jom follow....

Thursday, 25 September 2014

Penyakit Gila Buku..

Aku ni sebenarnya tergolong dalam kalangan orang-orang yang suka buku. memang dari kecil emak dah asuh supaya suka kepada buku. Oleh kerana aku obses dengan buku, aku pun riki-riki kat mana ada karnival jualan buku dengan diskaun hebat!

Google punya google akhirnya terjumpa juga! Sebuah kumpulan penerbitan buku popular ada buat karnival jualan buku di bangunan pejabat mereka dekat Shah Alam, Selangor. Awesome!

Hari minggu jualan tu, kitorang satu family + adik ipar aku ke karnival jualan buku tu dengan semangat nak memborong buku dengan diskaun hebat. Tetapi, oleh sebab kerana aku dah dekat 5 tahun tak menjejakkan kaki Shah Alam, maka kitorang pun tersesat. Banyak sangat roundabout kat Shah Alam. Masuk seksyen sana keluar seksyen sini, kemudian masuk sekysen situ keluar pun seksyen situ juga. Akhirnya kami tanya kat bangla pam minyak. Bila tanya, bangla tu pun tak tahu mana jalan nak pergi tempat karnival jualan buku tu.. Hampeh!

Selepas 7 kali tawaf keluar masuk roundabout barulah jumpa bangunan syarikat penerbitan yang kaler-kaler purple gitu! Isu sesat dah selesai, sekarang ni isu cari parking pula yang timbul. Aku ingat aku sorang je yang tahu pasal karnival ni. Rupa-rupanya ramai orang pun tahu juga, no wonder lah parking pun penuh! Terpaksalah parking kereta kat tempat yang jauh dari bangunan karnival. Jauh pun dalam 300 meter dari tempat karnival jualan buku tu rasanya.

Yang bagusnya syarikat penerbitan ni ada sediakan shuttle car dari tempat parking yang jauh-jauh ke tempat karnival jualan buku tu, takdelah berpeluh sangat ketiak teman nak berjalan kaki 300 meter. Bagus kan?

Bila sampai saja di pusat jualan karnival tu, mata aku jadi buntang. Buntang bukan sebab tengok awek-awek berpakaian seksi menjolok mata macam Kareena Kapoor. Mata aku buntang sebab kat situ ada banyak sangat buku. Wife aku pun ternganga bila tengok buku punya banyak macam tu. Dia kata,

"Sini lagi best daripada pesta buku kat PWTC..."

Anakanda Harith dah tak duduk diam dalam stroller. Dia dok kabat nak keluar dari stroller. Seronok sangat la tu tengok orang ramai. kat situ bukan setakat buku tapi ada pertunjukan kereta, fesyen muslimah dan macam-macam lagilah.

Aku beritahu kat wife aku,

"Carilah buku banyak mana pun, I belanja!"

Dengan pantas, dia tinggalkan anakanda Harith dengan aku kemudian dia cari buku, novel dan majalah yang dia nak. Haaaiiiiiiiii... Orang perempuan kalau bab cari novel, laju je......

Sambil tengok buku, mata perhati keliling. Ternampak pulak kenalan lama novelis Ramlee Awang Murshid tengah sign autograf disuatu sudut. Berderet peminat beratur nak sign autograf dia. Teringat pulak aku tentang pelawaan dia supaya kami datang ke rumah tapi tak pernah kami pergi. Bukan menyombong tapi tu la kadang-kadang tu ada banyak komitmen lain. Sibuk benar dia sign autograf kat peminat-peminat.
Aku cuma angkat tangan melambai-lambai ke kiri ke kanan dan say,

"Hi..."

Lepas hampir 3 jam kat situ, kitorang pun balik.

Memang best, memang berbaloi. Sampai kat rumah, wife dengan anakanda harith terus baca, belek buku yang diorang pilih. Aku? Aku tak baca pun. Aku cuma kata aku suka buku, aku tak kata pun aku suka baca buku..

Jadi, wife aku tanya...

"Abis tu beli buku banyak-banyak tu nak buat apa kalau tak baca?"

Dengan ringkas tapi padat aku jawab,

"Saja je la beli, sebab saya suka buku tapi saya tak suka baca buku.. Jadi, awak baca la semua buku yang saya beli ni tau..."

Lepas aku cakap macam tu wife aku terus hangin satu badan, dia membebel sepanjang hari. Membazir katanya beli buku tapi malas baca!

Moral : Jangan membazir!

(Cabaran 4 bulan ~ 60 entry) #1

Thursday, 18 September 2014

Penghargaan buat seorang isteri..

Selagi nafas kita berhembus, selagi itu kita belajar. Kalau ada orang tanya aku,

"Apa pengajaran buat diri yang terbaru?"

Aku akan jawab,

"Saya masih lagi belajar mengenal diri saya sendiri dan dan cuba untuk tidak mementingkan diri sendiri serta masih belajar untuk menghormati hak orang lain.."

Teringat akan sepotong doa yang diajar oleh Nabi...



"Wahai tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri, dengan rahmat-Mu aku menagih bantuan. Engkau perbaikilah untuk ku segala urusan ku. Dan janganlah sekali-kali Engkau serahkan diri ku kepada diri ku walaupun sekelip mata.." (Riwayat Ibn Majah & Al-Nasa'i)

Sepanjang minggu cuti sekolah, tiada perkara yang paling menggembirakan apabila kami sekeluarga dapat berkumpul kembali bersama. Setiap hari kalau tak ke pejabat, sepanjang masa yang ada diluangkan bersama dengan isteri dan anakanda Harith. Harith sekarang dah pandai mengaji. Pantang nampak abahnya mengaji, dia pun nak turut sama mengaji. Alhamdulillah, dah ada beberapa surah lazim yang dia boleh baca dengan lancar.

Isteri aku pula sekarang ni tengah pening, loya-loya. Bau nasi tak boleh. Bau goreng-goreng tak boleh. Bau ketiak apatah lagi. Apa yang dimakan semua akan terhambur keluar.. UWEKK! UWEKK..!! Muntah..!!

Makin dia loya dan muntah-muntah, makin tebal rasa cinta dalam diri ni terhadap dia. Aku bukan nak jiwang-jiwang sangat sebenarnya. Tapi, bila melihat pengorbanan dia sanggup bersusah payah tahan sakit pening, loya sana-sini, ada sekali dia tak larat sangat sampai pitam kat sekolah tempat dia mengajar.. Secara jujurnya, aku rasa sangat terharu. Dan untuk pengetahuan, ini merupakan kandungan keempat buat kami.

Masa pergi membuat pemeriksaan rutin kandungan, doktor memberitahu yang uri kandungan jatuh. Ianya satu ujian buat kami dan rahmat besar buat kami suami isteri.

Pada awalnya ujian ini dirasakan sangat berat berdasarkan pengamatan dan pembacaan dalam penulisan blog dari mereka yang pernah mengalaminya. Kesannya tak boleh bersalin normal dan mesti melalui pembedahan. Walau bagaimanapun, ia dapat diatasi berdasarkan pelan kontigensi yang dirancang dengan berurut serta bertawakal. Runsing, bimbang, kalut dan libung libu hanya Allah SWT sahajalah yang tahu.

Hinggalah kemuncaknya keyakinan kami mula bertukar. Kami yakin bahawa sehebat mana pun perancangan dan sekuat mana kecekalan, ia tidak akan ke mana tanpa kehendak Allah Al-Rahim.

Thursday, 4 September 2014

Harapan Rakyat Selangor..

Pray for MH 370 & MH 17
Selepas selesai hal pengurusan jenazah mangsa nahas MH17, kisah siapa bakal Menteri Besar Selangor kembali menjadi topik perbincangan geng kedai kopi semasa sarapan pagi. Kemelut perlantikan Menteri Besar Selangor terus menghiasi dada kaca televisyen. Cerita hal siapa bakal menerajui Selangor negeri paling kaya terus bermain dibibir rakyat Malaysia.

Ada orang memandang Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai antara Menteri Besar yang berjaya dalam sejarah pentadbiran negeri Selangor seperti Menteri Besar sebelum beliau dalam menerajui kepimpinan kerajaan negeri. Dan hal itu diakui oleh beberapa orang kenalan aku yang duduk semeja ketika makan megi goreng sambil menikmati wifi percuma di kedai mamak. Justeru itu, aku percaya fakta ini turut diakui oleh ramai orang tak kira mereka menyokong parti Barisan Nasional atau penyokong Pakatan Rakyat.

Sebagai rakyat yang tinggal dibumi negeri Selangor, kami sebagai rakyat berharap agar pihak-pihak yang terlibat dapat menyelesaikan isu Menteri Besar ni cepat-cepat. Setiap hari rakyat disajikan dengan isu siapa bakal Menteri Besar Selangor melalui berita ataupun buah mulut orang. Lama-lama rakyat akan bosan dengan permainan politik ini.

Sekiranya masalah ini masih tak dapat diselesaikan, pada pendapat aku satu-satunya cara penyelesaian yang lebih munasabah ialah kembali kepada kuasa rakyat. Pilihanraya yang baru perlu diadakan...

Mungkin ini akan menelan belanja yang besar, tapi rasanya ia tentu lebih baik dan adil daripada membiarkan kemelut terus berterusan...