jom follow....

Friday, 7 November 2014

Bila Tok Kadi bertanya...


Biasanya doa qunut, rukun iman, rukun nikah, rukun islam dan niat mandi wajib akan selalu dihafal oleh bakal pengantin lelaki apabila menjelang hari pernikahan. Dan seperti biasa juga, ada tok kadi akan menyoal dan membuat sedikit sesi 'interview' bakal pengantin dengan perkara-perkara ini sebelum akad nikah dimulakan.

Bagi sesetengah bakal pengantin, berdepan dengan jurunikah dan menjawab soalan-soalan ini adalah sama debarannya seperti hendak menduduki peperiksaan SPM. Debaran makin kencang bila melihat wajah tok kadi yang serius dan berserban duduk dihadapan para tetamu dan keluarga pengantin perempuan. Rasa macam nak terkencing dalam seluar dibuatnya!

Dalam keadaan berdebar macam tu, lelaki yang hebat macam mana pun pasti akan menggelabah. Apabila menggelabah, perkara yang betul pun boleh jadi silap. Apa yang telah difahami, dihafal berminggu-minggu boleh jadi terlupa dengan tiba-tiba pada saat genting tu.

Perkara ni berlaku kepada seorang sahabat yang dah aku anggap macam diri aku sendiri. Betapa akrabnya kami.. Pada masa itu, dia merupakan seorang juruteknik disebuah syarikat swasta yang membuat kerja-kerja voltan tinggi di sebuah negara arab. Beberapa minggu sebelum akad nikah, sahabat ini bertanya dan mintak tips.

"Nan, masa nikah dulu tok kadi tanya apa?"

Aku pun bagi la tahu kat dia beberapa soalan target yang selalu tok kadi tanya sebelum akad nikah dan beberapa tips serta skema jawapan seperti mana yang dituntut oleh tok kadi.

Bila tiba hari pernikahan, orang ramai duduk mengelilingi bakal pengantin. Ada photographer, ada cameraman, ada mak andam dan macam-macam lagi. Walaupun sahabat ni dah hafal semua 'soalan bocor' namun dia masih gabra.

Bila tok kadi bertanya,

"Pengantin, tahu tak berapa rukun islam?"

"Rukun islam ada lima, ustaz...", Jawab sahabat tadi.

"Cuba sebutkan satu-satu....", Sambil tok kadi menghulurkan mikrofon kepada sahabat, dahi sahabat tadi terus berpeluh-peluh.

"Pertama, kepercayaan kepada tuhan. Kedua, kepercayaan kepada raja dan negara...bla bla bla..", Serta-merta tok kadi tepuk dahi.

Para tetamu pulak ada yang tercengang-cengang. Tak kurang antara mereka yang ketawa berdekah-dekah bagaikan menonton Maharajalawak Mega melihat reaksi pengantin yang gabra berhadapan dengan tok kadi.
Untuk pengetahuan korang, sahabat kita ni sebenarnya tahu semua rukun islam, tapi disaat berada dalam gelabah yang teramat sangat, dia tersilap menyebut 5 fakta rukun negara.

Mujur lepas minum segelas air oren kenduri, dia kurang sikit rasa gemuruh dan berjaya melafazkan akad nikah dengan lancar walaupun terpaksa mengulanginya sebanyak dua kali.

Ingatan tulus ikhlas buat bakal pengantin, jika anda jenis cepat gabra atau menggelabah minumlah segelas air oren. Mudah-mudahan anda akan kurang menggelabah bila berhadapan dengan tok kadi.. Hihihi...


No comments:

Post a Comment