belek tu, aku perasan macam ada benda kecik cenonet kat kawasan 'bird' Harith. Terus terlintas dalam fikiran,

"Cengkenit?!"
This is the cengkenit's!

Lalu, aku pun google dalam internet untuk pastikan betul ke benda kecik ni cengkenit? Google punya google akhirnya memang betul la benda cenonet tu cengkenit.

Bila disentuh Harith terus meraung... Meraung sungguh-sungguh! Aku kaget, menggelabah, libung libu! Tak pernah dia meraung sungguh-sungguh macam ni sejak dia lahir. Terus aku dukung anakanda Harith masuk bilik, baringkan dia. Aku pun dengan pantas memulakan aktiviti membuang cengkenit kat 'bird' Harith!

Harith masih menangis, meraung kesakitan. Aku jadi macam tak sampai hati nak cabut cengkenit tu. Tapi, kalau tak cabut nanti anakanda Harith makin sakit bila cengkenit tu asyik sedut je darah dia.

Nak mencabut cengkenit tu bukan main payah, Kalau ada minyak tanah, senang. Ini tawakal je cabut main tarik pakai tangan. Raungan Harith makin kuat..

Setelah bersusah payah menahan sepak terajang Harith yang meronta minta dilepaskan, akhirnya cengkenit durjana si penghisap darah 'bird' telah dapat ditarik buang serta dipenyekkan hingga lunyai! Walau bagaimanapun, Harith masih menangis. Mungkin kerana bisa kesan gigitan cengkenit tu masih ada terasa.

Aku biarkan Harith menangis sambil memujuk,

"Dah la tu, Harith.. Kan abah dah buang cengkenit tu.. Berhentilah menangis ye.. Kita kan lelaki, lelaki mana ada menangis lama-lama..."

Harith masih tak berhenti menangis. malah raungannya makin hiba.

"Okeylah, Harith berhenti menangis lepas tu tahan sakit. Kalau Harith dah tak nangis abah janji, abah belikan je apa yang harith nak.. Abah janji, abah tak pernah tak tunaikan janji abah dengan Harith, kan?"

Harith terus berhenti menangis. Lalu budak bijak berumur 4 tahun berkata dalam sedu-sedan,

"Abah dah janji, kan? Kalau macam tu harith nak robot Gundam yang warna merah dengan purple tu...", Harith kembali senyum selepas 2 minit berhenti meraung.

"Ah, kacau..!", Jerit aku didalam hati sambil tersenyum kelat memandang wajah Harith yang masih bergenang airmata.

Sekarang ni aku pulak yang rasa macam nak menangis. Mana pulak nak cekau duit tengah-tengah bulan ni untuk beli robot Gundam Harith? Uwaaaa...!!!

Moral : Jangan janji yang bukan-bukan!

Tuesday, 14 July 2015

Selamat Hari Raya 2015...

Semakin hari ke penghujung Ramadan, sementara menanti kemunculan LailatulQadar, ada satu pertanyaan yang tiba-tiba muncul dalam fikiran. Apa yang best sebenarnya menyambut hari raya di Kuala Lumpur?

Lemang, ketupat dan rendang? Aku tak fikir hidangan tradisional masyarakat melayu ini bakal membawa apa-apa erti pada hari raya di Kuala Lumpur. Sebab apa? Sebab kat bandar yang besar dan serba moden ni masakan tradisional dah jadi makanan harian. Lemang yang dibakar tu sentiasa ada. Kalau tak percaya, cubalah pusing-pusing di kawasan Hulu Kelang, Wangsa Maju, Pasar Tani MAEPS takpun dekat pusat membeli belah Kompleks Pernas Sogo dekat level LG.

Juadah ni jugak dah biasa menjadi hidangan majlis-majlis seperti majlis khatam Quran, majlis kenduri doa selamat, majlis perpisahan dan macam-macam majlis lagi. Hidangan ini juga boleh didapati di restoran atau hotel-hotel eksklusif. Itu belum cerita lagi pasal kuih-kuih tradisional seperti dodol, bahulu, samperit, wajik dan sebagainya. Semuanya ada setiap masa di Kuala Lumpur.

Maaf kalau aku kata, benda-benda ni semua tidak lagi membangkitkan langsung nostalgia berhari raya. Mungkin bagi generasi muda yakni generasi baru dibandar, makanan ni takde kena-mengena dengan kemeriahan Syawal sebab anda mungkin tidak pernah rasa membesar dikampung dan merasai betapa meriahnya hendak menyambut bulan Syawal.

Kalau kat kampung, suasananya berbeza. Zaman kanak-kanak dulu meriah dengan suara emak yang riuh masak ketupat, jaga api rendang. Kami dua beradik 'dipaksa rela' menukar langsir, cuci sawang, pergi kedai beli agar-agar dan berbagai lagi kerja yang cuma dibuat setahun sekali!

Hari raya memang meriah dan serba mewah. Bagi aku pada masa itu, kalau dapat makan ayam dan daging tu memang dah kira mewah sangatlah tu. Mana taknya, dulu nak makan ayam dengan daging susah sangat. Maklumlah kami bukannya orang senang macam sesetengah orang yang kalau nak makan apa semua boleh dapat...

Oh ya, pada pendapat aku secara individu.. Pagi raya merupakan pagi pesta makan. Aku akan makan sampai kenyang. Kemudian bersandar dengan kaki melunjur ke depan sambil menepuk-nepuk perut. Demikianlah, suasana hari raya di kampung. Oleh sebab masa tu hidangan hanya ada pada hari raya, jadi ia dapat membangkitkan kemeriahan dan syahdu bila tiba takbir bergema.

Tahun 2015 ni, aku tak berhari raya dikampung. Biar di Padang Rengas mahupun Rembau, raya kami sekeluarga tahun ni hanya di Kuala Lumpur. Sebabnya isteri aku tak dapat cuti macam dulu-dulu.. Kalau dulu mengajar di Sekolah Kebangsaan cuti raya boleh la jangkau hingga seminggu tapi sekarang sejak berpindah sekolah mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan tak dapatlah nak cuti panjang macam dulu-dulu...

Hmmmm, memang bosan beraya di Kuala Lumpur dan ianya langsung tak membangkitkan semangat dan syahdu Syawal. Tapi, sekurang-kurangnya tahun ni kami tak berebut-rebut atas lebuhraya untuk pulang berhari raya di kampung....!


Selamat Hari Raya, Kawan-kawan..

Wednesday, 17 June 2015

"Harith tak nak abah mati.."

Melayan anakanda Harith melakukan aktiviti seni...
Semasa menemani anakanda Harith melukis, anakanda Harith ada bertanya,

"Abah, abah takut tak kalau tak dapat jumpa Harith?"

"Mestilah... Harith kan anak abah, nanti Harith takde, abah dengan ummi jadi sedih, risau...", Aku jawab pertanyaan anakanda Harith.

Kemudian dia tanya lagi...

"Abah, kenapa kalau kita mati, nanti orang sedih?"

Aku terdiam. Jari-jemari aku berhenti melakar. Harith terus melukis dengan pen dakwat basah yang aku baru beli semalam. Harith memandang, menantikan sebuah jawapan.

"Sayang abah,kalau kita mati.. Orang yang sayang kat kita mestilah rasa sedih sebab nanti dah tak dapat jumpa kita lagi.. Nanti kalau ada orang mati, kita bacalah Al-Fatihah tau.. Kita baca bagi kubur orang yang mati tu terang bercahaya...", Harith mengangguk sambil melukis.

Aku diam dan anakanda Harith terus melukis. Sambil dia melukis, dia cakap lagi...

"Harith tak nak abah tua.. Harith tak nak abah mati sebab Harith sayang abah...!", Kata-kata dia jujur.

Aku terus memerhati. Sambil senyum, aku cakap...

"Tapi, Allah lagi sayang dengan kita...", Harith berhenti melukis. Wajahnya berkerut, mulut Harith muncung macam ikan kelah sambil memandang tepat ke arah aku.

"Mana boleh! Abah kan abah Harith, Harith lagi sayang abah dari Allah!", Nada anakanda Harith sedikit merajuk.

Mungkin dia rasa tak puas hati bila aku kata Allah SWT lebih sayang dengan kita setiap makhluk-Nya, Mungkin Harith masih belum faham.

"Harith, semua orang akan mati tapi takde siapa pun yang tahu bila dia akan mati.."

"Kenapa abah?",Harith terus mengasak dengan pertanyaan ingin tahu.

"Kematian ni, Allah rahsiakan daripada pengetahuan kita supaya kita boleh buat baik, kumpul pahala banyak-banyak. Bukan dah nak mati baru buat baik.. Harith, ada perkara-perkara yang Allah sengaja tak beritahu kita untuk Dia uji kita....", Harith mengangguk.

"Kenapa Allah nak uji kita, abah?", Anakanda harith bertanya lagi.

"Allah nak supaya kita semua bersedia mati pada bila-bila masa sahaja..", Jawapan aku ringkas tapi padat.

Bila menjelaskan perkara mengenai mati ni, tiba-tiba pulak dada ni rasa berdebar bila teringatkan janji-janji-Nya bahawa tarikh kematian kita tidak akan dicepatkan atau dilambatkan walau sesaat apabila tiba masanya.

"Sebab tu lah, abah selalu pesan dengan Harith.. Kita kena buat baik dengan semua orang, kena dengar cakap ummi, dengar cakap abah, tak boleh main kaki, tak boleh cakap yang tak elok...", Harith diam kemudian dia senyum.

Anakanda Harith kembali melukis subjek kegemarannya iaitu keretapi dan BayMax 6! Aku bersandar tepi dinding sambil dodoikan puteri Awliya. Terfikir jauh disudut hati, dah bebas ke kita daripada dosa yang bersarang dalam diri selama ni? Dah banyak ke sedekah jariah yang kita hulurkan? Bagi yang mempunyai anak, sudahkah anak itu dididik menjadi benteng kepada kita bagi menahan daripada seksaan yang tidak terperi sakitnya..!

Subhanallah....!! Benarlah ingatan terhadap kematian itu akan menghapuskan kelazatan dunia...

"Ya, Rahman.... Akhirkanlah kehidupan kami dengan sebaik-baik pengakhiran dan jauhkanlah kami daripada seksa kubur yang menyakitkan... Amin...!!"

Monday, 15 June 2015

Cerita Budak Asrama Teknik Taiping...

Jalan masuk ke sekolah asrama gua suatu masa dulu. Sekarang, tempat ni dah tukar nama jadi Kolej Vokasional Taiping...
Masa aku bergelar junior dan tinggal di asrama dulu, aku ada satu tabiat. Tabiat yang mungkin takde pada pelajar asrama yang lain. Tabiat yang bagus tapi kadang-kadang memakan diri... Time semua orang lepak-lepak dalam hostel lepas habis 'prep' malam, masa tu lah aku suka turun study kat surau sekolah. Ada jugak kawan-kawan yang tanya masa tu,

"Hang tak letih ka, sambung prep study sampai tengah malam, Anoy?"

Ada jugak yang cakap,

"Hang gila ka study sampai tengah malam? Depa kata pernah nampak hantu Jepun kawad tang tu, hang tau?"

Tak lupa jugak, kawan-kawan yang sentiasa positif memberikan kata-kata semangat,

"Aku respek dengan hang, belajaq sampai tengah malam!"

Sebab utama aku turun study time orang lain sedang duduk lepak-lepak kat hostel sambil tunggu masa warden bagi arahan suruh tutup lampu ialah dengan cara tu sajalah aku dapat elakkan diri dari kena buli dengan pelajar-pelajar senior.

Faham-faham le kalau dah nama pun duduk kat asrama. Selalunya sebelum tidur mesti ada senior yang panggil mintak urut laa, basuh kasut laa, ambikkan air kat dewan makan, suruh basuh baju, suruh hantar tray makan kat dewan makan, masak megi lah..... Hidup para junior macam aku masa tu memang tak aman. Jadi, untuk survival, kena la bijak selamatkan diri!

Sebagai seorang junior yang mempunyai pemikiran geliga macam Sang Kancil, aku mengambil langkah bijak dan drastik dengan turun lepak sambil study dekat dalam surau.

Bila kat dalam surau tu, aku bacalah apa-apa yang ada dalam beg. Buku Sejarah ke, nota Teknologi Elektrik ke ataupun hafal ayat-ayat hafazan Pendidikan Islam. Kalau paling malas pun aku baca komik yang aku beli masa outing tiap-tiap hujung minggu tu..

Blok Akademik di 'Sekolah Menengah Teknik Taiping'... 
Dalam banyak-banyak malam, ada satu malam tu aku tertidur. Bila terjaga, aku tengok semua lampu dalam surau dah padam. Gelap! Takde sapa-sapa yang kejutkan aku. Masa tu, badan letih sangat sebab aktiviti asrama agak ketat. Tidur sampai termimpi-mimpi awek ASPURI yang aku admire time tu.. Setakat admire je lah pasal awek ASPURI tu senior aku dah suka, jadi 'pergerakan' seterusnya adalah terbatas.... Heh!

Dalam gelap tu, aku pusing kanan nampak gelap. Pusing kiri pun nampak gelap. Masa tu aku tak tahu pukul berapa, tapi kalau dengarkan bunyi cengkerik rasanya dah pukul lebih kurang 1:00 pagi..!

Ketika nak naik tangga masuk ke dalam dorm, Aku terdengar alunan merdu suara orang menyanyi. Sedap suara tu... Tapi, lama-kelamaan suara nyanyian tu jadi suara orang menangis.. Suara tu mendayu-dayu macam sedih sangat. Timbul pulak rasa kesian. Aku pun cari dari mana suara tu datang. Masa tengah mencari tu, aku terperasan dekat tempat sidai baju ASPURA wujud satu lembaga putih sedang berdiri.

Aku pun berdiri statik pandang lembaga putih tu. Perlahan-lahan lembaga tu bergerak, ia berpusing memandang ke arah aku..

Tanpa malu-malu, aku pun terus berlari pecut macam tak cukup tanah seperti orang hilang akal! Sambil berlari, badan aku menggigil.. Tak dapat nak cerita macam mana punya takut perasaan ni masa tu. Lembaga putih tu berkain putih lusuh, berambut panjang..

Lembaga tu mengilai... Mengilai dan terus mengilai.......

Aku dah tak ingat apa,dalam lari-lari tu,sedar-sedar je aku dah panjat atas katil double decker, berselubung!! Esoknya, aku terus demam!

Start dari malam tu, aku selalu terserempak dengan lembaga putih tersebut bila balik dari 'prep' malam kat surau sorang-sorang. Hinggalah aku dah jadi senior kat asrama sekolah tersebut, ada satu malam tu hampir satu blok ASPURI kena histeria dan aku rasa puncanya dari makhluk lembaga yang aku jumpa malam tu!

Wallahu'alam!

Monday, 8 June 2015

Surat Untuk Isteri...(Part 3)

1 April 2009
16:40 PM
Dammam, Saudi Arabia...

Saya sampai kat airport Dammam selepas transit di Qatar. Semalam bertolak dari Malaysia pun 1 April, sampai kat tanah Arab pun 1 April.

"Adakah ini AprilFool?"

Soalan itu saya tujukan pada kawan saya. Dia cuma tersengih. Agaknya masih trauma kerana dek gegaran kapal terbang berlanggar awan di udara...

Hmmmmmmmmm.....

Cikgu Shila, saya dah tak tahu nak cerita apa lagi dengan awak.. Masa awak tidur, saya berjaga teman awak. Bila awak terjaga, saya pulak tak sedar-sedar sebab tidur mati.. Masa nurse datang pun saya tak sedar entah pukul berapa diorang datang check darah awak..

Cikgu Shila, saya rasa tak best sangat-sangat bila terpaksa bercakap sorang-sorang dalam bilik ward ni. Awak sihat la cepat.. Anak-anak kita semua rindukan awak lagi-lagi si Awliya tu.. Awak sihatlah macam dulu-dulu, kuatkan semangat awak demi anak-anak ye..

Awak dah sihat nanti, saya harap sangat awak baca entry ni.. Rindu awak sangat-sangat..!!

~FIN! end of part3~

Sunday, 7 June 2015

Surat Untuk Isteri...(part 2)

Hari ni hari kedua awak kat dalam Ward Lily ni. Dah berbotol air nurse masukkan dalam badan awak yang dehydrate tu melalui jarum kecik yang ada dekat tangan awak. Saya sambung lagi cerita saya yang semalam tu tau..

Hmmmm, Cikgu Shila.....

Pada 23 Mac 2009, saya menerima sepucuk surat arahan daripada syarikat tempat saya bekerja yang mengarahkan saya dan 9 orang lagi sahabat sekerja supaya out-station ke negara Arab Saudi.

Fikiran saya kembali serabut, emosi saya bercampur baur...

1 April 2009, jam 00:45 AM masih ada lagi lebih kurang 15 minit saya di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA sebelum kapal terbang saya berlepas...

Keluarga saya semua ada kat airport masa tu.. Saya called awak... Dari suara awak, saya tahu awak sedang menangis kerana saya akan pergi. Dan, malam tu merupakan malam terakhir saya berada di bumi Malaysia...

Ketika berada didalam flight, hati saya mula ragu-ragu dengan keputusan yang saya buat untuk sahut cabaran bekerja di negara orang. Lalu, saya mula menyesal naik kapal terbang tu menuju ke Arab Saudi...

Tapi, segalanya dah terlambat sebab kapal terbang masa tu dah berada berpuluh ribu kaki di udara...

Airmata saya mula meleleh... Airmata saya makin meleleh laju bila tiba-tiba kawan saya bertanya,

"Betul ke tindakan kita datang Arab ni?"

~end of part 2~

Saturday, 6 June 2015

Surat Untuk Isteri... (part 1)

Cikgu Shila,

Awak tengah terbaring atas katil kat hospital sekarang ni. Saya tak tahu nak buat apa... Sedih bila saya tengok keadaan awak yang lemah macam ni.. Tak sanggup saya nak tatap wajah awak yang tengah sakit sangat-sangat macam ni... Awak pejamkanlah mata awak, saya teman awak. Sambil teman, biar saya bercerita kat awak tentang satu cerita nak? Takpelah, kalau awak taknak dengar pun takpe.... Awak tidur je, biar saya bercerita cakap sorang-sorang...

Awak ingat lagi tak pada waktu pertama kali perkenalan kita dalam alam maya suatu ketika dulu. Time tu, orang berbicara mengenai Friendster sebelum gelombang Facebook mula tersebar dengan meluas..

Masa tu saya tengah 'down' sangat-sangat sebab ayah saya tengah kritikal dalam ICU dekat IJN. Saya jadi celaru, fikiran saya berserabut. Semua benda yang saya buat jadi tak kena..

Perkenalan dengan awak membuka satu lembaran baru dalam hidup saya. Dikala fikiran saya sedang bergelumang rasa sedih, awak muncul dalam hidup saya. Hadir memberikan kata-kata semangat supaya saya terus tabah menghadapi hari-hari pilu hidup saya..

Awak sentiasa menemani saya dengan suara dan sms awak biarpun kita tak pernah bersua..

Awak ingat lagi tak masa pertama kali kita jumpa? Masa tu saya kata penulis novel thriller no. 1 di Malaysia tu kawan saya. Dan, kebetulan pulak awak suka baca novel karya kawan saya tu..

Tapi, awak tak percaya.. Awak selalu kata saya klepet awak....

Masa hari raya tahun tu, bagi membuktikan kat awak yang saya tak berbohong, saya bawak awak pergi beraya kat rumah Ramlee Awang Murshid tu...

Saya macam nak tergelak bila tengok awak terpegun jakun sampai menganga mulut tatkala berhadapan dengan kawan saya tu.. Sampai kan kawan saya jemput awak makan pun, mulut awak masih ternganga dengan mata tak berkerdip! Heh, lawak betul awak ni....

Perkenalan kita masuk bulan keenam.Saya rasa serasi dengan awak. Dalam jangkamasa tu jugak merupakan tempoh 'percubaan' untuk saya. Macam-macam awak duga saya untuk menguji sejauh mana keikhlasan saya pada kawan istimewa macam awak..

Biarpun saya sebenarnya memang tak tahu awak tengah buat 'ujian keikhlasan' kat saya tapi (seperti kata awak dulu), saya telah pass ujian tu biarpun saya tak tahu bila mula dan berakhirnya 'ujian' itu.....

Hinggalah pada suatu hari, awak tanya saya....

"Bila kita nak bertunang?"

Saya cakap, "Bagi saya masa 3 minggu...." untuk prepare dan hantar rombongan meminang.. Hasil perbincangan sesama keluarga, pada 22 Februari 2009 kita bertunang dengan cincin belah rotan menjadi bukti...!

~end of surat 1~

Thursday, 28 May 2015

Kalaulah Ikan Kelah Boleh Bercakap...

Apakah benar ikan puyu mempunyai kuasa mistik?
Baru pukul 2.00 pagi..? Puteri Awliya merengek minta didodoikan sebelum dia betul-betul nak tidur. Cikgu Shila pulak dah tak larat berjaga malam menyusu dan mendodoikan puteri Awliya. Atas dasar tanggungjawab, aku pun 'melayan' rengekan baby yang baru dua bulan lahir melihat dunia itu sehingga dia terlena.

Sekarang, Cikgu Shila, anakanda Harith dan puteri Awliya masing-masing sedang 'belayar' dibuai mimpi indah agaknya. Tinggal aku sorang terkebil-kebil bertentang mata dengan ikan puyu yang sedang duduk diam didalam akuarium. Macam seram pulak bila aku tenung mata ikan puyu tu lama-lama, langsung mata dia tak berkerdip walau sekali. Sesekali terfikir, ikan ni tak pedih ke mata dia bila berenang dalam air?

"Apa nak buat ni? Awliya dah tidur, tahajjud pun sudah...", Aku mula mengomel sorang-sorang dalam gelap sambil meraba-raba misai yang serabai belum dicukur.

Kenapa entah malam tu, mata yang redup keperangan ni langsung tak mengantuk. Dalam otak ni asyik fikirkan benda yang pelik-pelik je. Terbayang kalau ikan puyu yang aku tenung tadi boleh bercakap, mahu mati terkejut aku dibuatnya! Hish, simpang!!

Tiba-tiba, fikiran yang kudus ini melayang dan memori ini tercuit dengan keindahan yang ada di Tasik Kenyir. Teringat pulak kat ikan kelah yang ada kat sana.
Kelihatan Dato' Roslan (berbaju hijau) sedang memberi taklimat kepada peserta supaya tidak seronok sangat hingga melompat-lompat didalam bas apabila tiba di Tasik Kenyir nanti..
Sesi bergambar free style bersama peserta dan urusetia MPPPL.
Ada bengkel mesyuarat sebenarnya masa tu kat sana. Dalam masa yang sama, ada agenda lawatan bio-diversiti ke Pusat Santuari Ikan Kelah di hulu Sungai Cacing yang terletak dalam kawasan Tasik Kenyir. Perjalanan ke Sungai Cacing mengambil masa kira-kira satu jam setengah dari jeti Tasik Kenyir Resort.
Sesi lawatan tapak ke salah satu Empangan yang masih dalam pembinaan di Tasik Kenyir.
Ahli-ahli unit PAKAR yang handal dalam bab menyelam ke dasar tasik!
Bot yang kitorang naik adalah jenis bot laju. Tapi entah kenapa, bot laju yang aku naik dengan kawan-kawan Unit Pakar tu macam tak laju aje. Senang-senang je bot laju lain pintas dengan mudah. Lantas membuatkan aku terfikir,

"Brader driver bot ni mungkin bukan berjiwa rider agaknya?"

Tapi, dalam masa yang sama bagus jugak bot tu tak laju, takdelah aku gayat sangat naik bot.

Nampak tak bot kami sedang ketinggalan..? Bot kamilah yang paling corot sekali.. Huhu!
Kelihatan aku(bertopi merah) sedang cuba mengecilkan pori-pori perut supaya perasaan menggelabah menaiki bot tak jelas kelihatan!
Aku syorkan kawan-kawan yang sukakan green environment, suka membidik gambar menggunakan DSLR... Disinilah tempatnya untuk korang rileks sambil membidik gambar-gambar terbaik!
Masa naik bot tu, aku memang menggelabah! Mana taknya, masa tu air tasik tengah tinggi sebab effect banjir kat Pantai Timur hari tu. Brader bot tu kata, hujung bulan Mei baru air tu perlahan-lahan ke paras normal semula. Semasa dalam perjalanan, aku mengharapkan brader bot pandu dengan dengan cermat dan tahu selok-belok kawasan tasik supaya tak terlanggar tunggul kayu balak bermutu tinggi yang ada didalam air Tasik Kenyir!

Selain itu, fikiran yang kudus ini juga terus dimomok-momok kan lagi oleh akal bahawa didalam air tasik Kenyir yang yang super dalam dan luas sangat-sangat ni ada ikan toman sebesar tong drum yang lapar menanti mangsa bot terbalik untuk disambar! Menggelabah aku makin menjadi-jadi!!

Bot telah pun sampai di Pos Kawalan Santuari Kelah
Ini baru Pos Kawalan, tempat mendengar taklimat pegawai Santuari Kelah... Lubuk ikan kelah tu masih jauh lagi.

Suasana kat sini terasa amat tenang. Udaranya segar, bau hutan, bau air sungai dan lanskap hutan dihiasi pokok-pokok kayu balak yang tinggi tumbuh menjulang. Air sungainya yang jernih. Jauh berbeza dengan keadaan di kota batu Kuala Lumpur.

Sebelum sampai kat lubuk kelah, kita kena tracking dulu....!
Kelihatan semua Hulubalang Lubuk sedang berusaha menangkap ikan kelah menggunakan Hikmat Tangan Bergetar!
Kaum Hawa juga tidak ketinggalan mempraktikkan Hikmat Tangkap Ikan Tanpa Was-Was di lubuk kelah.

Sesi bergambar dalam keadaan basah.
Kelihatan Raja Renang sedang memberikan sepatah dua kata kepada ikan kelah sebelum beliau membuat demo kuak kupu-kupu kepada ikan-ikan kelah yang terlibat.
Bila jejak je kaki kat dalam air, ikan kelah datang mengerumun. Ikan kelah ni takde gigi, jadi jangan takut le bila menjejakkan kaki dalam kawasan lubuk ikan kelah ni sebab ia tak menggigit macam ikan piranna. Ikan kelah cuma akan sedut-sedut je kulit bila berada dalam kawasan lubuk ni. Apa yang menariknya pasal ikan kelah kat sini, ia amat jinak. Jinak macam kucing. Fakta menarik untuk aku kongsikan kat sini ialah walaupun kaki korang bau cagu, ikan ni akan tetap menyedut-nyedut kaki yang bercagu tu. Keh! Keh! Keh!

Pengembaraan menaiki bot menyusuri anak sungai ke lubuk kelah memang adventure! Dapat memegang ikan kelah hidup pun satu pengalaman baru bagi aku.

Satu hari nanti kalau korang ada peluang,datang le ke Tasik Kenyir nikmati keindahan alam yang ada sebelum semua nikmat ni hilang.

Aku tak kisah kalau nikmat keindahan alam ni hilang disebabkan oleh janji-janjiNya tapi kalau disebabkan oleh kita, macam mana?

P/s:Bersamalah kita menjaga kebersihan dan keindahan alam sekitar kita..
                                       

Friday, 15 May 2015

Jidin Koboi Buat Surprise!

Hari yang suam-suam kuku pagi tu, aku dapat called dari Jidin Koboi. Suaranya macam biasa, garau ala-ala suara Incredible Hulk dalam cerita Avengers:Age Of Ultron yang tengah hangat kat pawagam sekarang ni.

"Anoy, apasal lu tak ikut wedding photoshoot hari tu?", Suara Jidin Koboi kedengaran dihujung talian.

"Hang agak-agak la, aku nak pi macam mana? Time tu kan aku outstation pi Tasik Kenyir. Melawat ikan kelah.. Hahahaha!", Aku jawab selamba sambil gelak-gelak.

Jidin Koboi senyap. Selalu dia ketawa kuat-kuat walaupun apa yang aku cakap tu tak lawak. Aii, kali ni dia lain.

"Apasal Jidin?", Aku tanya dia dengan nada serius.

"Disebabkan lu tak ikut hari tu, diorang kata dah tak nak kawan dengan lu. Lepas tu, diorang kata nak delete terus nama lu dari group photographer kita..", Jidin Koboi kembali diam.

Aku termenung kejap.

"Hmmm, aku no hal.. Banyak wedding project terbengkalai kalau diorang buang aku. Takpe Jidin, rezeki semua dari Allah SWT...", Jidin Koboi diam lagi.

Jidin diam, aku pun diam. Mungkin, masing-masing tengah berfikir apa pulak nak jadi lepas ni. Atau mungkinkah lepas ni, aku dan Jidin Koboi akan berkolaborasi membuat satu team baru wedding photographer atau mungkin Jidin Koboi akan ajak aku membuat bisnes menjual ikan pekasam dekat Lenggong, Perak.

Entah kenapa tiba-tiba masa tu suasana jadi senyap sunyi..... Melayan blues agaknya...?

Tiba-tiba dari dalam telefon aku dengar bunyi berdengkur. Ya, dengkuran Jidin Koboi bertalu-talu dihujung gegendang. Lalu, aku terus putuskan talian. Siot betul Jidin Koboi, aku bercakap bagai nak rak.. Boleh pulak dia tidur berdengkur sambil bercakap telefon! Ceh!!

Wedding photoshoot? Takpe, biar Leman Laptop yang kasi setel. Aku sekarang sejak berpindah ke JKR cawangan baru, kerja bertambah. Kadang-kadang kerja tu melimpah-limpah, kalau tak siap kerja, mahu effect pulak SKT bila hujung tahun! Tapi, bak kata Cikgu Shila..

"Buat mana yang dapat dulu, yang datang kemudian buat kemudian....!"

Petang tu, aku balik kerja. Macam biasa naik tren LRT menghala ke Sri Petaling. Sampai rumah, aku cari nasi. Makan sepinggan dua. Cikgu Shila masak sambal tumis sardin hari tu...

Lepas makan aku terus melayan anakanda Harith dan seterusnya menghadap anakanda Awliya Nur Tihani yang baru dilahirkan dengan penuh rasa cinta. Syukur, alhamdulillah.

Aku mengensot perlahan-lahan lalu baring disebelah puteri yang baru keluar melihat dunia dan dengan perlahan penuh sopan-santun aku berkata,

"Awliya nak dengar tak satu berita yang happy sangat-sangat? Awliya lahir je kat dunia ni kan, abah terus hilang kawan tau.. Awliya happy tak?"

Awliya terus menangis, meraung macam sedih sangat-sangat.. Hmmm, nampak sangat dia tak happy dengar berita tu tadi.

P/s : Biarlah abah hilang kawan, tapi abah still boleh kawan dengan Cikgu Shila, anakanda Harith dengan puteri Awliya.. Kan?

Monday, 13 April 2015

Hujan Malam Jumaat....

Salah seorang pakcik yang menjadi best friend aku masa bekerja di tanah arab suatu masa dulu.. Bila tengok pakcik ni, teringat pada orang tua di kampung ~ Tribute to Uncle Cha Cha (sekadar gambar hiasan)


Selimut lusuh ditarik-tarik lagi sehingga melepasi kepala. Namun dingin yang menggigit seluruh tubuh belum terlepas juga,

"Entah apalah rahmatnya hujan malam jumaat begini? Pak Ucu Zawawi bersoal sendiri.

Segaris senyum nakal terukir dibibirnya. Kalau dulu-dulu, masa tubuh segar, masa ada lagi Mak Ucu , kalau hujan-hujan lebat pada malam jumaat begini, ahhhhh..... cepat-cepat Pak Ucu  Zawawi memintas ingatan nakal yang melintasi kepalanya itu.
............................................................................................................................................

Pak Ucu Zawawi tarik semula selimut menutup kepala. Toleh ke kanan, bunyi dengkur berdengung sedang beralun. Toleh ke kiri, sesusuk tubuh sedang bergerak-gerak.

"Pak Syed Bunga tu pun tak boleh tidur jugak agaknya macam aku agaknya..", Kata Pak Ucu Zawawi didalam hati.

Pak Ucu Zawawi pun buat-buat batuk kecil. Susuk tubuh itu bergerak lagi.

"Errrpppppppp..!!", Pak Ucu Zawawi buat-buat sendawa pulak.

"Kenapa ni Ucu? Masuk angin ke?", Sedar-sedar Pak Syed Bunga yang bersinglet dan berpelekat lusuh  itu sudah ada di birai katil Pak Ucu Zawawi.

Pak Ucu Zawawi menggeleng. Wajah usangnya sedikit keruh. Pak Syed Bunga merapat.

"Aku tak boleh tidur, Syed. Mata ni..... keras semacam je!", Sayu berbaur pilu suara itu dibawa angin malam.

Hujan sudah reda tapi dinginnya masih menggigit. Pak Syed Bunga sauk tuala menutup bahunya dan terus duduk di sisi Pak Ucu Zawawi. Antara keduanya tiba-tiba saling bertentang pandang.

"Kamu dah berapa tahun duduk sini, Syed?", Pak Ucu Zawawi bertanya mengisi sunyi yang bertandang antara mereka. Pak Syed Bunga tertunduk.

"Lapan setengah! Dulu engkau setengah tahun je dari aku!"

"Huiiii...! Lama jugak tu ye.."

"Hmmmm....!"

"Dalam lapan tahun setengah tu, berapa kali dah anak cucu kamu datang jenguk, Syed?", Pak Syed Bunga terus tertunduk. Pertanyaan ikhlas Pak Ucu Zawawi tidak terjawab. Dada Pak Syed Bunga terus terasa sendat.

"Anak menantu engkau pulak dah berapa kali datang ziarah engkau, Ucu?", Pak Ucu Zawawi menggeleng perlahan. Hidungnya tiba-tiba saja kembang-kempis. Terlihat dalam samar cahaya, mata Pak Ucu Zawawi mula berkaca.

"Kita orang tua ni tak ubah macam Quran buruk, Syed..."

"Bukan Quran buruk, tapi besi dimakan karat. Buruk-buruk Quran puk tak boleh letak sembarangan, hodoh berkarat kita dilempar ke rumah macam ni...!!",Suara Pak Syed Bunga sedikit mengeras.

Pak Ucu Zawawi tak terkata-kata. Pak Syed Bunga turut ikut berdiam. Sunyi menguasai semula jujukan katil di ruang empat segi memanjang dua orang tua di Darul Fiqah itu. Malam terus merangkak dan merangkak, sedang dua orang lelaki tua di atas katil besi itu masih melayari fikiran masing-masing. Tiba-tiba, Pak Ucu Zawawi terbatuk-batuk. Batuk sungguh-sungguh. Makin lama, makin tajam bunyinya. Sebatang tubuh tuanya bergerak-gerak menunduk mengikut bersama-sama irama batuk itu.

"Ucu! Ucu...! Mengucap, Ucu... Mengucap!", Pak Syed Bunga sedikit gusar. Bahu dan batang tengkok sahabatnya itu dipicit berulang-ulang.

"Barangkali... aku ni dah lama dah menumpang atas muka bumi ni...", Sayu serta layu nada itu menyentuh cuping telinga Pak Syed Bunga. Hati tuanya bergetar. Bahu Pak Ucu Zawawi dipicit-picit lagi.

"Kalau engkau tak lama, serupa macam tu jugak la dengan aku, Ucu. Engkau tua, aku tua. Aku uzur, engkau pun serupa. Kalau kita mati sama-sama pun aku rasa elok jugak!", Suara Pak Syed Bunga mengendur sayu.

"Kalau aku mati, takde orang yang tangisi.. Anak cucu sendiri dah tak ambik peduli. Tapi, kalau kamu, Syed... haaa, bengkak le mata buah tangkai jantung kamu kat sana nuuu...!", Dalam sayu terselit nada mengusik yang keluar dari mulut Pak Ucu Zawawi. Pak Syed Bunga tarik senyum kelat.

"Aik, engkau pun tahu jugak pasal aku dengan Lemah Belon tu?"

"Tau sangat... Semua member-member kita kat rumah orang tua ni pun dah tau. Eh! Bila kamu nak kawen, Syed? Jangan tunggu lama-lama nanti diambik orang!", Usik Pak Ucu Zawawi.

"Kawen? Aku nak angkat kepala lutut pun dah tak larat, engkau tanya bila nak kawen? Lawak apa engkau ni, Ucu?", Tiba-tiba saja pecah tawa antara mereka berdua. Tawa yang sekejap bersungguh-sungguh, sekejap macam dibuat-buat.
................................................................................................................................................

Detik jarum jam terus berlalu. Masa terus pergi meninggalkan mereka berdua di atas katil itu. Malam terus merangkak, dinihari terus menjelang..

Diatas katil besi itu, dua orang sahabat itu terus juga mengisi malam dengan tawa, dengan tangis mereka. Apakah masih sempat untuk Pak Ucu Zawawi dan Pak Syed Bunga berbual bersama lagi di malam esok dan besoknya..?

Wallahualam.......

ingatan tulus ikhlas : Biar berkarat dimakan ulat, jangan dibuang orang-orang tua kita!

Friday, 10 April 2015

KIsah Di Gunung Ledang..

redup mata memandang bila masuk dalam hutan tengok tumbuhan hijau...
Hati ni gembira ya amat bila dipelawa join satu ekspedisi mendaki Gunung Ledang yang terletak di daerah Muar. Pucuk dicita ulam mendatang, bila dapat tahu je tarikh nak mendaki tu aku terus siap-siap beli kelengkapan mendaki. Kasut, beg, botol air, semuanya aku beli serba baru. Yiiihaaaaa...!!
.................................................................................................................................................................

Cerita ini semuanya bermula saat kitorang memulakan perjalanan ke Gunung Ledang. Kitorang bergerak ke Gunung Ledang tepat jam 10:07 pagi waktu tempatan dengan menaiki sebuah van. Jidin Koboi kata dia nak tangkap gambar pemandangan dari atas gunung Ledang menggunakan dron yang baru dibeli beliau dekat Pasaraya Kipmart semasa outstation di Johor Bahru dua minggu lepas. Masing-masing tak sabar untuk merasai kedinginan air terjunnya yang jernih itu disamping kicauan unggas rimba yang mengasyikkan. Oh... Syahdunya!

Van mula mula membelok masuk ke persimpangan menuju ke Gunung Ledang. Masing-masing mula mempamerkan kehuluaan mereka yang tersendiri kerana terlalu gembira sehinggakan ada yang terlompat-lompat di dalam van kerana over acting. Ingin jugak rasanya aku melompat-lompat dan menjerit sama tetapi memandangkan stereng van ditangan aku, terpaksalah aku bersabar supaya van yang aku pandu tidak turut terlompat-lompat ke dalam gaung.

Sejurus sampai, kami disambut dengan bunyi air sungai yang mengalir.

"Wuiii... Bestnya. Macam air terjun, kan?", Yeop Kasawari melahirkan rasa kehuluannya yang tak terhingga.

"Bukan macam air terjun la, bodoh..", Marah Samad Rapunzel.

"Abis tu?", Balas Yeop Kasawari.

"Macam lautlah, aparaaaa...", Kata Samad Rapunzel dengan bangganya sambil memikul begnya yang seberat anak tapir itu.

Selepas memastikan tiada sesiapa pun yang tertinggal di dalam van, kami pun memulakan perjalanan mendaki sambil mencari tempat yang strategik untuk membuat khemah.

"Woi, korang semua siapkan apa-apa yang patut dulu,biar aku pergi cari kayu kejap untuk buat unggun api...!", Kataku seperti seorang jeneral.

"Anoy, biar gua ikut lu...", Yeop Kasawari menawarkan khidmatnya.

"Takpelah, gua dah biasa dengan tempat ni, okey chow..!", Aku pun terus cepat-cepat menghilangkan diri disebalik pokok-pokok disitu seperti seorang ninja.

Dari celah-celah daun pokok, aku perhatikan Yeop Kasawari masih terkebil-kebil memandang aku sambil memegang torchlight di tangan.

Aku bukannya tak nak Yeop Kasawari ikut aku cari kayu, tapi aku takut Yeop Kasawari potong line aku bila aku terjumpa dengan Puteri Gunung Ledang nanti. Sedang aku asyik berangan, tiba-tiba barulah aku sedar yang aku dah sesat.

"Alamak, macam mana ni?", Kata hati kecilku

Aku dah mula rasa cuak. Cuba nak WhatsApp diorang tapi line pulak takde. Pengaliran darah dalam badanku semakin tak stabil. Aku pandang kiri... Pokok! Kanan... Pokok! Belakang....Pokok!

Arggghhhhh!!! Aku mula rasa macam nak menangis. Tapi, aku tahu aku takkan menangis punya sebab aku rasa pada saat-saat macam ni Puteri Gunung Ledang sedang memerhatikan aku dan dia memang sengaja menyesatkan aku, fikirku di dalam hati.

Tapi untuk apa dia menyesatkan aku? Adakah kerana dia nak berkenalan dengan aku dan nak mintak nombor telefon supaya dia boleh WhatsApp dan sekaligus mengorat aku dalam diam-diam? Dengan perasaan yang meragukan, aku terus berjalan menyelusuri semak samun dihadapan.

Tiba-tiba telinga aku menangkap bunyi air terjun. Dalam masa yang sama aku terdengar suara perempuan sedang mengalunkan lagu lama. Kedengaran seperti lagu 'Berkorban Apa Saja ' nyanyian Tan Sri P. Ramlee dalam cerita Hang Tuah.

Untuk menyembunyikan identiti aku, maka aku pun merangkak dalam celah-celah semak untuk meninjau siapa yang punya suara dekat kawasan air terjun tu. Tiba-tiba bijik mata ku terpaku apabila ternampak seorang nenek tua yang sudah bongkok sedang terbongkok-bongkok mengambil air.

Aku ada dengar cerita yang Puteri Gunung Ledang suka menyamarkan dirinya menjadi perempuan tua seperti nenek kebayan.

"Kalau dah jodoh tak ke mana", Bisik hatiku.

Dengan perasaan gembira bercampur takut, aku pun menghampiri nenek kebayan itu. Bila saja badan aku yang sado ini berdiri dibelakangnya, dia pun melemparkan senyumannya dengan menampakkan gusinya yang sudah tak bergigi itu. Mungkin dia menyangka yang aku ni tak tau bahawa dia tu sebenarnya Puteri Gunung Ledang dan mungkin dia tak tahu bahawa cara dia menyamar telah pun aku ketahui sejak dulu lagi.

"Nek....", Aku menegurnya dengan suara yang paling sopan sekali. Nak mengorat Tuan Puteri, mestilah bersopan santun, beb!

Sekali lagi dia tersenyum sambil memandang aku.

"Nenek, cepatlah... Kata nak masak air tadi...", Jerit satu suara.

Aku pun memandang ke arah suara itu dan aku dapat lihat sebuah family sedang bercamping tidak jauh dari tempat aku sedang berdiri. Seorang budak kecik menghampiri nenek tua itu...

"Nek, cepatlah nek.. Nasik dah nak masak tu..", Kata budak kecik tu sambil memimpin tangan neneknya yang aku ingatkan Puteri Gunung Ledang itu.

"Woi! Kayu mana? Kayu?", Jeritan Yeop Kasawari kedengaran jelas di belakang aku.. Siot betul!

Masa makan malam tu aku kena bahan berbakul-bakul dengan diorang. Ku sangkakan Puteri Gunung Ledang rupa-rupanya nenek orang!

Thursday, 2 April 2015

Kembara Umrah #11 : Doa Di Tanah Haram

Tempat mustajab doa...
Pengalaman melihat orang Syiah sujud atas batu, aku simpan dalam hati. Kalau boleh tak nak cerita pada kawan-kawan yang sama-sama mengerjakan umrah ni. Sampai kat Sabya nanti baru aku cerita kat diorang (Namun, hakikatnya bila sampai kat rumah aku terus terlupa nak cerita kat diorang hinggalah entry ini ditaip..).

Seperti mana yang pernah aku beritahu sebelum ni. Ini merupakan kali pertama aku dengan kawan-kawan mengerjakan ibadah umrah. Kerani Pakistan tu dah banyak kali buat umrah. Segala perkara yang berkaitan ibadah umrah ni kami jadikan dia sebagai mentor. Kerani Pakistan itu dijadikan sebagai sumber rujukan. Apa yang dia beritahu, kami turutkan saja dan kami buat...

Sehari sebelum bergerak ke Makkah, aku dengan kawan-kawan yang lain ada buat sedikit research dalam internet tentang cara-cara dan perkara yang berkaitan dengan ibadah umrah ni.

Teringat kat kawan-kawan yang ada kirim minta tolong doakan kesejahteraan mereka dunia akhirat. Ada yang minta tolong doakan supaya mereka pula menjadi tetamu Allah SWT di tanah haram. Ya, Rahman... Walau apa saja doa dan permintaan yang mereka kirimkan melalui hamba-Mu ini, Engkau kabulkanlah selagi ia mendatangkan kebaikan dan tidak memudaratkan buat mereka. Amin Ya Rabbal Alamin.....

Monday, 30 March 2015

Kembara Umrah #10 :Kaabah, Syiah Dan Batu Rata.

Kesesakan lalu lintas : Antara Kuala Lumpur dengan bandar di negara Arab tiada bezanya...
Selesai 7 pusingan mengelilingi Baitullah, aku berhenti rehat berdekatan dengan tempat minum air zam-zam. Tekak dahaga tapi ragu-ragu samaada nak minum atau tidak air zam-zam yang tersedia tu. Alahai, dahaganya tekak.....

Aku ushar keliling, tiada sesiapa pula yang minum air zam-zam yang disediakan tu. Semasa dalam proses pengusharan tu, aku terperasan polis arab yang ada dikawasan MasjidilHaram pun sama mengushar pergerakan aku yang mungkin bagi dia nampak macam mencurigakan. Teringat pula aku kat polis arab yang tahan kat highway tengah malam tadi. Terus kecut perut..

"Aiseymen, takpelah.. Tak jadilah minum air kalau macam ni....", Aku cakap kat dalam hati sambil beredar jalan macam ketam.

Sebenarnya, air zam-zam yang disediakan dekat tepi tangga MasjidilHaram tu boleh saja diminum oleh sesiapa pun tetamu Allah SWT yang ada disitu. Minuman air zam-zam tu disediakan oleh pihak pengurusan MasjidlHaram buat jemaah menghilangkan penat dan dahaga.
Cuma pada masa tu, aku je takut-takut nak minum. Kalau korang ke tanah suci, ternampak signage 'ZAM ZAM' sila jangan ragu-ragu untuk minum. Jangan jadi takut tak bertempat macam aku.. Huhu!

Bila semua selesai tawaf, kami menunaikan solat sunat menghadap Makam Ibrahim. Huiyooo!!! Pertama kali dalam hidup menunaikan solat dihadapan Kaabah. Besar sungguh rahmat-Mu, Ya Rahman...

Masing-masing ambil tempat untuk solat sunat. Selesai solat sunat, tiba-tiba datang dua orang lelaki Parsi nak solat sebelah kiri saf. Aku tak hairan dengan lelaki Parsi tapi apa yang buat aku hairan ialah cara dia sujud..! Semasa hendak sujud, dia akan mengeluarkan sebiji batu berbentuk rata dan kemudian sujud meletakkan dahi diatas batu tersebut.

Aku termanggu sekejap. Terfikir, kenapa mamat Parsi tu sujud atas batu rata kecil? Dan, aku rasa aku macam pernah terbaca pasal orang yang sujud atas batu ni tapi boleh pulak masa tu aku tak ingat..! Lepas fikir punya fikir tiba-tiba Allah SWT bagi ilham....

"Whuuuiiii...!!! Syiah rupanya!", Kata aku separa menjerit.

Mungkin kerana terperanjat dengar aku menjerit,mamat Parsi tu terus pandang dengan membeliakkan biji mata.

Tanpa berlengah lagi, dengan pantas aku cari port lain. Terfikir jauh disudut hati, apa hebat sangat batu kecil tu sampai nak sujud kena letak dahi atas batu? Kenapa tak sujud atas batu bata merah yang buat rumah tu?Bukankah selesa dan lagi rata permukaannya...?

~to be continued~