![]() |
Kalau makan terlebih gula nanti kena kencing manis... |
Hai, kabare? Sebenarnya entry kali ni aku nak cerita sikit pasal gula. Sejak akhir-akhir ni aku asyik pikir pasal gula je. Bukan sebab aku ada kencing manis ataupun punya niat hati nak jadi sugar daddy tapi sebab dok teringat dengan statement dalam surat khabar mengenai orang Malaysia yang suka makan gula.
Untuk entry kali ni, biar aku perkenalkan dengan korang siapakah diri gula yang sebenar dan kenapa beliau amat berbahaya kepada kesihatan kita.
Walaupun korang selalu makan gula tapi korang mesti tak tahu sangat gula tu apa, kan? Yang korang tahu gula tu cuma rasanya manis, betul tak? Okey, untuk pengetahuan korang, gula adalah sejenis bahan yang memberi rasa manis pada makanan. Ia wujud secara semulajadi dalam makanan atau bahan yang ditambah semasa penyediaan makanan dan minuman.
Gula yang paling biasa ialah gula pasir atau yang dihasilkan daripada pemprosesan tebu. Gula ini sering kali digunakan untuk memaniskan pelbagai minuman ringan seperti kordial, sirap, minuman bergas dan jus buah-buahan. Gula juga ditambah sebagai pemanis ke dalam biskut, jem, kek, coklat, aiskrim dan bijirin sarapan.
Justeru itu, pengambilan makanan atau minuman yang mengandungi gula tambahan secara berlebihan boleh menyebabkan masalah kesihatan.
Untuk pengetahuan bagi yang tak tahu, gula ni ada 2 jenis. Yang pertama ialah gula semulajadi. Gula jenis semulajadi ni ada dalam makanan macam buah-buahan, sayur-sayuran berkanji dan susu. Yang keduanya pulak ialah gula tersembunyi. Maksud gula tersembunyi ni ialah gula yang ditambahkan pada makanan semasa pemprosesan dan penyediaan makanan contohnya dalam masakan, minuman, kuih-muih dan macam-macam lagi.
Seperti mana yang diketahui oleh orang-orang yang tahu, gula memberikan banyak kesan terhadap kesihatan kita. Ia meningkatkan risiko berlebihan berat badan dan obesiti seterusnya mendorong kepada masalah kesihatan seperti diebetes dan penyakit jantung.
Ia juga mengakibatkan kekurangan nutrien sebab orang yang mengambil makanan atau minuman yang berlebihan gula sering mengabaikan makanan berkhasiat lain dalam diet mereka.
Ada 7 langkah bijak bagi kita untuk mengurangkan pengambilan gula :
1) Banyakkan minum air kosong berbanding minuman manis contohnya air berkabonat, cendol pulut, teh tarik, sirap bandung dan kordial.
2) Hadkan penggunaan gula, susu pekat manis, susu isian pekat manis, krimer kepada 1 sudu teh sahaja untuk setiap cawan minuman.
3) Elakkan mengambil snek dan minuman yang bergula diantara hidangan utama dan sebelum waktu tidur.
4) Elak atau hadkan penggunaan gula dalam masakan. Sediakan kuih dan kek yang rendah kandungan gula.
5) Gantikan pencuci mulut seperti kuih, kek dan bubur dengan pilihan yang lebih sihat seperti buah-buahan.
6) Baca label dan elakkan produk makan dan minuman dimana gula tersenarai dibahagian awal senarai ramuan.
7) Pilih produk makanan dan minuman yang dilabel 'rendah gula' dan 'bebas gula'.
Apa yang aku bagitau kat korang ni aku rujuk dengan brochure yang aku ambik dari Klinik Kesihatan Cheras masa tengah tunggu wife aku buat medical checkup untuk posting dia sebagai cikgu. Jadi, sebagai ahli masyarakat yang belum ada kencing manis, aku menyarankan diri aku sendiri, family aku dan korang semua supaya sama-sama la kita elakkan daripada terus mengambil gula secara berlebihan kalau kita masih sayangkan kaki....!