jom follow....

Tuesday, 31 December 2013

Isteri Bersalin, Kita Yang Kalut

Aktiviti hujung tahun bersama family : BERCUTI
Aku ingat lagi masa zaman mula-mula bercinta dengan wife tersayang. Zaman mula-mula membentuk keluarga beberapa tahun dulu. memang susah, memang sempit, memang serba-serbi ada catuan. Tapi, setiap kesusahan dan kesempitan itu ada nikmatnya apabila dikenang-kenang ketika duduk santai bersama isteri dan anak-anak.

Terasa segar dalam ingatan betapa berdebarnya semasa berada dalam bilik bersalin (Labour Room) di Hospital Pakar An-Nur, Bandar Baru Bangi. Dahi berpeluh, ketiak basah, jari-jemari menggeletar. Bukan aku yang nak bersalin, tetapi isteri. Doktor membenarkan aku menemani isteri saat-saat cemas tu. Tak pernah terlintas langsung dalam kotak fikiran yang aku akan menyaksikan secara LIVE kelahiran anak sulung kami!

Pada jam 0300 AM, nurse datang memeriksa wife tersayang.

"Baru satu sentimeter"

Kemudian tak lama lepas tu nurse bertugas datang semula.

"Masih lagi satu sentimeter, puan... Sabar ye puan.. Anak sulung ni memang lambat sikit nak buka...", Kata nurse tu lagi.

Buka? Apa yang buka? Persoalan tu terus bermain dalam otak. Mula-mula aku tak faham, malu pulak nak bertanya. Tapi, bila dia masuk buat kali ketiga untuk memeriksa isteri yang tengah menahan sakit, nurse tu bagitau lagi...

"Sekarang dah dua sentimeter,puan...", tangan aku, isteri aku genggam kuat. Tahulah aku yang isteri aku tengah sakit sangat. Rasa macam bersalam dengan Robocop.

Dalam masa yang sama aku jadi bertambah hairan dan terus malu untuk bertanya. Bila dah lama-lama tu baru aku tahu yang nurse dok sebut sentimeter-sentimeter tu rupanya bukaan ruang kelahiran. Ahh, aku ni boleh tahan jugak sengalnya,kan? Maklum la ini pengalaman pertama...

Masa bergerak, setiap jam berlalu, debaran makin meningkat. Jam 0700 AM, kesakitan isteri makin memuncak. Tak sampai hati bila melihat kesakitan yang ditanggungnya. Tapi, aku kuatkan semangat untuk bersamanya disaat-saat genting begitu.

Aku lapkan dahinya yang berpeluh,

"Abi, ampunkan salah silap sayg ye.. Halalkan makan minum sayg....", Kata-kata seorang isteri disaat kelahiran anak sulung kami, benar-benar menyentuh hati lelaki ini. Kami sama-sama menangis...

Akhirnya tangisan bayi memecah debaran. Anakanda Harith lahir. Alangkah leganya perasaan tatkala itu. Aku dah jadi abah dan isteri tersayang dah bergelar ummi. Melihatkan wajah isteri yang lega dalam kepenatan dan tidak lagi berada dalam kesakitan. Hati ini terus melahirkan rasa syukur kerana ummi dan anakanda sihat kedua-duanya. Wajah isteri tersenyum dengan airmata gembira mengalir dipipi apabila doktor mendukung kepadanya bayi kami.

Ya, itu peristiwa beberapa tahun lalu. Sekarang, anakanda Harith dah pandai bercakap, pandai mengaji, pandai berebut pen dan sketchbook dengan abah, dah tahu erti merajuk dan memujuk, cepat sungguh masa berlalu.

Pada masa depan, cabaran dalam mendidik dan membesarkan anak-anak boleh jadi lebih getir dengan era globalisasi dan dunia internet tanpa sempadan ni bakal memberikan tamparan hebat buat para ibubapa. Entah apa la pulak teknologi pada masa depan, kan?

Dalam masa anak-anak kita tengah membesar ni jugaklah kita nak peluk, nak cium, dukung, main pasir dengan diorang. Bila usia mereka mula mencecah 13-14 tahun, tiada lagi peluang untuk kita peluk, cium apatah lagi mendukung. Mereka akan mula lebih menumpu pada aktiviti sendiri contohnya 'bercakap' dengan laptop, sibuk dengan gajet, teknologi dan sebagainya.

Walhal kita yang dah dewasa sekarang ni pun, luangkanlah masa dan tenaga kita untuk menghiburkan hati ibubapa kita supaya mereka tidak rasa tersisih. Peluklah, ciumlah mereka selagi mereka masih ada........

Monday, 30 December 2013

Berhari-hari di Kuala Selangor bersama geng IPGKIK TESL 2.2

Welcome to Kuala Selangor....
Sebenarnya ini kali pertama aku menjejakkan kaki ke Bukit Melawati. Kalau tak kerana classmate wife aku iaitu geng TESL IPGKIK 2.2 buat lawatan kat sini, konfem aku tak tahu apa yang ada kat sini walaupun setiap tahun lalu kat kawasan ni tiap kali nak ke Sabak Bernam menyambut hari raya.

Aku datang sini jadi jakun habis! Anakanda Harith punya jakun lagi la toksah cakap..Melopong je mulut dia bila dapat tengok monyet + kera kat depan mata. Selama ni dia tengok monyet cuma kat dalam gambar flash card je.

Anakanda Harith bersama ummi beliau yang sedang jakun melihat monyet makan plastik.
Di Bukit Jugra ni ada muzium yang mempamerkan peralatan dan sejarah awal penubuhan negeri Selangor. Ada pakaian perang, ada pedang, ada pinggan mangkuk lama dan macam-macam lagi la... Benda yang rare takde kat tempat lain ialah kota pertahanan siap dengan meriam besi dan tempat memancung kepala! Mula-mula bila baca signboard pasal pancung-pancung ni memang le seram. Tapi, kalau korang melawat tempat memancung ni, nasihat aku baca je la ayat kursi banyak-banyak supaya badi orang yang pernah kena pancung kat situ tak ikut korang balik rumah. For none muslim, just read whatever doa mengikut kepercayaan agama anda masing-masing..

Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor.

Baju dan peralatan perang yang pernah digunakan oleh rakyat Selangor suatu masa dulu.

Cerita asal-usul negeri Selangor

Pedang dan senjata api yang pernah digunakan turut juga dipamerkan disini. 
Di atas Bukit Jugra ni jugak ada terletaknya sebuah bangunan putih yang mana orang ramai menggelarnya sebagai rumah api. Aku melopong, ternganga bila mula-mula diperkenalkan oleh wife aku. Oh, begitu rupanya bentuk rumah api yang mana selama ini aku cuma tengok hanya dalam siri National Geographic kat dalam TV!

Rumah api 

Bagi mereka yang suka dengan monyet, kat sini adalah kawasan yang cukup permai untuk korang candid gambar dengan monyet sambil bagi diorang makan pisang. Tapi, awas.... Bukan semua monyet ni jinak-jinak merpati. Bagi yang perempuan, kalau tak nak kain anda tertanggal ditarik monyet, sila pakai seluar! Ini adalah amaran serius sebab masa aku pegi tu, ada sorang pelancong mat saleh comel yang memakai gaun terpaksa memegang gaun yang hampir terlondeh sebab ditarik oleh monyet-monyet yang naik 'syeh'. Aiii, kalaulah kain gaun tu terlondeh mau terbeliak bijik mata semua lelaki yang ada kat situ....

Monyet sedang santai mencari makanan.

Harith dan abah beliau ketika menikmati pemandangan indah dikelilingi monyet.
Ketika ini monyet mula bertindak liar dengan menarik seluar abah Harith. Mujur pakai tali pinggang!
Bagi korang yang berminat dengan hidupan marin ataupun suka tengok ikan belacak kat paya bakau bolehlah menghadirkan diri ke Kuala Selangor Nature Park yang terletak di kaki Bukit Melawati. Mengikut kata member-member wife aku yang masuk ke hutan paya bakau ni, rata-rata diorang kata,

"Best! Ada banyak ikan belacak tau. Lepas tu ada banyak monyet bergayut atas pokok. Tapi, yang tak bestnya banyak nyamuk le. Kalau tau banyak nyamuk dah tentu la I prepare Ridsect dari hotel... Tapi biasala, ini kan hutan..."

Aku dengan wife takleh nak pergi sama sebab kitorang bawak anakanda Harith. Lagipun time tu dah petang rembang, hujan pulak tu.. Anakanda Harith tu dah la kulit sensitif, pantang nyamuk ketip sikit mula merah macam kena air panas. Jadi, takde la gambar kat dalam nature park tu untuk aku tepek kat sini.

Kedai makan yang menjadi tempat singgah kitorang malam tu.
Malamnya pulak, kitorang menjamu selera di sebuah restoran ikan bakar kat Kuala Selangor ni. Syok la makan ramai-ramai. Kepada kawan-kawan TESL 2.2, maaf lah sebab saya dan anakanda saya menempel makan sama-sama dengan korang. Huhuhu! Thanks to Ms. Grace sebab belanja kami semua malam tu. Thank a lot!

Suasana lepas makan malam tu.....
Kalau berjalan di Kuala Selangor, rasanya tak lengkap perjalanan tu kalau tak singgah di Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan. Disini, korang boleh tengok kelip-kelip sambil menaiki bot yang didayung oleh petugas taman tersebut. Korang akan dibekalkan dengan jaket keselamatan semasa menaiki bot. Ada banyak kelip-kelip kat situ dan korang akan rasa seronok, tak payah pergi ke Taman ICT kat Shah Alam tu. Kat kampung Kelip-kelip ni korang akan disajikan dengan panorama indah cahaya berwarna-warni yang semulajadi. Cuma satu je pesan aku, bila naik bot tu jangan gatal-gatal kocak air kalau tak nak hilang jari. Kena beringat, air yang tenang, jangan disangka tiada buaya!

Itu le pengalaman best aku dengan anakanda Harith menempel dalam aktiviti lawatan dengan geng-geng  TESL 2.2. Hope lepas ni semua geng-geng TESL 2.2 dapat tempat posting seperti mana yang direncanakan dalam surat penempatan. Be a great techer and Best of luck, kawan-kawan semua.. !

Potret gambar mereka selepas majlis konvokesyen.

Thursday, 26 December 2013

Cerita Malam Tujuh Likur

Suatu malam, masa on the way nak balik ke kampung, aku ambik keputusan untuk ikut jalan lama. Saja je ikut jalan lama ni. Dah lama tak ikut jalan ni. Asyik lalu ikut highway je. Bosan le pulak! Lagipun dah lama benor tak tengok panjut  kat rumah-rumah kampung ni.

Bila lalu kat kawasan karai. Memang meriah betul kampung-kampung kat sini dengan cahaya panjut. Kanak-kanak ada yang sibuk main bunga api. harith daripada tadi excited teramat bila nampak pelita.

"Abah, bomba main api ke?"

"Tak la.. Itu bukan bomba.. Itu abang, abang dengan kakak main bunga api."

Teringat masa zaman kecik-kecik dulu, setiap kali bulan Ramadan aku dengan adik mesti kena hantar ke kampung buat peneman opah dengan atuk sepanjang bulan Ramadan. Zaman kecik-kecik dulu, aku memang nakal!

Malam tujuh likur memberi banyak makna dan kenangan. Malam tu meninggalkan nostalgia zaman kanak-kanak bersama geng sekampung yang suka menyakat orang-orang kampung terutamanya orang-orang tua ketika pergi menunaikan solat tarawih.

Masa awal solat tarawih, kitorang akan solat sama-sama. Disebabkan tarawih kat kampung masa tu buat panjang-panjang sampai doploh rakaat, jadi kitorang cuma buat sampai lapan rakaat je. Sementara nak tunggu moreh, mula la timbul idea haramjadah daripada kawan-kawan sekampung. Selalunya kitorang cuma tangkap cicak lepas tu sumbat mulut cicak tu dengan mercun padi. TETABO! Berkecai cicak tu jadinya. Aku ingat lagi malam tu kitorang plan 'program' lain yang baek punyaaa...

"Man, tadi kamu ada beli mercun tarik kat kedai Lebai Karim kan?" Jidin Tunggal bertanya dengan muka jahat.

"Haah, ada... Ngapenya?" Muka man Kisut berkerut.

"Ada kamu bawak?" Pertanyaan tu membuatkan kami satu geng pandang muka Jidin.

"Ada le ni, haa... Mike nak main ke?" Man Kisut konfius sebab mercun tu Man Kisut beli nak main sorang bukannya nak main dengan kawan-kawan. Aku faham perasaan Man Kisut, perasaan orang kedekut!

"Bukan teman yang nak main... Teman nak bagi tok imam dengan Lebai Karim yang 'main'.... " Sengihan Jidin Tunggal terus melemparkan misteri.

Daripada senyuman Jidin Tunggal yang misteri tu, aku dapat agak mesti dia nak pedajal Tok Imam dengan Lebai Karim. Aku dah faham dah apa yang dia nak buat.....

Kitorang cari selipar tok imam dengan Lebai Karim. Kitorang ikat selipar diorang dengan mercun tarik. Tak cukup dengan selipar, pada basikal tua para jemaah surau pun kitorang ikatkan dengan mercun tarik.
Start je tok imam dengan Lebai Karim nak pakai selipar, tiba-tiba mercun tarik tu meletup ketika diorang menyarungkan kaki ke selipar. Lebai Karim terperanjat sampai melompat, terus buka buah silat. Tok Imam pulak melatah dengan perkataan yang tak disangka-sangka terkeluar dari mulut dia,

"Opocot, babi tonyoh meletup!"

Baru kitorang tau yang sebenarnya Tok Imam tu kaki latah. Gelagat penduduk kampung yang menjerit dan melatah apabila mercun tarik meletup, cukup buat kitorang ketawa sampai nak terkencing malam tu. Best sungguh rasanya pekena orang...!

Sekarang ni bila dah dewasa, yang tinggal cuma kenangan tu saja dengan kawan-kawan sekampung. Diorang pun entah ke mana la merantau mencari rezeki. Yang masih ada lagi kat kampung cuma Jidin Tunggal dengan Awie Samprit je. Diorang joint venture bukak ladang bela lembu dengan kambing kat Laneh (Jalan mengahala ke Lubuk Merbau). member lain ada yang jadi komando, ada yang dah bergelar Leftenan askar laut sekarang bertugas kat Sabah, ada yang jadi cikgu kat Penang.
Merata kawan-kawan aku, tapi rasanya kalau terjumpa kat tengah jalan mesti tak perasan sebab wajah dan fizikal kita dah berubah. Dulu kurus, sekarang dah boroi. Hahahaaaaa....

Tuesday, 24 December 2013

Hantu Keretapi..

Masa aku kecik-kecik dulu, aku paling suka dengan keretapi. Mana taknya dulu tinggal kat kampung betul-betul berhadapan dengan stesen keretapi Padang Rengas. Arwah atuk dulu bekerja sebagai 'gate man' kat laluan berpagar stesen keretapi Padang Rengas.

Mak aku cakap, dulu masa kecik-kecik aku ni 'hantu keretapi'! Pantang dengan bunyi hon keretapi terus berkejar nak pegi landasan sebab nak tengok keretapi punya pasal...

Atas sebab minat yang mendalam aku terhadap keretapi. Aku pun google kat dalam internet. Rindu nak tengok keretapi dulu-dulu. Setelah cari punya cari akhirnya aku terjumpa satu laman web MalayanRailway.com yang mana didalamnya ada banyak gambar-gambar lokomotif Keretapi Tanah Melayu (KTM) edisi yang lama-lama.

Kat sini ada aku tepek sikit buat korang yang mungkin nak tengok gambar-gambar lokomotif keretapi yang dah banyak membuat jasa diatas landasan... Check it out!
































Aku tak tahu apa perasaan korang bila tengok gambar-gambar lokomotif ni. Tapi, bagi aku lokomotif ni semua meninggalkan seribu satu kenangan pada diri aku.. Ya, kenangan aku membesar di stesen keretapi mungkin sebab itu aku rasa 'cinta' pada lokomotif keretapi. Dan, gambar-gambar yang ada ni semuanya tercatat betapa indahnya teknologi kejuruteraan lokomotif....

Kalau nak tengok lagi banyak, korang boleh masuk link kat bawah ni.. Kat dalam link tu ada banyak sangat keretapi dan landasan keretapi yang menjadi sejarah laluan lokomotif KTMB.

Sumber : MalayanRailway.com

Friday, 20 December 2013

Suatu hari Di Madinah...


Masjidil Nabawi

Sepanjang berada di Madinah, aku selalu beriktikaf kat Masjidil Nabawi. Dari corong pembesar suara kedengaran suara kuliah dalam bahasa arab. Para jemaah santai mendengar sambil menunggu waktu solat fardhu Asar.

Ada jemaah yang berbaring, solat sunat, berzikir dan membaca Al-quran. Malah ada berbual rancak sambil minum air zam-zam. Sebahagian daripada mereka membentang seperah dan menjamu pelbagai juadah di kawasan lapang luar masjid.  Hari panas, bumbung khemah diluar masjid terbuka luas memayungi jemaah dari panas terik cahaya matahari.

Suasana dan perasaan semasa berada di bumi Madinah berlainan sama sekali dengan perasaan ketika di tanah Makkah. Disini, perasaan tenang sentiasa berbanding semasa di Makkah. Mungkin inilah berkat doa Rasulullah SAW semasa mula-mula pembukaan Kota Madinah dalam peristiwa hijrah.
Langit biru bersih tidak berawan. Betapa luasnya langit ciptaan Allah SWT. matahari memancar dan kecerahannya meliputi seluruh kawasan Masjid Nabawi ini.

Semasa menziarahi makam Rasulullah SAW dan para sahabat, airmata ni tak henti-henti mengalir. hati ini rindu pada Rasulullah SAW. Hati ini bersungguh-sungguh mahu Rasulullah SAW memberikan syafaatnya pada hari kiamat kelak. Kalaulah Rasulullah SAW masih ada.....

Kawasan makam Rasulullah SAW serta para sahabat dilaluan keluar pintu masjid.

Bila berada di 2 tempat suci MasjidilHaram atau di Masjidil Nabawi, kita akan bertemu dengan hakikat hidup. Dekat sini kita akan belajar untuk tidak sombong, tidak menzalimi orang lain, tidak cuba untuk memiliki harta yang bukan hak kita, tak boros dalam belanja dan makan minum.

Disini jugak, kita akan jadi mudah mesra dengan saudara se-islam lain walaupun kita tak pernah bersua sebelum ini. Orang lelaki boleh belajar menundukkan nafsu daripada melihat kaum wanita. Sementara kaum ibu boleh belajar erti menutup aurat, nilai kemuliaan seorang wanita dan erti menjadi seorang lelaki, bapa dan suami.

Kita juga akan belajar bahawa harta benda, pangkat, keturunan dan wang ringgit tidak bermakna. Bila kita menyarungkan kain ihram, hakikatnya tiada lagi perbezaan antara kita. Nyawa hanya anugerah Allah SWT yang diberikan sekali sahaja kepada kita.

Disini, kita akan belajar erti ibadah, erti solat pada awal waktu, betapa rugi jika meninggalkannya. Malah kita akan belajar betapa pentingnya waktu itu. Lewat sesaat selepas azan boleh menyebabkan kita tersisih di saf paling belakang atau duduk diluar masjid yang kawasannya agak terbuka.

Suasana di Masjidil Nabawi pada waktu malam.

Sepanjang berada di Masjid Nabawi solat jenazah diadakan setiap kali selepas selesai solat fardhu. Jenazah dibawa masuk untuk disolatkan dalam Masjid Nabawi dengan diusung oleh pekerja perkhidmatan sosial. Jemaah pula berebut-rebut untuk mengusung jenazah. Aku pun tak ketinggalan, cuba untuk mengusung jenazah dalam ribut kekalutan dek terlalu ramai yang berpusu-pusu nak mengusung jenazah tersebut ke dalam masjid, selipar jepun aku terputus sebab kena pijak dengan jemaah lain. Aku tangguhkan dulu niat murni aku tu...

Dalam setiap kali waktu solat, terdapat 3-4 jenazah disembahyangkan. Selesai disolatkan, jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan Al-Baqi' yang terletak di sebelah perkarangan Masjid Nabawi. Lagi sekali jemaah berebut-rebut untuk mengusung jenazah. Aku cuba sekali lagi untuk sama-sama mengusung jenazah tapi sayangnya kudrat aku sebagai orang asia tak sekuat kudrat masyarakat orang timur tengah ni. Sekali lagi, peluang aku untuk mengusung jenazah masuk ke tanah perkuburan Al-Baqi' tak kesampaian...

Bayangkan jutaan manusia menyembahyangkan jenazah korang kat Masjid Nabawi dan kemudiannya jenazah korang dikebumikan di tanah perkuburan Al-Baqi'. Bertuah sesungguhnya kalau sesiapa yang dikembumikan kat situ. Pada hari kiamat nanti, mereka akan dibangunkan bersama-sama dengan para syuhada'.

Rindu hati ni nak melangkah kaki ke sini lagi....

Bila berada di Madinah, ambik peluang untuk menunaikan solat di Raudhah. tak kira samaada solat fardhu mahupun solat sunat. Kemudian, berdoalah dengan seikhlas hati.. Mintalah apa saja kerana di Raudhah adalah tempat yang paling mustajab doanya. Raudhah juga diangkat oleh Allah SWT sebagai salah satu tempat di taman-taman syurga.

Sampai suatu masa nanti, kalau kawan-kawan semua peroleh rezeki dan berpeluang ke tanah suci Makkah.. Datanglah ziarah ke Kota Madinah... Datanglah ke Masjidil Nabawi!

Tuesday, 17 December 2013

Kartun Futuristik 80-an!

Kalau sapa-sapa yang sekarang ni dalam lingkungan lewat 20-an dan yang keatas mesti pernah mengalami demam siri kartun-kartun era 80-an macam Jem $ The Holograms, Smurf & Ewok. Itu bagi kartun-kartun kiut dan citarasa awek-awek. Tapi, teringat tak korang dengan siri kartun aksi futuristik berikut?

Battle Of The Planets
Robotech
Satria Baja Hitam aka Masked rider

Voltron

Okeh! Kartun-kartun ni diperkenalkan di era 80-an. Masa tu diorang la yang paling hot dikalangan peminat-peminat kartun aksi futuristik. kewujudan diorang ni bukan je dalam bentuk komik, malah ia jugak muncul dalam bentuk TV (animasi) @ mainan model aksi.

Entri kali ni, aku cuma nak mendekatkan korang muda-remaja yang tak merasa melalui era 80-an dan 90-an dengan meng-intro siri-siri kartun legend tersebut sebagai panduan untuk korang mengikutinya di era ni. Intro yang ada kat sini tak banyak. Tapi, cukup selesa untuk korang yang berminat membuat rujukan yang selanjutnya.

TRANSFORMERS


Komik Transformers era 90-an

Kegemilangan transformers dikemlbalikan oleh Pat Lee dari Dreamwave Productions dalam bentuk komik. Dan ia mendapat rating dan permintaan tinggi dari peminat-peminat 'penduduk metal' Autobot dan Decepticon ni. Transformers ni mengisahkan pasal 2 puak robot yang boleh transform jadi kenderaan ringan atau berat. Autobots dan decepticon dari planet cybertron yang kini berperang di bumi. Dalam komik Transformers Armada (iaitu siri komik pertama yang dikeluarkan oleh dreamwave Production) mengisahkan pasal Mini-cons, robot kecil yang mampu menambah kuasa pada mana-mana Transformers (Autobot atau Decepticon) lari ke bumi. Kemudiannya, dijejaki oleh Autobots dan decepticons.

Walau macamanapun, era millenium ni kita dah pun disajikan dengan muvee terbaik aksi Autobots berperang dengan Decepticon dalam panggung wayang yang mana filem ni terus memberikan impak dalam penjualan siri komik robot metal ni.

Hmmm, aku selalu jugak ke kedai buku Kinokuniya KLCC, dok mencari komik pertama keluaran Dreamwave ni tapi sayang tak jumpa.....

HE-MAN : MASTERS OF THE UNIVERSE!


Master of the universe memperkenalkan korang dengan sorang budak pengecut bernama Adam dengan harimaunya yang sama jugak pengecut macam dia yang bernama Cringer bersama-sama rakan Master of the universe yang lain mengharungi hidup di Eternia dalam menghadapi konco-konco jahat Skeletor.

Adam nak jadi He-Man

Bila Adam julang je pedang dia dan sebut,

" By the power of gray skull, I'm the powerrrrrr!! "

Terus dia bertukar menjadi He-Man dan harimau dia bertukar jadi Battlecat! 
Kalau korang tanya aku dengan lebih lanjut pasal macam mana dia jumpa pedang tu pastu tiba-tiba dapat power, badan jadi tough dengan perut 6 pax.. Maaf, aku tak tahu... Korang rajin-rajin le google cari sendiri.. Hehe!

THUNDERCATS

Lambang thundercats

Lion-O and friends!

Salah satu kartun yang aku tak penah miss tengok kat tv masa kecik-kecik dulu ialah siri kartun Thundercats! Aku ingat lagi, pantang dapat pegang kayu. Sambil kaki terkangkang, kayu dipegang rapat-rapat kemudian aku melaung,

"THUNDER! THUNDER! THUNDER! THUNDER CATS! HOOOOOOOOOOOO......!!!" 

Kemudian, jiran aku maki sebab terkejut dengar aku melaung macam polong! Haha!

Sinopsis cerita Thundercats macam ni, Apabila Thundera musnah (Thundera ialah sebuah negara keluarga kucing).. Jaga membawa sekumpulan kecil puak Thundercats ke dunia baru. Tapi, pengembaraannya diganggu oleh musuh menyebabkan kapalnya terhempas di sebuah dunia baru yang dipanggil dunia ke-3 (New Earth). Jaga mati kemudiannya dan dia mewariskan Lion-O untuk menjaga puak Thundercats yang lain. di dunia ke-3 diorang bina hidup baru. dalam masa yang sama tetap melawan kuasa jahat yang bangkit iaitu Mumm-Ra!

Ini le Jaga.. 

Mumm-Ra makhluk jahat dalam siri Thundercats!
VOLTRON : DEFENDER OF THE UNIVERSE

voltron menggabungkan 5 robot singa pelbagai warna yang dipandu oleh keith (black lion), princess allura (blue lion), Lance ((red lion), Hunk (yellow lion) dan Pidge (Green lion). Diorang ni bergabung menghasilkan Voltron untuk memerangi kuasa jahat Empayar drule yang diketuai oleh king Zarkon ngan penghasutnya Hagar. Tapi anak Zarkon, Prince Lotor ada rancangan sebaliknya iaitu dia nak memikat Princess Allura! 

Walau macamanapun (dalam episod ke berapa aku tak ingat), pengendali Blue Lion iaitu Princess Allura tidak lagi mengemudikan Blue Lion dan digantikan oleh Sven. Kalau ikut trilogi cerita kartun ni aku pun dah tak ingat jugak yang Sven ni mai dari mana. Papehal pun cari le dalam google kalau nak.. Even dalam tv sekarang pun ada ditayangkan cerita Voltron ni tapi dalam versi yang lebih maju daripada cerita asalnya era 90-an dulu-dulu.........

The lion of Voltron. (ihsan google)

Mungkinkah suatu hari nanti kita akan dapat menonton filem Voltron seperti mana kita menonton filem Transformers? Gambar Blue Lion-Voltron! (gambar ihsan google)

Sebenarnya ada banyak lagi kartun-kartun zaman 80-an dan 90-an yang ada. tu belum lagi cerita pasal satria baja hitam, gaban, flashman, maskman, tomato-man, dash Yonkuro (siri kete mainan tamiya) dan  etc. Banyak beb... Tengok la kalau aku rajin dan beban kerja kat opis tak bertambah (walaupun dah naik pangkat) nanti aku 'gali' lagi maklumat pasal kartun-kartun era gemilang 90-an ni...