jom follow....

Thursday, 13 June 2013

Rukun Seorang Gangster...

Mata Luqman berkaca. Bukanlah berkaca dengan air mata sedih tapi berkaca kerana terlalu gembira. Meskipun dia seorang lelaki yang sepatutnya mampu mempertahankan egonya sebagai seorang lelaki namun dia tetap tidak dapat menahan airmatanya dari terus berkaca persis seorang wanita. Tetapi itu bukan bermakna yang dia adalah seorang wanita. Dia lelaki tulen yang biasa.

Bebola matanya yang berkaca itu kaku tidak bergerak memandang tepat ke satu arah. lebih tepat lagi pada seseorang. Seseorang yang bernama Jikan. Setiap inci pergerakan Jikan diperhatikan oleh Luqman yang cukup takjub melihat personanya. Seolah-olah tiada apa yang dapat mengganggu tumpuan Luqman ketika ini.

Jikan bukanlah seorang perempuan. Jikan juga bukanlah sebuah kereta sport model terbaru dari luar negara. Malah jauh sekali untuk menganggapkan Jikan itu sebagai seorang artis. Jikan bukannya tahu berlakon. Jikan juga tak pandai menyanyi. Lagu yang Jikan tahu cuma lagu Negaraku sahaja. Itupun dinyanyikan sewaktu Jikan bersekolah dahulu. Jikan hanyalah seorang lelaki biasa.

Tetapi ada suatu perkara yang menjadikan Jikan begitu istimewa di mata Luqman. Keistimewaan Jikan bukan terletak pada hartanya. Istimewanya Jikan bukan terletak pada rupanya. Istimewanya Jikan bukan terletak pada gayanya. Jikan tidak kacak. Jikan tidak berharta. Jikan tiada gaya. Jikan istimewa kerana pengaruhnya. Jikan istimewa kerana sikapnya. Jikan istimewa kerana kekuasaannya.

Jikan adalah seorang gangster. Bukan sebarang gangster. Jikan merupakan gangster besar dan ramai pengikut. Kalau dirujuk pada kamus, gangster bererti samseng. Bukan samseng picisan. Bukan samseng yang baru bertatih. Jikan adalah samseng berkualiti walaupun tidak menepati standard kualiti ISO 9000.

"Jadi, kau nak jadi anak buah aku?", soal Jikan pada Luqman.

Luqman hanya mengangguk. Matanya tidak berkerdip memandang Jikan. Lelaki itu adalah idolanya. Kalaulah wujud rancangan realiti tv 'Samseng Idola', sudah tentu Luqman sanggup berhabis duit untuk mengundi Jikan sebagai juara.

"Nak jadi anak buah aku tu memang boleh. Tapi kau kena beringat, aku bukan buat bisnes tekap batik. Aku bukan bos besar dekat kilang papan. Aku ni gangster. Gangster macam aku ni orang tak bagi pingat, orang tak bagi naik pangkat", Nasihat Jikan pada Luqman.

Luqman mengangguk lagi. Sememangnya dia tahu akan risiko menjadi pengikut kepada gangster seperti Jikan. Ini bukan perkara main-main. Tersilap perhitungan akan menyebabkan dirinya berada dalam bahaya. Nywanya mungkin akan terancam tetapi Luqman tidak kisahkan semua itu. Risiko mesti menjadi 'sampingan' kepada pekerjaan seperti Jikan.

Terfikir juga Luqman, adakah benda-benda yang dilakukan oleh Jikan itu adalah sesuatu yang patut digelar pekerjaan? Kalau itu boleh disebut sebagai kerja, masakan pekerjaan seperti Jikan tidak mempunyai caruman di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja? Atau setidak-tidaknya SOCSO.

Kerja seperti Jikan sudah tentu sentiasa dalam bahaya. Sepatutnya kerja seperti Jikanlah yang mesti dilindungi oleh SOCSO dan bukannya kerja-kerja pengkeranian atau pengilangan. Ahh! pening kepala Luqman memikirkannya.

"Kalau kau betul-betul nak jadi anak buah aku, sekarang jugak kau mesti ikut aku!", Ujar Jikan mematikan khayalan Luqman.

"Tak payah isi borang dulu ke..?", Tanya Luqman bersungguh.

Jikan terdiam. Seketika kemudian dia terus menghamburkan gelak tawa, bukan sahaja Jikan menghamburkan gelak tawa malah Jikan juga menghamburkan air liur dan beberapa cebisan sisa makanan yang terselit dicelah giginya sejak pagi tadi. Luqman terpinga-pinga sendiri.

"Kau nak isi borang? Kau ingat kumpulan gangster ni macam pejabat tanah ke? Borang takde, bunuh orang ada!", Jikan bersuara sambil menahan gelihati yang masih bersisa.

Luqman menggaru-garukan kepala yang tidak gatal sedangkan ketiaknya sedari tadi terasa gatal menggigit-gigit. Awal-awal lagi dia sudah menunjukkan ketidak-wabaan dalam dirinya dalam bidang seperti ini. Nasib baik Jikan. Kalau orang lain, rasanya dia dengan segera akan menghadiahkan beberapa ulas penendang dalam bentuk kiub ke muka kerana mentertawakan dirinya.

"Aku tahu kau baru dalam bidang ni.aku boleh ajar kalau itu yang kau mahu. kau jangan risau! Kalau kau menunjukkan komitmen yang bagus dengan tugas-tugas yang akan aku berikan, aku yakin kau akan menjadi lebih hebat daripada aku.", Pujuk Jikan.

Luqman tersenyum. Telahannya memang tepat. Jikan memang seorang gangster yang berkualiti. Pasti dia akan banyak menimba pengetahuan daripada lelaki seperti Jikan. Hatinya terasa lapang. Buat seketika sebentar tadi, dia mula merasakan yang Jikan bukan gangster sejati. Tapi kini dia yakin Jikan memang orang yang tepat untuk dirujuk mengenai selok-belok dan tatacara seorang gangster.

Tanpa banyak bicara, Jikan membawa Luqman ke satu destinasi dengan menaiki sebuah kereta. Disitu dia diperkenalkan dengan satu kumpulan lelaki. Bukan penyanyi lelaki berkumpulan tetapi sekumpulan lelaki bengis yang langsung tidak tahu menyanyi. Mungkin juga ada seorang dua diantara mereka yang tahu menyanyi.

"Ini semua anak didik aku! Mereka datang kepada aku dengan cara yang sama kau gunakan. Aku tukarkan mereka kepada orang biasa kepada satu kumpulan yang digeruni. Kau kenal dengan nama Kumpulan Kudis Puaka?", Soal Jikan. Luqman segera mengangguk.

"Inilah Kumpulan Kudis Puaka kalau kau nak tahu! Malas aku nak perkenalkan satu-satu pada kau! Bukannya rancangan masak-memasak! Kau tengoklah sendiri. Semuanya muka pecah rumah, pecah gudang, pecdah tanah dan macam-macam pecah lagilah. Pecah kaca pecah gelas pun kalau boleh diorang buat jugak..", Ujar Jikan berseloroh.

Luqman terlopong. Satu persatu wajah ahli kumpulan itu diamati olehnya. Semuanya berwajah bengis persis haiwan liar yang hanya menunggu mangsa. Bila-bila masa sahaja mereka akan menerkam dan meratah. Memandang pada wajah mereka sahaja sudah cukup untuk membuatkan Luqman seram sejuk.

"Sekarang ikut aku. Aku akan ajarkan pada kau cara-cara menjadi seorang gangster yang disegani. Ayuh..!", Ajak Jikan. Luqman hanya menurut.

Kedua-dua manusia itu kemudiannya menyelesuri kaki lima di sepanjang jalan raya. Dan disepanjang jalan raya itulah Jikan asyik berbicara mengenai rukun-rukun seorang gangster. Luqman sentiasa memasang telinga biarpun telinganya memang sudah siap sedia terpasang sejak lahir lagi.

Tiba-tiba Jikan memberhentikan langkah. sambil tangannya didepangkan untuk menahan tubuh Luqman  dari terus bergerak. jikan memberikan isyarat pada Luqman supaya senyap. dedar hati Luqman buat seketika. Dia dengan segera dapat menangkap maksud jikan. kemungkinan besar musuh sedang berada berhampiran dengan mereka.

Luqman meninjau ke kanan disebalik dinding tetapi tiada apa-apa. Luqman meninjau ke kiri namun hanya ada beberapa ekor cencorot yang berlari berkejar-kejaran seperti pasangan kekasih di persisiran pantai. Fikir Luqman, mungkin musuh ini bijak menyembunyikan diri laksana seorang ninja. Dia perlu berhati-hati.

"Jangan tergopoh-gopoh. aku rasa kita sedang diperhatikan...!', Nasihat Jikan kepada Luqman.

"Apa kita nak buat..?", Tanya Luqman.

"Kita jangan terburu-buru. Ini juga salah satu daripada rukun gangster yang bijak bertindak. Nasib kau malang sikit hari ni. Kau baru nak bermula tapi musuh sudah pun mengintai peluang..", Ucap Jikan perlahan.

Luqman meneguk air liur. pasti musuh kali ini adalah saingan kuat Jikan. Kalau tidak masakan Jikan yang begitu handal boleh menjadi begitu berhati-hati. Mungkin juga musuh ini adalah mata-mata yang sentiasa mengekori dan memerhatikan tindak-tanduk Jikan yang begitu popular di balai-balai polis seluruh negara.

"Jalan perlahan-lahan dan jangan tiba-tiba bertindak luar biasa....", Ujar Jikan lagi.

Belum sempat Luqman mahu melangkah, Jikan berlari pantas dengan mengejut meninggalkan dia di belakang. luqman terpinga-pinga sedang secara tiba-tiba kedengaran suara salakan yang kuat datang dari arah belakang.

"Macam setannn! Kan senang kalau cakap ada anjing gila tadi!", Ucap Luqman perlahan sambil menunjukkan ibu jari ke atas pada Jikan yang sudah jauh dihadapan sedang dia berusaha melepaskan diri dari gigitan beberapa ekor anjing liar yang galak membaham ketingnya.

4 comments:

  1. Hi there! This post couldn't be written any better! Reading through this post reminds me of my old room mate! He always kept chatting about this. I will forward this page to him. Fairly certain he will have a good read. Thank you for sharing!

    Check out my site - hd wallpapers for iphone

    ReplyDelete
  2. Hello it's me, I am also visiting this web page regularly, this website is in fact pleasant and the people are really sharing good thoughts.

    Here is my blog :: wallpapers galaxy note 2

    ReplyDelete
  3. Its like you read my mind! You seem to know so much about this, like
    you wrote the book in it or something. I think that you can do
    with a few pics to drive the message home a little bit, but other
    than that, this is magnificent blog. An excellent read. I'll definitely be back.

    Here is my web page; hd wallpapers game of thrones

    ReplyDelete
  4. I am regular visitor, how are you everybody? This post posted at this site is actually pleasant.


    Look into my blog :: wallpaperswide

    ReplyDelete