jom follow....

Tuesday, 6 May 2014

Cikgu Dulu, Murid Sekarang...

Kalau tak kerana cikgu, tak mungkin aku sampai ke tahap ni. Aku ingat lagi hari pertama masuk tadika seterusnya melangkah kaki ke alam darjah satu kat Sekolah Rendah Kebangsaan Padang Tembak (1). Sekolah tu dikelilingi oleh encik-encik askar dan brader-brader polis. Bukan sebab kawasan tu tengah darurat tapi sebab kawasan sekolah tu adalah tempat dimana kem askar dan pusat latihan polis didirikan.

Masa kat sekolah, aku tak menangis macam budak-budak lain. Cuma pernah sekali terkincit dalam seluar sebab takut nak bagitau cikgu yang aku dah tak tahan nak terberak sangat-sangat. Terima kasih cikgu sebab tolong basuh.. Hihihiii... Lagi satu hal, dulu aku cukup gerun nak melintas depan bilik Cikgu Dollah, cikgu disiplin yang berkepala bulat dengan 'pulau' ditengah. Orangnya garang.

Masa terus berlalu, sekarang dah lebih satu dekad.. Tapi jasa-jasa dan pengorbanan para guru yang mencurahkan ilmu tak pernah aku lupa. Antara cikgu-cikgu yang mengajar sepanjang enam tahun tu ialah cikgu Norhayati, cikgu Lim~cikgu muzik, cikgu Shafie, cikgu Kamarol, cikgu Aliyah, cikgu Fauziah, cikgu Dollah dengan ustazah Khasnilam. Selama enam tahun aku kat sekolah tu, macam-macam perkara yang cikgu ajar. Bermula dengan A,B,C kemudian mengenal nombor 1,2,3 seterusnya ustazah ajar tulis jawi dan pendidikan islam. Kat sekolah tu jugak cikgu ajar macamana nak buat kawan dan berkawan, bermain sukan dan menerapkan disiplin. Besar sungguh jasa cikgu.

Enam tahun tu jugak sarat dengan kenangan, aku selalu kena berdiri atas bangku dengan menjunjung buku kat atas kepala sebab tak siapkan kerja sekolah, selalu kena tulis nama kat papan hitam sebab bising dalam kelas, main tutup oren, pernah kena public canning kat tempat perhimpunan sebab tak hafal sifir dua, kena rotan sampai berbirat. Masa dulu-dulu cikgu boleh rotan murid. Biarpun pedih tapak tangan, mana berani aku nak mengadu dengan emak ayah. Kalau mengadu, nanti silap-silap haribulan emak tambah lagi sedas rotan kat bontot pulak!

Murid dulu lain, murid sekarang lain. Murid sekarang kalau cikgu tegur sikit, murid terus report kat mak ayah. Esoknya mak ayah datang sekolah serang cikgu bawak parang. Ada yang ugut nak saman cikgu, ada yang tulis surat kat menteri dan wakil rakyat. Yang paling teruk, ada ibubapa sampai sanggup hantar santau kat cikgu hanya semata-mata kerana tak puas hati cikgu tegur kesalahan anak. Kes hantar santau kat cikgu ni bukan main-main. Perkara benar ni berlaku di negeri selatan tanahair...
Mungkin sebab 'kuasa' cikgu yang makin terhad ini membuatkan murid-murid kita jadi semakin manja seterusnya menjadi kurang ajar dan tak berdisiplin sampai ada yang berani ajak cikgu bertumbuk didalam kelas!

Tamat fasa satu persekolahan, kemudian masuk pulak fasa dua iaitu persekolahan menengah. Sekolah menengah ni terletak dekat dengan sekolah rendah tu. Zaman sekolah menengah tahun 1997 - 2000 aku selalu sakit ~ gastrik. Asal pagi je muntah hijau sampai cikgu naik risau. Jadi, dalam seminggu cuma empat hari je aku belajar kat sekolah. Lagi balance satu hari tu memang aku ke sekolah tapi lepas tu cikgu hantar balik sebab takut sakit aku melarat. Sebenarnya, sakit tu datang sekali-sekala je.. Yang lain-lain tu aku berlakon je bagi nampak real 'teruk'. Teacher Awanis le yang selalu hantar aku balik naik kete kancil merah dia masa tu. Thank you, teacher..!

Tahun 2000 - 2001, aku masuk sekolah teknikal berasrama kat Taiping. Kat sana aku tinggal kat asrama. Bila dah tinggal kat asrama, masa banyak terluang dengan cikgu yang menjadi warden asrama. Antara cikgu  warden masa tu ialah cikgu Khairuddin, cikgu Kamarulzaman, Cikgu Rosni, Ustad Kalut, cikgu Zaki dan cikgu Bad. Sekali-sekala ustaz Mansoruddin (kini dah meninggal dunia~semoga Allah SWT merahmati roh ustaz) akan datang ke surau asrama solat jemaah sama-sama. Zaman tu, cikgu faveret aku ialah cikgu Rahim merangkap cikgu yang mengajar subjek elektrik.

Kalau dah nama pun warden asrama, antara diorang memang ada yang garang. Warden asrama adalah antara perkara yang menakutkan semasa tinggal kat asrama selain gangguan hantu jepun kat court bola tampar! Serius, tengok hantu jepun berkawad lagi takut daripada nampak warden round keliling asrama!!

Dalam ramai-ramai cikgu, mungkin yang tercatit antara nama yang aku ingat sampai sekarang. Ada ramai lagi cikgu-cikgu yang mengajar tapi tak disebutkan namanya kat sini, mungkin ada diantara cikgu-cikgu kita yang dah kembali menemui Sang Pencipta. Mereka semua berjasa besar dalam kehidupan kita hari ni. Jasa mereka dikenang sampai ke mati.

Walau macamanapun, proses pembelajaran tak pernah berhenti. Dari kecik sampai sekarang, hidup aku terus dikelilingi oleh cikgu. Mana taknya, abang ipar aku cikgu, biras aku cikgu, wife aku pun cikgu. Buat anak-anak hari ni, hormatilah cikgu. Ingat, kalau tak kerana jasa cikgu tak mungkin kita berada diatas apa yang kita dapat pada hari ni...

Selamat Hari Guru, Cikgu!